KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KIMBERLY PROCTOR

Pada pertengahan Mac 2010 bertempat di Langford, British Columbia, Kanada, mayat seorang remaja perempuan yang dibakar telah ditemui di bawah jambatan kereta api. Mayat itu milik Kimberly Proctor, seorang gadis berusia 18 tahun yang baru sahaja tamat persekolahan. Apa yang bermula sebagai kehilangan biasa akhirnya terbongkar sebagai pembunuhan kejam yang dirancang dengan teliti oleh dua orang remaja lelaki yakni rakan sekolah mangsa sendiri.
Kimberly Proctor dikenali dalam kalangan rakan-rakan sebagai seorang yang pemalu, penyayang dan sangat menggemari haiwan, khususnya kucing. Dia aktif dalam talian, sering berbual dan berkongsi minat melalui media sosial serta forum. Namun di sebalik sifatnya yang baik hati, Kimberly juga pernah menjadi mangsa buli. Sejak zaman sekolah rendah, dia sering diejek kerana suara dan penampilannya yang dianggap janggal oleh rakan sebaya. Walau bagaimanapun, Kimberly cuba mengekalkan hubungan sosial yang sihat dan terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

Antara kenalan yang rapat dengan Kimberly ialah Kruse Wellwood, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun. Kruse pernah cuba mendekati Kimberly secara romantik namun perasaannya tidak dibalas. Menurut laporan, Kimberly pernah menyindir kandungan mesej-mesej berunsur seksual yang dihantar oleh Kruse kepadanya. Sindiran itu dikatakan turut diketahui oleh rakan-rakan lain hingga menyebabkan Kruse berasa tercabar dan terhina. Insiden itu mencetuskan permulaan kepada satu dendam yang Kruse simpan secara diam.
Kruse mempunyai sejarah keluarga yang rumit. Bapanya pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan Kruse sendiri menunjukkan tingkah laku bermasalah sejak usia muda. Dia turut terlibat dengan bahan pornografi ganas dan menunjukkan minat terhadap penyeksaan serta pembunuhan dalam talian. Rakan baiknya iaitu Cameron Moffat yang berusia 16 tahun juga berkongsi minat yang sama. Mereka berdua mula merancang sesuatu yang tidak pernah dijangka oleh sesiapa di sekeliling mereka, satu pembunuhan kejam yang dirancang dengan teliti selama berminggu-minggu. Perbincangan mereka dilakukan secara tertutup di ruang sembang dalam talian dan forum-forum gelap. Mereka berdua menyusun strategi dengan siapa yang akan jadi mangsa, bagaimana cara membunuh dan kaedah untuk menghapuskan bukti. Kimberly menjadi sasaran utama bukan sahaja disebabkan penolakannya terhadap Kruse tetapi juga kerana dianggap lemah dan mudah diperdaya. Mereka menyatakan dengan jelas bahawa Kimberly layak menerima hukuman.
Pada 18 Mac 2010, Kruse menghubungi Kimberly dan mengajaknya ke rumahnya dengan alasan ingin berbual. Kimberly yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju. Setibanya di rumah tersebut, dia terus diserang diikat lalu disumbat mulutnya oleh Kruse dan Cameron. Apa yang berlaku selepas itu amat menyayat hati dan kejam. Kimberly didera secara seksual, diseksa secara fizikal dan dipukul selama beberapa jam. Kedua-dua remaja itu kemudian mencekik Kimberly hingga mati menggunakan wayar sebelum membungkus mayatnya ke dalam beg.
Mayat Kimberly dibawa ke kawasan bawah jambatan berhampiran landasan kereta api dan dibakar bagi menghapuskan bukti jenayah. Namun keesokan harinya, seorang pekerja kereta api menemui mayat yang rentung dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Siasatan polis membawa kepada penemuan maklumat penting daripada telefon bimbit dan komputer riba Kimberly. Mesej terakhirnya menunjukkan komunikasi dengan Kruse sebelum dia hilang. Ini menimbulkan kecurigaan dan polis mula meneliti latar belakang serta aktiviti dalam talian Kruse dan Cameron.

Hasil siasatan komputer menunjukkan sejarah carian yang amat mencurigakan termasuk bagaimana untuk mencekik seseorang, cara membuang mayat dan cara menghapuskan kesan darah. Selain itu, pihak forensik turut menemui video-video sadistik yang menunjukkan minat mereka terhadap keganasan terhadap wanita. Kedua-dua mereka akhirnya ditahan dan dalam soal siasatan. Mereka telah mengaku bersalah dan menceritakan kronologi pembunuhan dengan tenang tanpa menunjukkan sebarang emosi atau rasa bersalah.
Walaupun Kruse dan Cameron masih di bawah umur, mahkamah memutuskan mereka perlu dibicarakan sebagai pesalah dewasa kerana kekejaman dan tahap perancangan jenayah yang tinggi. Pada tahun 2011, kedua-duanya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan syarat tidak layak dipertimbangkan untuk parol selama 10 tahun. Hakim menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak berperikemanusiaan dan terlalu berbahaya untuk masyarakat.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KIMBERLY PROCTOR"