Kisah Kematian Sora dan Sojung yang Benar-Benar Menyedihkan

Di set penggambaran berkenaan, wujud satu budaya toksik di mana eksploitasi dan gangguan seksual terhadap pekerja wanita berpangkat rendah sudah menjadi perkara biasa yang dilakukan oleh pihak pengurusan atasan. Penderitaan Sora bermula apabila dia dipanggil oleh ketua kru untuk keluar makan lalu diberikan minuman keras yang dipercayai telah dicampur dengan ubat tidur sehingga dia tidak sedarkan diri. Mengambil kesempatan atas kelemahan mangsa, lelaki berkenaan bertindak merogolnya. Sejak malam tersebut, keadaan menjadi semakin tidak terkawal. Dalam tempoh tiga bulan penggambaran, Sora dikurung, diugut dan menjadi mangsa rogol secara bergilir-gilir oleh 12 orang lelaki yang terdiri daripada pengurus uji bakat, ketua kru dan kakitangan produksi sebanyak lebih 40 kali.

Bagi memastikan mangsa tidak melarikan diri atau membuat laporan, kumpulan pemangsa ini menggunakan taktik ugutan yang sangat licik dan kejam. Mereka merakam gambar bogel Sora dan mengancam akan menyebarkannya sekiranya dia berani bersuara. Pelaku bahkan turut mengugut untuk menculik adiknya, Sojung serta membunuh seluruh ahli keluarganya. Tekanan fizikal serta mental yang keterlaluan, termasuk penderaan menggunakan api pemetik api, rokok yang ditekan pada wajah serta ugutan senjata tajam menyebabkan Sora berada dalam ketakutan yang amat sangat sehinggakan dia terpaksa menuruti segala kemahuan mereka seperti menyerahkan wang tunai dan barangan berjenama.
Mimpi ngeri itu mula disedari oleh keluarga apabila Sora pulang ke rumah pada bulan September 2004 dalam keadaan mental yang sudah tidak stabil. Sora menunjukkan tingkah laku luar biasa seperti meracau, menghantuk kepala, berjalan tanpa sebarang pakaian di dalam rumah serta mengalami ketakutan melampau (paranoia) bahawa dia sedang diintip. Pemeriksaan perubatan mengesahkan dia mengalami Gangguan Stres Pascatrauma (PTSD) yang sangat kronik dan jangkitan penyakit fizikal akibat serangan seksual berulang kali. Didorong oleh rasa tanggungjawab untuk menuntut keadilan, ibu mangsa, Jang Yong-no mengumpul segala bukti yang ada seperti diari, rakaman suara dan laporan perubatan untuk memfailkan saman rasmi pada Disember 2004.

Malangnya, pihak polis di Stesen Polis Jongno, Seoul memberikan layanan yang sangat menyedihkan dan tidak berperikemanusiaan pada tahun 2005. Terikat dengan prejudis kuno terhadap mangsa rogol atau rape myth yakni pandangan bahawa mangsa sendiri yang menggoda atau rela kerana tidak segera melarikan diri, pihak polis melengah-lengahkan siasatan dan memperlekehkan bukti yang dibawa oleh ibu mangsa. Anggota polis yang bertugas malah mengeluarkan kenyataan menghina seperti mempersoalkan mengapa Sora melakukan hubungan intim dengan 12 orang lelaki sekiranya dia benar-benar menolak.
Siasatan bertukar menjadi sesi penderaan psikologi sekunder apabila pihak polis menempatkan Sora di dalam bilik soal siasat yang sama dengan kumpulan pelaku tanpa sebarang tirai penghadang. Di hadapan polis, suspek-suspek berkenaan mentertawakan dan membuat aksi berahi bagi menggambarkan semula kejadian rogol tersebut sementara pihak polis sekadar melihat serta turut ketawa. Kezaliman pihak berkuasa mencapai kemuncak apabila seorang pegawai polis menyerahkan pembaris serta pensel warna kepada Sora sebelum mengarahkannya melukis saiz dan bentuk kemaluan suspek secara terperinci sambil menangis. Akibat tidak tahan dengan penghinaan dan tekanan fizikal untuk menandatangani surat penarikan balik kes, Sora akhirnya mengalah lalu menarik semula aduannya pada tahun 2006.
Ketiadaan keadilan dan trauma yang tidak pernah sembuh akhirnya membawa kepada pengakhiran yang paling menyayat hati. Pada 28 Ogos 2009, Yang Sora mengambil keputusan untuk menamatkan penderitaannya dengan terjun dari tingkat 18 bangunan apartmen kediamannya pada jam 8:18 malam. Pemilihan angka 18 dalam tarikh, masa dan tingkat bangunan itu dipercayai merupakan simbolik luahan kemarahan dan sumpahan terakhirnya terhadap dunia yang kejam ini memandangkan nombor 18 merupakan kata makian yang sangat kasar dalam bahasa Korea.

Kejadian tidak berhenti di situ. Enam hari kemudian iaitu pada 3 September 2009, adiknya, Sojung turut membunuh diri selepas meninggalkan nota yang meminta ibunya membalas dendam terhadap semua pelaku. Sojung tidak dapat menanggung rasa bersalah yang teramat sangat kerana dia yang memperkenalkan pekerjaan pelakon ekstra itu kepada kakaknya. Kesedihan yang bertimpa-timpa itu turut meragut nyawa bapa mereka yang meninggal dunia dua bulan kemudian akibat serangan angin ahmar ekoran tekanan jiwa yang melampau. Dalam sekelip mata, Jang Yong-no kehilangan seluruh ahli keluarga tersayang.
Meskipun kesemua 12 suspek terlepas daripada hukuman jenayah atas faktor teknikal undang-undang dan tempoh masa statut sekatan (statute of limitations) yang telah tamat, Jang Yong-no enggan berundur. Hingga tahun 2026, wanita cekal ini masih meneruskan perjuangannya melalui platform media sosial, saluran YouTube dan demonstrasi jalanan bagi mendedahkan identiti para pelaku yang dilaporkan masih hidup senang serta bekerja dalam industri penyiaran.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Sora dan Sojung yang Benar-Benar Menyedihkan "