Kisah Kematian Makayla Irene Nettles yang Benar-Benar Menyedihkan

     Kes ini bermula apabila Makayla Irene Nettles, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni grafik di Moorpark College, California, Amerika Syarikat. Makayla yang sebelum itu menetap di North Carolina bersama ibu dan adik perempuannya telah dihubungi oleh bapa kandungnya iaitu Steven Vincent Chavez. Bapanya yang mengusahakan perniagaan kontraktor elektrik di California menawarkan tempat tinggal serta berjanji akan menanggung yuran pengajian dan perbelanjaan harian Makayla. Menganggap tawaran itu sebagai peluang emas untuk membina semula hubungan kekeluargaan yang berharga, Makayla memutuskan untuk berpindah ke California pada 19 Julai 2025.

      Walau bagaimanapun, harapan dan impian murni remaja tersebut berkecai secara mendadak hanya dua hari selepas dia menetap di sana. Pada malam 20 Julai 2025, Steven Chavez pulang ke rumah dalam keadaan mabuk berat selepas menghadiri perjumpaan keluarga. Dia membawakan sejumlah besar minuman keras sebelum memaksa Makayla untuk minum bersamanya. Walaupun pengambilan alkohol oleh individu berusia 18 tahun adalah menyalahi undang-undang di California, Makayla terkurung dalam serba salah dan menuruti kehendak bapanya demi menjaga hati. Selepas Makayla separa sedar akibat kesan alkohol, Steven mengambil kesempatan membawa anak kandungnya itu ke bilik tidur di tingkat atas.

      Di bilik tersebut, Steven telah melakukan serangan seksual dan merogol Makayla secara kejam selama empat jam berterusan sehingga awal pagi 21 Julai 2025. Sepanjang kejadian keji itu berlaku, Makayla menangis sambil merayu agar bapanya berhenti sambil menyatakan dia mengalami kesakitan dan pendarahan. Steven bagaimanapun langsung tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah. Malah lelaki itu mengeluarkan kata-kata kejam yang memperolokkan keadaan mangsa yang kehilangan kesuciannya pada malam tersebut. Sekitar jam 6:30 pagi, Makayla yang mengalami trauma berat berjaya melarikan diri dari bilik lalu menghubungi ibunya, Karolina Sandoval untuk meminta bantuan.

     Ibu mangsa bersama bapa saudara Makayla bergegas ke lokasi kejadian. Mereka mendapati Makayla berada dalam keadaan separuh berbogel, menggigil ketakutan sambil memeluk kucing peliharaannya serta memegang pasport dan sedikit wang simpanan. Mangsa berada dalam keadaan terlalu lemah hingga perlu diangkat ke dalam kenderaan. Dia segera dibawa ke unit kecemasan Simi Valley Hospital. Pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mengalami pendarahan serta kecederaan fizikal yang teruk. Sampel yang diambil turut mengesahkan kehadiran padanan DNA Steven Chavez pada tubuh mangsa. Pihak polis bertindak menangkap Steven pada hari yang sama atas pelbagai pertuduhan jenayah seksual.

      Namun keadilan awal yang diharapkan tidak bertahan lama apabila Steven dibebaskan hanya seminggu kemudian selepas membayar wang jaminan sebanyak $250,000. Selepas dibebaskan, Steven tidak menunjukkan sebarang penyesalan. Dia menghantar mesej tuduhan kepada bekas isterinya dengan mendakwa diringa tidak sedarkan diri akibat mabuk dan tidak mengingati apa-apa sebelum akhirnya menuduh bekas isterinya cuba memfitnah dirinya.

     Selepas menjalani rawatan hospital selama beberapa minggu, Makayla pulang ke North Carolina untuk kembali tinggal bersama ibunya. Dia cuba membina semula kehidupannya dengan menghadiri akademi kecantikan untuk menjadi jurusolek kuku. Namun luka emosi dan trauma psikologi akibat dikhianati oleh bapa kandung sendiri terlalu mendalam. Perasaan benci terhadap diri sendiri dan kemurungan berterusan membelenggu fikiran mangsa. Pada 22 Disember 2025 yakni genap lima bulan selepas kejadian tersebut, Makayla menulis nota luahan di dalam diarinya sebelum bertindak menggantung diri di dalam biliknya. Walaupun sempat dibawa ke hospital, doktor mengesahkan dia mengalami kematian otak sebelum menghembuskan nafas terakhir enam hari kemudian pada 28 Disember 2025.

     Kematian Makayla mencetuskan cabaran undang-undang yang rumit. Pendakwa Raya Pejabat Wilayah Ventura membuat keputusan untuk tidak mendakwa Steven atas pertuduhan rogol berat. Keputusan ini berpunca daripada peruntukan Perlembagaan AS mengenai Fasal Konfrontasi yang memberi hak kepada tertuduh untuk bersoal jawab secara terus dengan saksi utama. Disebabkan Makayla telah meninggal dunia dan tidak dapat disoal balas di mahkamah, kenyataan rakaman videonya tidak dapat dijadikan bahan bukti kukuh untuk mengatasi dakwaan tertuduh bahawa hubungan tersebut berlaku secara suka sama suka.

     Tindakan pendakwa raya itu mencetuskan kemarahan awam selepas sepupu mangsa, Krystal Sandoval berkongsi kronologi kes tersebut di platform media sosial seperti TikTok dan Instagram. Kempen keadilan yang tular itu mendapat jutaan tontonan dan mendorong ratusan orang awam mengadakan demonstrasi aman di hadapan mahkamah dengan memakai baju ungu tertera slogan Justice for Makayla.

     Ekoran desakan orang ramai secara berterusan, Steven Chavez akhirnya mengaku salah di mahkamah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram, memberi alkohol kepada anak di bawah umur dan menyalahgunakan kedudukan sebagai bapa. Meskipun dia gagal dijatuhi pertuduhan rogol secara langsung, pengakuan bersalah tersebut membolehkannya ditahan dan dipenjarakan serta-merta sementara menunggu hukuman rasmi. Pada masa yang sama, pihak keluarga mangsa turut melancarkan dana sumbangan awam untuk mengemukakan saman sivil bagi memastikan lesen perniagaan Steven ditarik balik sepenuhnya agar dia tidak lagi berpeluang mendekati atau membahayakan mana-mana wanita pada masa hadapan.

Catat Ulasan for "Kisah Kematian Makayla Irene Nettles yang Benar-Benar Menyedihkan "