KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SHAD THYRION


     Kisah ini bermula pada malam 21 Februari 2022 di mana pasangan kekasih bernama Taylor Schabusiness dan Shad Thyrion menghabiskan masa bersama. Pada malam tersebut, Schabusiness dan Thyrion dikatakan mengambil beberapa jenis bahan terlarang termasuk metamfetamina dan ubat psikotropik di rumah Thryion. Mereka kemudian turun ke ruang bawah tanah rumah itu. Keadaan khayal akibat penyalahgunaan dadah dipercayai menyebabkan Schabusiness hilang kawalan dan pertimbangan waras.

     Menurut keterangan yang dikemukakan di mahkamah, mereka terlibat dalam hubungan intim yang melibatkan perbuatan mencekik. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi di luar kawalan apabila Schabusiness menggunakan rantai logam untuk menjerut leher Thyrion sehingga mangsa tidak lagi bernafas. Dia turut memberi keterangan bahawa Thyrion sempat batuk berdarah sebelum meninggal dunia.


     Setelah Thyrion tidak lagi bergerak, tindakan Schabusiness menjadi semakin mengerikan. Berdasarkan laporan polis dan dokumen mahkamah, dia mengakui meneruskan perbuatan seksual walaupun mangsa sudah tidak bernyawa.Schabusiness kemudian mengambil sebilah pisau pemotong roti dan memulakan proses menceraikan anggota tubuh mangsa. Kepala Thyrion diletakkan di dalam sebuah baldi manakala bahagian tubuh lain ditempatkan dalam kotak dan beg plastik. Darah mangsa pula dibersihkan melalui saluran air di lantai bilik mandi kecil di ruang bawah tanah.

     Sebahagian anggota tubuh lain dibawa keluar menggunakan minivan milik Schabusiness. Pergerakan yang terancang ini menunjukkan bahawa dia mempunyai tempoh masa yang panjang selepas pembunuhan berlaku dan tidak bertindak dalam keadaan panik.


     Keesokan pagi, ibu Thyrion turun ke ruang bawah tanah dan menemui baldi yang menempatkan kepala anaknya. Penemuan ngeri itu mencetuskan trauma mendalam dan dia segera menghubungi polis. Siasatan pantas membawa kepada penemuan lebih banyak anggota tubuh di beberapa lokasi dalam rumah dan di dalam minivan Schabusiness. Penemuan tersebut mengesahkan bahawa jenayah itu dilakukan dengan kekejaman yang melampaui batas kebiasaan kes pembunuhan.

     Schabusiness ditangkap sejurus selepas kejadian dan didakwa atas tiga pertuduhan utama iaitu pembunuhan sengaja tahap pertama, mencemarkan atau memutilasi mayat dan serangan seksual terhadap mayat. Peguam bela cuba berhujah bahawa Schabusiness mengalami gangguan mental ketika kejadian. Namun selepas penilaian profesional dan perbicaraan penuh, juri memutuskan bahawa tertuduh berada dalam keadaan waras serta memahami sepenuhnya tindakannya.

 
     Pada 26 September 2023, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol. Hakim menggambarkan jenayah itu sebagai perbuatan yang melanggar maruah manusia pada tahap paling ekstrem. Ketika diberi peluang untuk memberi kenyataan akhir, Schabusiness hanya menjawab, “Tidak ada,” tanpa menunjukkan rasa kesal.

     Walaupun sudah dijatuhi hukuman, Schabusiness terus mempamerkan tingkah laku ganas. Pada Julai 2024, dia dilaporkan menyerang seorang pegawai penjara ketika menerima rawatan perubatan dengan menggunakan dulang besi dan meja sebagai senjata. Pada April 2025 yakni ketika menghadiri perbicaraan bagi pertuduhan tambahan berkaitan insiden serangan tersebut, dia sekali lagi mengamuk di mahkamah dan meluru ke arah peguamnya sendiri sebelum berjaya ditahan. Ekoran tingkah lakunya, peguamnya menarik diri dan pejabat pembela awam turut enggan mewakilinya bagi proses rayuan. Tidak lama kemudian, Schabusiness menarik balik rayuannya sekali gus menjadikan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol itu kekal sebagai keputusan muktamad.


Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SHAD THYRION"