Kisah Kematian Amaira yang Benar-Benar Menyedihkan

. Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terbaru yang dikeluarkan oleh keluarga mendiang Amaira, seorang murid tahun empat berusia sembilan tahun telah memberikan dimensi baharu terhadap kes bunuh diri yang berlaku di Sekolah Neerja Modi, Jaipur, India. Mendiang dilaporkan maut selepas terjun dari tingkat empat bangunan sekolah tersebut pada November tahun lalu.
Video yang dikongsi oleh ibu bapa Amaira itu merakamkan detik-detik sebelum kejadian berlaku. Menurut keluarga tersebut, rakaman itu menyokong dakwaan mereka selama ini bahawa Amaira sering dibuli oleh rakan sekelasnya dan terdapat usaha berulang kali yang dilakukan oleh mendiang untuk mendapatkan bantuan daripada guru kelasnya tidak diendahkan.
Keluarga mendiang turut melahirkan rasa kesal terhadap pihak polis kerana didakwa gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya. Mereka menuntut agar peruntukan yang lebih tegas di bawah Akta Keadilan Juvana dikenakan terhadap pengetua dan pengerusi sekolah selain guru kelas yang sudah dinamakan dalam kes ini.

Amaira disahkan meninggal dunia pada 1 November selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 48 kaki di bangunan sekolah tersebut. Walaupun sempat dikejarkan ke hospital berdekatan, dia disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba. Sejak kejadian itu, ibu bapa Amaira sentiasa menegaskan bahawa buli yang berpanjangan di dalam kelas serta kegagalan pihak sekolah untuk campur tangan telah mendorong anak mereka mengambil tindakan nekad tersebut.
Rakaman CCTV baharu yang disertakan dengan ulasan suara oleh pihak keluarga itu menyusun semula urutan kejadian di dalam bilik darjah sebelum kematian Amaira (Video di hujung artikel). Video tersebut memaparkan Amaira memasuki kelas seperti biasa. Dia bahkan sempat menyapa rakan dan menyertai aktiviti tarian bersama murid lain. Walau bagaimanapun, keadaan berubah apabila sekumpulan murid dilihat membawa masuk papan tulis digital di mana mereka berulang kali menunjukkan sesuatu kepada Amaira.
Keluarga mendiang mendakwa, Amaira kelihatan semakin tidak selesa, malu dan tertekan akibat perbuatan rakan-rakannya itu. Rakaman tersebut juga menunjukkan Amaira beberapa kali cuba menghampiri guru kelasnya iaitu Puneeta Sharma yakni seolah-olah cuba menjelaskan situasi dan mendapatkan bantuan. Malangnya dakwa keluarga itu, setiap kali Amaira cuba bercakap, murid lain sering mencelah dan guru tersebut gagal memberikan ruang perbincangan peribadi. Dalam keadaan tertekan, Amaira dilihat merayu dengan menyatukan tangan, menekup mulut dan memegang kepala. Guru tersebut bagaimanapun didakwa bertindak dengan cara yang tegas dan menakutkan, bukannya memberi sokongan moral.

Tidak lama kemudian, Amaira dilihat keluar dari bilik darjah seorang diri. Menurut ibu bapanya, tiada guru atau kakitangan sekolah yang cuba menghalang atau memantau pergerakan Amaira ketika dia berjalan menuju ke tingkat empat. Ibu bapa Amaira percaya bahawa kegagalan pihak sekolah melindungi anak mereka walaupun terdapat tanda-tanda jelas bahawa kanak-kanak itu berada dalam tekanan emosi, membuktikan wujudnya kecuaian yang serius.
Ibu mendiang, Shivani mendakwa pihak keluarga berdepan kesukaran mendapatkan sokongan pihak polis walaupun sudah berkali-kali membuat aduan. Dia mendakwa pihak berkuasa sering tidak menjawab panggilan dan enggan mengadakan pertemuan. Selain itu, kes ini didakwa telah dikendalikan oleh tiga pegawai penyiasat yang berbeza namun peruntukan undang-undang yang sewajarnya masih belum diaplikasikan. Shivani turut mempersoalkan sistem pemantauan sekolah dan tanggungjawab pengetua, Indu Dubey kerana membiarkan seorang murid berusia sembilan tahun bergerak di seluruh bangunan sekolah tanpa disedari.

Bapa mendiang, Vijay turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perjalanan siasatan dan mendakwa terdapat campur tangan pihak berpengaruh. Namun mereka berjanji untuk meneruskan perjuangan undang-undang sehingga keadilan buat anak mereka ditegakkan.
Hingga kini, pihak polis telah memfailkan pertuduhan terhadap pemilik sekolah, Saurabh Modi, pengetua, Indu Dubey dan guru kelas, Puneeta Sharma di bawah peruntukan Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) berkaitan kecuaian jenayah. Bagi keluarga Amaira, pertuduhan tersebut belum memadai. Mereka mendesak agar peruntukan yang lebih ketat di bawah Akta Keadilan Juvana dikenakan dengan alasan bahawa bukti yang ada menunjukkan kegagalan sistemik pihak sekolah dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan murid di bawah jagaan mereka.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Amaira yang Benar-Benar Menyedihkan"