Murid Perempuan 12 Tahun Ditemui Mati Dalam Rumah Kosong, Dicekik Dan Dirogol Jiran Sendiri Ketika Nazak

     INDONESIA – Siasatan intensif pihak berkuasa akhirnya berjaya merungkai misteri penemuan mayat seorang murid perempuan berusia 12 tahun yang ditemui mati dalam keadaan tragis di dalam sebuah rumah kosong di Jalan Sultan Abdullah I, Kecamatan Tallo, Kota Makassar, Sulawesi Selatan. Mangsa yang dikenali dengan inisial NU disahkan menjadi mangsa pembunuhan kejam yang didalangi oleh jiran dekatnya sendiri berinisial IK yang berumur 19 tahun.

     Menurut kenyataan rasmi daripada Ketua Polis Tabes Makassar, Kombes Arya Perdana, suspek bukan sahaja melakukan pembunuhan terancang malah bertindak di luar perikemanusiaan apabila tergamak merogol mangsa ketika kanak-kanak malang itu berada dalam keadaan nazak. Kejadian ngeri ini bermula apabila suspek didapati sudah lama memerhatikan gerak-geri mangsa sebelum bertindak memperdayakannya.

     Pada malam kejadian, suspek memujuk mangsa untuk menemaninya membeli air mineral dan makanan ringan di kedai berhampiran. Suspek bagaimanapun kemudian mengheret mangsa ke sebuah rumah kosong yang terbiar di kawasan kejiranan tersebut. Di lokasi berkenaan, suspek menekup mulut mangsa menggunakan kain serta menekan dada mangsa dengan kuat sehingga kepalanya terhentak pada lantai dan tidak sedarkan diri. Sebaik sahaja melihat mangsa dalam keadaan kritikal dan tidak berdaya, suspek mengambil kesempatan untuk merogolnya.

     Kehilangan mangsa mula disedari oleh bapanya, Syarifuddin, 54 tahun yang bekerja sebagai penunggang teksi motosikal. Menyedari anak perempuannya itu tidak pulang ke rumah hingga jam 10.00 malam, Syarifuddin bersama isteri, anak sulung dan dibantu penduduk kampung melancarkan gerakan mencari di sekitar kawasan perumahan sehingga lewat malam namun gagal menemui sebarang petunjuk.


     Misteri itu akhirnya terjawab menjelang waktu subuh keesokan harinya apabila seorang pemuda tempatan yang ingin membuang air kecil di rumah kosong berkenaan ternampak objek mencurigakan menyerupai tangan manusia. Pemeriksaan lanjut oleh pihak polis menemui mayat NU terbaring terlentang tanpa sebarang pakaian di dalam tandas rumah kosong tersebut. Bagi menyembunyikan jenayahnya, suspek bertindak menimbus mayat mangsa dengan sebuah kotak televisyen rosak serta mengelar pergelangan tangan mangsa demi mengelirukan siasatan pihak berkuasa.

     Ketika proses pemeriksaan dijalankan oleh pihak forensik, suspek IK yang berada di luar rumah dilaporkan cuba mencetuskan kekecohan dalam kalangan penduduk kampung yang berhimpun di situ. Tindakan provokasi tersebut dilakukan dengan sengaja agar pihak polis berasa terganggu dan segera beredar dari lokasi kejadian. Walau bagaimanapun, taktik licik tersebut gagal apabila kecekapan pihak polis berjaya menghidu penglibatan suspek lalu memberkasnya dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

     Pihak polis menegaskan bahawa suspek kini ditahan di lokap balai polis untuk tindakan lanjut. Berdasarkan bukti fizikal dan pengakuan awal, kes ini diklasifikasikan sebagai pembunuhan terancang yang didahului dengan jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah umur. Suspek bakal berdepan dengan pertuduhan mengikut Pasal 459 subsider Pasal 458 Kanun Keseksaan (KUHP) Indonesia yang membawa hukuman maksimum mandatori hukuman mati atau penjara selama 20 tahun.

Catat Ulasan for "Murid Perempuan 12 Tahun Ditemui Mati Dalam Rumah Kosong, Dicekik Dan Dirogol Jiran Sendiri Ketika Nazak"