Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bhavana Menon vs Dileep: Kes Jenayah Yang Menggegarkan Industri Filem Malayalam

     Kes Bhavana Menon merupakan antara kes jenayah seksual paling mengejutkan yang pernah berlaku dalam industri hiburan India Selatan. Insiden ini berlaku pada Februari 2017 apabila Bhavana Menon, seorang pelakon popular filem Malayalam diculik dan diserang secara seksual oleh sekumpulan lelaki ketika dalam perjalanan pulang dari sesi penggambaran di bandar Kochi, Kerala. Dalam kejadian itu, Bhavana telah ditahan secara paksa dalam sebuah van selama lebih dua jam, dicabul kehormatannya dan dirakam menggunakan telefon bimbit sebagai bahan untuk tujuan pemerasan.

     Siasatan awal membawa kepada penangkapan seorang lelaki bernama Sunil Kumar yang lebih dikenali sebagai Pulsar Suni bersama beberapa rakan subahat. Namun lebih mengejutkan apabila siasatan lanjut mengaitkan nama seorang aktor terkenal Malayalam iaitu Dileep didakwa menjadi perancang utama serangan itu. Menurut pihak berkuasa, Dileep dikatakan berdendam terhadap Bhavana kerana wanita itu pernah membongkar tindakan Dileep yang didakwa menggunakan pengaruhnya dalam industri untuk menyekat kerjaya seseorang. Bhavana juga didakwa pernah mengemukakan aduan terhadap Dileep kepada organisasi filem yang menyebabkan Dileep berasa tercabar dan marah. Pihak pendakwa mendakwa bahawa Dileep melihat Bhavana sebagai ancaman kepada reputasi dan kedudukannya dalam industri lalu mengambil keputusan untuk menghukum Bhavana dengan cara yang menghina dan mengaibkan. Dia didakwa telah mengupah kumpulan terbabit untuk menculik dan merakam serangan terhadap Bhavana sebagai tindakan balas dendam yang terancang. Dileep ditahan pada Julai 2017 dan dibebaskan atas jaminan pada Oktober tahun sama. Sejak itu, dia kekal sebagai tertuduh utama dalam kes tersebut dan terus menjalani perbicaraan yang berlarutan tanpa keputusan sehingga kini.


     Dalam tempoh perbicaraan yang panjang, pelbagai isu dan cabaran timbul. Antara yang paling kontroversi ialah isu kehilangan atau manipulasi kad memori yang mengandungi bukti rakaman serangan seksual. Peguam Bhavana memohon semakan forensik semula terhadap bahan tersebut dan mendakwa terdapat kelemahan serta pengabaian oleh pihak penyiasat. Selain itu, proses mahkamah juga berdepan dengan dakwaan gangguan terhadap saksi dan ketidakadilan sistem kehakiman. Bhavana sendiri pernah menarik diri daripada memberi keterangan kerana berasa dirinya tidak diberi ruang yang adil dalam mahkamah.

     Setelah lima tahun berdiam diri, Bhavana akhirnya tampil secara terbuka pada 10 Januari 2022. Dalam satu kenyataan penuh emosi di media sosial, dia menyatakan bahawa beliau kini mahu dikenali sebagai seorang survivor dan bukan lagi mangsa. Tindakan ini mencetuskan gelombang sokongan besar-besaran khususnya daripada rakan-rakan artis wanita seperti Parvathy Thiruvothu, Rima Kallingal, Remya Nambeesan, Geetu Mohandas serta pelakon veteran Revathy dan Urvashi. Mereka semua merupakan anggota teras Women in Cinema Collective (WCC) yang ditubuhkan selepas kejadian tersebut untuk memperjuangkan hak dan keselamatan wanita dalam industri filem Malayalam. Malah pelakon lelaki seperti Prithviraj Sukumaran dan Tovino Thomas turut menyatakan sokongan terbuka kepada Bhavana sekali gus menandakan peralihan sikap dalam kalangan lelaki berpengaruh dalam industri hiburan Malayalam. 

Pulsar Suni

     Bhavana kemudiannya kembali perlahan-lahan ke dunia lakonan. Dia membintangi beberapa filem dalam bahasa Tamil, Kannada serta Malayalam termasuk dua filem seram terkenal Hunt (2024) dan The Door (2025). Walaupun filem-filem ini membawakan tema trauma dan ketakutan, Bhavana tidak pernah menyatakan ia berkait secara langsung dengan pengalaman peribadinya. Ia sebaliknya dianggap sebagai langkah untuk kembali berdiri dalam dunia seni selepas melalui fasa sukar dalam hidupnya.

     Pada bulan Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kerala telah menolak permohonan pihak pendakwa raya untuk membatalkan jaminan terhadap Dileep yang telah dibebaskan sejak tahun 2017. Beberapa bulan kemudian yakni pada September 2024, Mahkamah Agung India membenarkan Pulsar Suni dibebaskan dengan jaminan selepas hampir tujuh tahun dalam tahanan dengan alasan bahawa perbicaraan masih berlanjutan dan tempoh tahanannya terlalu lama tanpa sabitan. Kes ini kemudiannya memasuki fasa penting pada April 2025 apabila hujahan akhir dikemukakan di Mahkamah Sesyen Ernakulam. 


     Kini sehingga Jun 2025, kes Bhavana Menon masih belum selesai. Pada 18 Jun 2025, sesi perbicaraan diteruskan di Mahkamah Sesyen Ernakulam dengan kehadiran semua tertuduh termasuk Dileep dan Pulsar Suni. Dalam sesi tersebut, Pulsar Suni mendakwa bahawa Dileep pernah menawarkan wang sebanyak ₹1.5 crore (sekitar Rm850 000) sebagai bayaran untuk melaksanakan serangan terhadap Bhavana namun hanya sebahagian daripada jumlah itu dibayar. Dakwaan ini menimbulkan persoalan baharu dan kemungkinan membuka semula bukti berkaitan aliran wang dan konspirasi. Cuma hingga setakat ini, mahkamah masih belum mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut dan proses semakan bukti masih berjalan.

Catat Ulasan for "Bhavana Menon vs Dileep: Kes Jenayah Yang Menggegarkan Industri Filem Malayalam"