Kisah Pembunuhan Kejam Anti Puspita Sari

      Anti Puspita Sari, seorang wanita berusia 22 tahun, dikenali sebagai seorang penghantar makanan dalam talian yang peramah dan rajin bekerja. Namun di sebalik imej tersebut, kehidupan peribadinya berdepan dengan pelbagai cabaran. Dia tinggal bersama suaminya iaitu Adi Rosadi dalam sebuah rumah tangga yang pernah diuji dengan konflik kepercayaan ekoran tindakan Anti yang sebelum ini pernah melakukan hubungan sulit melalui pesanan ringkas dengan lelaki lain. Walaupun hubungan mereka sempat renggang, Adi memilih untuk memaafkan Anti apabila mengetahui isterinya sedang hamil. Malangnya, beban kewangan yang menghimpit serta timbunan hutang menyebabkan Anti terdesak. Dalam usaha mencari jalan pintas untuk menyelesaikan masalah ekonomi, dia membuat keputusan nekad untuk terlibat dalam aktiviti tidak bermoral tanpa pengetahuan suaminya.

      Pada pagi 10 Oktober 2025 yakni selepas menghantar suaminya ke tempat kerja, Anti memulakan langkah yang akhirnya membawa kepada kematiannya. Dia berhubung dengan seorang pelanggan bernama Febrianto, pemuda berusia 22 tahun asal Trenggalek yang menetap di Banyuasin, Sumatera Selatan melalui media sosial. Mereka bersepakat untuk bertemu di sebuah hotel dengan sejumlah bayaran untuk dua sesi. Rakaman CCTV hotel menunjukkan mereka memasuki bilik penginapan pada waktu petang. Suasana bagaimanapun bertukar tegang sebaik sahaja sesi pertama selesai. Anti meminta pelanggan tersebut untuk segera beredar. Walau bagaimanapun, Febrianto enggan berganjak kerana mendakwa dia telah membayar untuk dua sesi seperti yang dijanjikan.

     Pertengkaran kecil mengenai kesepakatan tersebut bertukar menjadi pergaduhan ganas apabila Anti tetap berkeras mahu pulang. Maka dalam keadaan emosi yang tidak terkawal, Febrianto bertindak agresif dengan menekup mangsa dari arah belakang menggunakan pakaian. Apabila Anti cuba melawan, pelaku menyumbat mulut mangsa dengan kain hitam sebelum mencekiknya hingga tidak lagi bernafas. Selepas memastikan mangsa tidak lagi bergerak, pelaku mengikat tangan Anti ke belakang menggunakan tudung milik mangsa sebelum melarikan diri dengan membawa motosikal dan telefon pintar wanita malang itu. 

     Jenayah kejam ini terbongkar pada keesokan harinya apabila kakitangan hotel curiga kerana mangsa tidak melakukan daftar keluar mengikut waktu yang ditetapkan. Pemeriksaan lanjut menemui mayat Anti dalam keadaan ngeri di atas katil yang membawa kepada laporan polis serta siasatan forensik segera. Melalui rakaman CCTV dan jejak digital perbualan dalam telefon mangsa, identiti Febrianto berjaya dikesan. Walaupun pelaku cuba menyembunyikan diri dengan membuang bukti ke dalam sungai dan menanggalkan nombor plat motosikal curi, dia akhirnya dikesan di Muara Padang pada 15 Oktober. Semasa operasi penangkapan, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kaki pelaku setelah dia cuba melarikan diri.

     Kes ini akhirnya dibawa ke muka pengadilan di mana segala bukti termasuk hasil forensik yang mengesahkan kematian mangsa akibat kelemasan dan tekanan pada leher. Febrianto telah mengaku bersalah atas perbuatannya yang didorong oleh kemarahan sesaat akibat rasa tertipu. Dia kini berdepan dengan hukuman berat termasuk kemungkinan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Anti Puspita Sari"