KISAH GYPSY ROSE: Perempuan Kurang Upaya Bunuh Ibu Sendiri
Gypsy Rose & Dee Dee Blancharde - Green County Sheriff Office
Clauddine Blancharde atau Dee Dee Blancharde merupakan seorang ibu tunggal berusia 48 tahun yang tinggal bersama anak istimewanya iaitu Gypsy Rose Blancharde bertempat di Springfield, Missouri, Amerika Syarikat. Mereka berdua mendiami di sebuah rumah yang telah disediakan oleh badan NGO iaitu Habitat for Humanity. Rumah yang memang dibina khas untuk insan kurang upaya seperti Gypsy itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti tanjakan kerusi roda, tab mandi dan alat projektor untuk memainkan filem.
Investigation Discovery
Jika dilihat dari segi luaran, kehidupan pasangan anak beranak itu nampak bahagia dengan Dee Dee digambarkan sebagai seorang ibu penyayang yang begitu disenangi oleh jiran di sekeliling mereka. Dee dee yang rela mengorbankan segala-galanya untuk menjaga Gypsy sangat beruntung kerana dia bukan saja menerima banyak bantuan kewangan, bahkan juga memperolehi pelbagai jenis tajaan daripada pelbagai pihak seperti lawatan ke Disney World, tiket penerbangan percuma, berjumpa dengan selebriti dan sebagainya. Ditambah lagi dengan wang perbelanjaan bulanan kiriman bapa Gypsy iaitu Rod Blanchard, kehidupan Dee Dee dan anaknya itu boleh dikatakan serba mencukupi.
Kisah kehidupan Dee Dee dan Gypsy yang sering kali mendapat liputan media itu ternyata menjadi inspirasi kepada orang ramai tentang kecekalan serta kesabaran yang harus ditempuh oleh seorang ibu untuk membesarkan seorang anak istimewa.
Gypsy Rose hanyalah seorang perempuan kurang upaya berkepala botak yang mempunyai tubuh badan kecil dengan ketinggian 152 sentimeter. Dia yang dilahirkan pada 27 Julai 1991 dinamakan sebagai "Gypsy Rose" kerana "Gypsy" merupakan nama kegemaran Dee Dee, manakala perkataan "Rose" pula diambil sempena nama kumpulan rock terkenal iaitu Guns N' Roses. Jika diperhatikan betul-betul raut wajah Gypsy, dia yang memakai cermin mata bulat kelihatan seolah-olah lebih tua daripada usianya yang sebenar.
Gypsy terpaksa memakai kerusi roda untuk seumur hidup selepas terlibat dalam satu kemalangan kecil sewaktu usianya lapan tahun. Dia juga telah menderita pelbagai jenis penyakit secara berperingkat sejak daripada bayi lagi seperti penyakit leukemia, kecacatan jantung, asma, sakit saraf, distrofi otot, masalah pernafasan, masalah penglihatan serta pendengaran, lumpuh dan lain-lain. Disebabkan itu, Gypsy terpaksa diberikan bermacam-macam jenis rawatan dan pil untuk meneruskan kehidupan. Malah badan Gypsy juga terpaksa dimasukkan dengan tiub pemakanan kerana dia tidak boleh makan secara normal. Lagi menyedihkan untuk didengari, Gypsy telah melalui banyak pembedahan tidak kiralah pembedahan kecil mahupun pembedahan besar.
Gypsy bukan sahaja seorang yang tidak pernah kedekut dengan senyuman, bahkan peramah dan juga petah dalam berkata-kata. Meskipun hidup dalam ketidaksempurnaan fizikal, semua itu tidak menghalang Gypsy untuk bersolek bagaikan seorang puteri. Jika dilihat dalam kebanyakan foto Gypsy bersama ibunya, dia dilihat gemar memakai rambut palsu dan mengenakan pakaian ala-ala Cinderella.
Pada 14 Jun 2015, Facebook milik Dee Dee telah memuat naik satu status yang bertulis,
"Wanita j***n* itu sudah mati "
Perkara tersebut ternyata mengundang kecurigaan terhadap netizen Facebook memandangkan status sedemikian tidak menggambarkan keperibadian Dee Dee yang sebenar. Lagipun Dee Dee juga tidak pernah melontarkan kata-kata kesat di mana-mana laman media sosial. Keadaan mula menjadi sedikit panik selepas Dee Dee menulis komen kesat terhadap statusnya sendiri itu. Ekoran berasa bimbang, rakan Dee Dee kemudian bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Selepas pihak polis melakukan pemeriksaan, mayat Dee Dee yang telah pun mati selama beberapa hari ditemui terbaring secara meniarap di atas katil dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh badannya. Sementara itu, Gypsy pula gagal ditemui sekaligus menimbulkan teori awal bahawa dia telah menjadi mangsa penculikan.
Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menjejaki alamat IP penggodam Facebook Dee Dee. Penggodam itu telah dikenal pasti sebagai Nicholas Godejohn yang menginap di Big Wend, Wincounsin. Bertindak atas maklumat tersebut, pihak polis berjaya menangkap Godejohn di rumahnya. Begitu juga dengan Gypsy yang relah ditemui dalam keadaan sihat dan selamat. Namun, di sinilah segala-galanya terbongkar. Tersingkap sebuah rahsia yang begitu mengejutkan ramai pihak.
Rekod kesihatan Gypsy Rose sebagai orang kurang upaya sebelum ini adalah tidak benar sama sekali! Tiada keperluan pun untuk dia menjalani pembedahan, memakai tiub pemakanan, memakai kerusi roda, membawa tabung oksigen dan peralatan lain-lain. Bahkan rambut Gypsy yang botak bukanlah disebabkan keguguran tetapi sebaliknya kerana dicukur. Penjelasan mudah, Gypsy Rose tidak pernah mengidap sebarang jenis penyakit. Dia adalah seorang perempuan yang boleh berjalan, berlari, makan dan dapat melakukan lain-lain aktiviti normal seperti yang dilakukan oleh manusia lain.
Rupa-rupanya sepanjang hidup Gypsy, dia telah dikawal dan diawasi oleh Dee Dee. Menurut laporan, Dee Dee sebenarnya mengidap sindrom Muncausen iaitu satu sindrom di mana seseorang itu sanggup berbohong tentang rekod kesihatan jagaannya demi untuk mendapatkan simpati dan keuntungan. Seperti apa yang diberitahu, Dee dan Gypsy hidup dalam keadaan yang agak mewah kerana mendapat banyak bantuan kewangan dan tajaan. Jadi, hal ini memberi banyak kelebihan terhadap Dee Dee kerana dia hanya perlu goyang kaki untuk mendapatkan wang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Dee Dee tidak membenarkan sama sekali Gypsy untuk pergi bersekolah. Setiap percakapan, pergerakan dan hubungan Gypsy dengan orang di sekelilingnya juga akan dipantau. Pada mata orang ramai, Dee Dee adalah seorang ibu yang penyayang sedangkan pada hakikatnya Gypsy hidup dengan penuh menderita.
Seperkara lagi adalah latar belakang Dee Dee yang merupakan seorang bekas jururawat. Jadi tiada masalah pun untuknya dalam usaha memperdayakan para doktor. Ini termasuklah mereka-reka cerita palsu tentang simptom-simptom penyakit yang dialami oleh Gypsy.
Sebenarnya pernah ada seorang pakar perubatan Springfield yang bernama Bernardo Flasterstein telah menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas Gyspsy Rose. Berdasarkan pemeriksaannya itu mendapati Gypsy tidak mengalami sebarang masalah otot seperti yang didakwa oleh Dee Dee. Risau perbuatannya terbongkar, Dee Dee terus berhenti daripada mengadakan perjumpaan dengan doktor tersebut.
Pada tahun 2009 pula, ada seorang individu misteri bertindak menghubungi pihak polis untuk memberitahu maklumat sebenar tentang tahap kesihatan Gypsy. Lantaran itu, pegawai yang bertanggungjawab telah pergi ke rumah Dee Dee untuk menyiasat perkara sebenar. Sekali lagi, Dee Dee berjaya memanipulasi keadaan.
Gypsy Rose dan Nicholas Godejohn
Gyspy mula berkenalan dengan Nicholas Godejohn pada tahun 2012 menerusi laman web jodoh. Selepas sekian lama saling mengenali, Godejohn yang juga mempunyai rekod lampau sakit mental telah menuruti permintaan Gypsy untuk membunuh Dee Dee.
Malam bulan Jun 2015, Dee Dee ditikam berkali-kali oleh Godejohn ketika sedang tidur. Sejurus pembunuhan itu, barulah Gypsy mengenali erti kebebasan yang sebenar. Dia dan Godejohn yang sempat untuk melakukan hubungan seks telah melarikan diri dengan membawa wang tunai berjumlah $4,000.
Hasil keputusan perbicaraan kes Dee Dee, Godejohn akhirnya telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup manakala Gypsy pula dipenjarakan selama 10 tahun. Kes Gypsy ini sebenarnya mengundang simpati ramai pihak. Dilahirkan secara normal, namun disakiti seperti orang tidak normal sedangkan pada hakikatnya Gypsy hanyalah perempuan biasa yang inginkan kesempurnaan dalam menjalani kehidupan seperti perempuan lain seusianya. Menerusi satu wawancara pada tahun 2018, Gypsy berkata :
"Saya rasa saya lebih hidup bebas di dalam penjara berbanding tinggal bersama ibu saya kerana sekarang saya boleh hidup seperti seorang gadis yang normal."
Mcm kt Msia la bru² ni..ad sorg hamba Allah tu..gunakan alasan sakit kronik utk nk raih simpati kt public..nak mintak kete la..tudung mahal la..bercuti la..hmmm..mcm² perangai manusia akhir zaman ni😩
BalasPadam