Pempengaruh Makanan Korea Selatan Ini Jadi Mangsa Gangguan Seksual Secara Terbuka

INDONESIA - Seorang pempengaruh makanan (food vlogger) warga Korea Selatan dilaporkan menjadi mangsa gangguan seksual oleh pemilik sebuah restoran di kawasan Blok M, Jakarta. Kejadian yang berlaku pada tahun 2024 itu kembali menjadi bualan hangat netizen selepas rakaman video kejadian tersebut tular semula di media sosial. (Video di hujung artikel)
Rakaman video yang tersebar luas itu memaparkan aksi tidak sopan pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Eko Minsya yang bertindak mencium bahagian tubuh mangsa iaitu Kelly dari arah belakang ketika mangsa sedang menikmati hidangan di restoran miliknya, MakanQ.
Susulan penularan semula video tersebut yang mencetuskan kemarahan serta kecaman hebat daripada warganet, Eko bertindak menutup akses akaun Instagram miliknya bagi mengelakkan perhatian umum. Dia bagaimanapun kemudian tampil membuat penjelasan dan permohonan maaf secara terbuka menerusi platform Threads.
Dalam kenyataan tersebut, Eko mengakui bahawa individu yang melakukan perbuatan tidak bermoral di dalam video berkenaan adalah dirinya. Dia menyatakan kesedaran bahawa jejak digital tidak mungkin dapat dipadamkan dan menyatakan kesediaan untuk bertanggungjawab atas perbuatannya.

"Video yang sedang beredar tersebut memang benar adalah saya. Peristiwa dalam video itu merupakan kejadian yang berlaku pada tahun 2024 dan melibatkan Kelly," jelas Eko dalam kenyataannya.
Tambah Eko lagi, dia sebenarnya telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun X sejurus selepas kejadian tu berlaku pada tahun 2024. Selain itu, Eko mendakwa telah berhubung dengan mangsa menerusi kiriman mesej langsung (DM) di Instagram sebagai langkah untuk menyelesaikan isu tersebut secara peribadi.
"Tentang bagaimana video itu kembali tersebar, saya memahami bahawa perhatian awam kembali tertumpu kepada kejadian tersebut. Oleh itu, saya sekali lagi memohon maaf kepada Kelly dan kepada seluruh pihak yang berasa kecewa atau terganggu akibat kejadian ini. Saya tidak bermaksud untuk menghindari tanggungjawab ataupun mencari sebarang kebenaran," tegasnya.
Hingga kini, isu tersebut terus menjadi perbincangan hangat di media sosial dengan rata-rata warganet masih menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan individu terbabit meskipun permohonan maaf telah dibuat.
Catat Ulasan for "Pempengaruh Makanan Korea Selatan Ini Jadi Mangsa Gangguan Seksual Secara Terbuka"