Kisah Pembunuhan Kejam Diah Rindani

      Diah Rindani dibesarkan dalam sebuah keluarga yang bersederhana dan penuh dengan nilai-nilai murni di Sungai Raya, Daerah Kubu Raya, Kalimantan Barat, Indonesia. Dibimbing oleh bapanya, Solikin yang merupakan seorang pesara polis, Diah dididik dengan prinsip disiplin, kesopanan dan kepentingan pendidikan sejak kecil lagi. Berkat ketekunan dan kerja kerasnya, Diah berjaya dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Awam di mana dia berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Matematik di SMP Negeri 16 Satu Atap Sungai Raya sejak tahun 2017. Setiap hari kerja, Diah sanggup berulang-alik sejauh lebih 30 kilometer dari kediamannya demi menabur bakti mengajar anak-anak bangsa di kawasan pedalaman. 

      ​Di sebelah kediaman keluarga Diah yang hanya dipisahkan jarak sekitar satu meter, tinggal seorang remaja lelaki berusia 16 tahun bernama Obama. Obama merupakan seorang anak yatim piatu yang menyandang status Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu mengalami masalah pendengaran dan masalah pertuturan. Menyedari kekangan hidup dan ketidakupayaan jiran remajanya itu, Diah sering memberikan perhatian yang tinggi. Dia kerap memanggil Obama menggunakan bahasa isyarat tangan untuk memberikan makanan setiap kali memasak lebih selain sering memberikan wang saku kepada remaja berkenaan sebagai tanda simpati dan kasih sayang sesama jiran.

     Memasuki awal bulan Mei 2025, suasana kediaman keluarga Diah dipenuhi dengan kegembiraan dan kesibukan membuat persiapan majlis perkahwinan adiknya. Pada hari Rabu, 7 Mei 2025 yakni sekembalinya daripada mengajar, Diah tetap meluangkan masa membantu ahli keluarganya menguruskan pelbagai keperluan majlis. Pada sekitar jam 7.00 malam, bapanya, Solikin mengadu kesakitan akibat masalah gastrik yang menyerang secara tiba-tiba. Menyedari keadaan bapanya yang semakin memburuk, Diah memujuk sebelum membawa Solikin ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan serta ubat-ubatan.

     ​Sekembalinya dari hospital kira-kira jam 9.00 malam selepas solat Isyak, Diah memastikan bapanya berehat di ruang tamu. Dia mengambil telefon bimbit bapanya untuk menetapkan penggera bagi memastikan ubat diambil mengikut jadual yang ditetapkan oleh doktor. Tepat jam 10.00 malam, Diah beredar ke biliknya untuk menyelesaikan tugas penting iaitu mereka bentuk serta mengemas kini kad jemputan perkahwinan adiknya menggunakan komputer riba. Lampu bilik Diah dibiarkan menyala terang ketika di tekun bekerja di meja belajarnya manakala ahli keluarga lain mula beradu kerana keletihan.

     Menjelang jam 11.50 malam, keheningan malam di Komplek BTN Teluk Mulus terganggu apabila suspek, Obama dipercayai ternampak cahaya skrin komputer riba dan lampu menyala dari arah bilik Diah. Disebabkan dorongan niat menceroboh untuk mencuri barangan berharga berkenaan, Obama bergerak ke bahagian belakang rumah dan berusaha mencari ruang pencerobohan. Suspek akhirnya berjaya menyelinap masuk menerusi pintu belakang dan seterusnya masuk ke dalam bilik Diah melalui celah tingkap.

      ​Pada awalnya, Diah menyedari pergerakan pelik dari arah pintu belakang tetapi tidak menemui sesiapa apabila memeriksa. Namun apabila dia kembali ke biliknya, beliau terkejut besar mendapati Obama sudah berada di dalam bilik tersebut. Dalam keadaan panik dan terkejut, Diah berteriak meminta tolong. Terkejut dengan jeritan mangsa, Obama yang panik bertindak agresif dengan menyerang Diah menggunakan senjata tajam. Remaja lelaki tersebut menetak mangsa secara melulu pada bahagian muka, dada dan tubuh badan sehingga menyebabkan pendarahan parah.

      Bunyi pergelutan, jeritan dan ketukan objek di dalam bilik Diah memecahkan suasana sepi malam. Solikin yang terbangun daripada tidur akibat kegaduhan itu segera bertanyakan hal berkenaan kepada ahli keluarga yang lain sebelum bergegas menuju ke bilik anak perempuannya. Setibanya di hadapan pintu bilik, Solikin mendapati pintu sukar dibuka seperti dihalang oleh sesuatu di bahagian dalam. Dia memanggil nama anaknya berulang kali namun tiada sebarang sahutan.

      ​Menggunakan baki tenaga yang ada, Solikin menolak pintu bilik tersebut dengan kuat. Apabila pintu terbuka sedikit, dia terkejut apabila melihat mayat anak perempuannya terbaring di lantai bertutup dengan darah tepat di sebalik pintu. Pada masa yang sama, Solikin mendapati suspek masih berada di dalam bilik berkenaan. Berbekalkan naluri serta pengalaman sebagai bekas anggota polis, Solikin tanpa menghiraukan keselamatan diri terus menerpa dan merangkul suspek bagi menghalang remaja itu daripada melarikan diri atau mencederakan ahli keluarga yang lain.

     ​Pergelutan sengit berlaku di dalam bilik hingga melimpah ke ruang tamu dan kawasan luar rumah. Solikin mengalami beberapa kecederaan fizikal sewaktu menahan suspek. Ibu mangsa berlari keluar rumah sambil menjerit meminta pertolongan jiran tetangga. Mendengar jeritan tersebut, jiran-jiran berdekatan bergegas keluar dan membantu Solikin yang kelihatan amat keletihan memegang suspek. Penduduk setempat bertindak mengikat suspek menggunakan tali sekadarnya sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.


      Sebaik sahaja suspek berjaya diikat, fokus utama Solikin dan warga tempatan bertukar kepada usaha menyelamatkan nyawa Diah. Mangsa segera diusung dan dikejarkan ke Hospital Kartika Husada menggunakan kenderaan jiran. Di sepanjang perjalanan, Solikin tidak henti-henti memanggil nama anaknya dengan harapan mangsa dapat bertahan. Setibanya di Jabatan Kecemasan, pasukan perubatan bertindak pantas memberikan bantuan pernafasan kecemasan dan rawatan intensif. Namun disebabkan kecederaan parah dan kehilangan darah yang terlalu banyak, Diah Rindani disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

      ​Sementara itu, pihak polis tiba di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh. Suspek yang ditahan warga diserahkan kepada pihak polis bersama barang bukti termasuk senjata tajam dapur bertutup sarung yang digunakan dalam serangan tersebut. Disebabkan suspek merupakan OKU pendengaran dan pertuturan, pihak penyiasat mengambil inisiatif melantik ahli bahasa isyarat bertauliah untuk membantu proses penyoalan serta komunikasi sepanjang siasatan dijalankan.

     Pemergian Diah Rindani membawa duka yang mendalam bukan sahaja kepada keluarg malah kepada seluruh warga sekolah SMPN 16 Satu Atap Sungai Raya dan penduduk Desa Teluk Kapuas. Suasana gembira bagi merayakan majlis perkahwinan adiknya serta-merta bertukar menjadi majlis pengebumian yang penuh dengan linangan air mata. Pengetua sekolah, Aris Basuki serta rakan-rakan guru menyifatkan Diah sebagai seorang pendidik yang sangat berdedikasi, berdisiplin dan berhati mulia.

     ​Dari sudut perundangan, pihak polis mengenakan pertuduhan di bawah Seksyen 338 KUHP (Pembunuhan) serta Seksyen 365 KUHP (Pencurian dengan Kekerasan) terhadap suspek. Cuma memandangkan suspek baru berusia 16 tahun dan tergolong sebagai pesalah kanak-kanak, pelaksanaannya tertakluk di bawah Sistem Keadilan Jenayah Kanak-Kanak mengikut undang-undang Indonesia.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Diah Rindani"