Kisah Pembunuhan Kejam Chen Wan-ting

     Pada tanggal 15 Mac 2013, sebuah tandas awam yang terletak bersebelahan dengan Kuil Xuan Xiu Shang Tian Gong (Mazu) di Daerah Chiayi, Taiwan telah menjadi lokasi penemuan salah satu kes jenayah ngeri yang pernah berlaku di negara tersebut. Penemuan ini bermula apabila Balai Polis Sanchong di New Taipei City menerima seucuk surat layang tanpa nama yang misteri. Di dalam surat tersebut, individu yang menggelarkan dirinya sebagai "Orang Baik Hati" menulis pesanan ringkas dengan tulisan tangan yang sengaja dirosakkan, "Tolong kebumikan mayat Chen Wan-ting dengan sempurna di tandas awam 200 meter dari Pertubuhan Peladang Air Chiayi. Saya tidak mempunyai wang, terima kasih."  Sejurus menerima maklumat itu, pihak polis Chiayi segera dikerahkan ke lokasi lalu menemui sebuah bungkusan plastik berlapis-lapis di atas tangki air tandas awam berkenaan.

​     Sebaik sahaja bungkusan berlapis tujuh itu dibuka oleh pakar forensik, suasana bertukar menjadi ngeri. Di dalam bungkusan yang dipenuhi lapisan pakaian wanita itu, terdapat satu kepala manusia yang dipotong kemas dari bahagian bawah rahang. Apa yang mengejutkan, kepala wanita tersebut telah dilumuri dengan kuantiti garam kasar yang sangat banyak. Proses penggaraman ini menyebabkan kulit wajah mangsa mengecut, kering dan dehidrasi hingga menjadikannya kelihatan seperti daging salai atau dendeng. Taktik melumuri garam ini dipercayai sengaja dilakukan oleh pembunuh untuk mengelakkan bau busuk dan melambatkan proses pembusukan sekali gus menyukarkan pakar forensik menentukan masa sebenar kematian mangsa. Di dalam poket jaket bungkusan tersebut, polis turut menemui sekeping kertas kecil bertulis nama "Chen Wan-ting" yang mengesahkan identiti mangsa.

​     Mangsa, Chen Wan-ting merupakan seorang wanita berusia 36 tahun yang mempunyai sejarah hidup yang amat menyedihkan. Semasa zaman remajanya, dia dikenali sebagai seorang gadis yang sangat jelita dan sering menjadi buruan syarikat pengiklanan. Walau bagaimanapun, nasibnya berubah selepas dia berkahwin dengan seorang lelaki yang kemudian mengabaikan dan menceraikannya selepas tamat latihan ketenteraan. Akibat tekanan hidup yang terlampau dan kehilangan hak penjagaan anak, kesihatan mental Wan-ting terjejas teruk hingga dia disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) mental. Dia pulang ke rumah keluarganya di Sanchong dan sering merayau di kawasan pasar dengan berpakaian tidur putih serta solekan wajah yang tebal dan pelik. Bagi menyara hidup dan ketagihan merokoknya, Wan-ting dilaporkan mula terlibat dalam aktiviti pelacuran jalanan yang murah di sekitar kawasan berkenaan.

     ​Siasatan pihak polis mula menolak teori bahawa Wan-ting dibunuh oleh pelanggan pelacurannya apabila fokus beralih kepada nama mangsa. Nama "Chen Wan-ting" merupakan nama baharu yang ditukar oleh ibunya secara senyap demi mengubah nasib mangsa manakala jiran tetangga hanya mengenali mangsa dengan nama lamanya, Ah Hui. Fakta bahawa pembunuh mengetahui nama baharu mangsa membuktikan bahawa dalang pembunuhan ini merupakan ahli keluarga terdekat yang tinggal bersama mangsa. Bukti penunjuk arah akhirnya tertumpu kepada abang kandung mangsa sendiri iaitu Chen Jia-fu yang bekerja sebagai pembantu tukang masak di sebuah restoran bufet. Sehari sebelum penemuan kepala tersebut, Chen Jia-fu telah mengambil cuti dengan alasan ingin membersihkan rumah. Dia bahkan sempat meminjam sebilah pisau pemotong daging yang besar dan sarung tangan getah daripada majikannya.

​      Motif di sebalik pembunuhan kejam ini akhirnya terbongkar sebagai plot penipuan insurans yang didorong oleh sifat tamak. Sejak tahun 2011, Chen Jia-fu didapati telah membeli lima polisi insurans hayat bernilai tinggi atas nama adik kandungnya itu dengan jumlah pampasan keseluruhan mencecah NT$ 6.67 juta (sekitar RM1 juta) di mana dirinya dinamakan sebagai penerima tunggal. Mengikut undang-undang sivil Taiwan, tuntutan insurans bagi orang hilang hanya boleh dibuat selepas tempoh 7 tahun. Disebabkan kesempitan wang dan tidak sanggup menunggu lama, Jia-fu merancang plot licik dengan membuang kepala adiknya di tandas awam yang jauh di Chiayi (sekitar 200–300 kilometer dari rumah mereka) dan menghantar surat layang kepada polis bagi mempercepatkan pengesahan kematian adiknya agar wang insurans dapat dikeluarkan dengan segera.

      ​Cara pelupusan mayat yang dilakukan oleh Chen Jia-fu amat tidak berperikemanusiaan. Berdasarkan pemeriksaan forensik di flat kediaman mereka, pihak polis menemui kesan darah mangsa di celah-celah jubin bilik mandi, lubang tandas dan perangkap air. Siasatan mendedahkan bahawa selepas mencekik Wan-ting sehingga mati pada 9 Disember 2012, Jia-fu menggunakan kepakarannya sebagai tukang masak untuk mengerat mayat adiknya. Anggota badan dan organ dalaman mangsa dimasukkan ke dalam mesin pengisar daging, dihancurkan menjadi serpihan halus sebelum dibilas dengan air dan dialirkan ke dalam sistem paip kumbahan rumah mereka. Malah pihak polis turut menemui kesan DNA mangsa di dalam sebuah periuk nasi elektrik yang menimbulkan spekulasi ngeri sama ada suspek pernah merebus sisa daging tersebut. Jiran di tingkat bawah flat mendakwa bahawa semasa tempoh kehilangan mangsa, mereka sering mendengar bunyi bising mesin pengisar yang berlarutan sehingga lewat malam diikuti dengan kejadian paip kumbahan tersumbat yang mengeluarkan sisa daging hancur bercampur minyak yang sangat berbau busuk.

      ​Apa yang lebih menyedihkan, kes ini mendedahkan bagaimana isyarat rayuan kecemasan mangsa telah diabaikan oleh orang sekeliling sebelum kejadian berlaku. Beberapa orang jiran tampil mengesahkan bahawa Wan-ting pernah beberapa kali melarikan diri keluar dari rumah dalam keadaan menangis teresak-esak sambil menjerit, "Abang saya cuba merogol/melakukan gangguan seksual terhadap saya!"  Namun disebabkan status Wan-ting sebagai pesakit mental dan personaliti Chen Jia-fu yang sentiasa berlakon sebagai seorang abang yang penyayang di hadapan orang ramai. Jiran-jiran menganggap jeritan mangsa hanyalah kesan daripada halusinasinya dan tiada sesiapa pun yang tampil membuat laporan polis. Selain itu, isteri Chen Jia-fu (seorang wanita dari Fujian, China) turut mendedahkan bahawa dia pernah terjumpa kepala beku Wan-ting di dalam peti sejuk rumah mereka sebelum ia dibuang. Wanita itu bertindak melarikan diri pulang ke China kerana ketakutan selepas Jia-fu cuba memujuknya untuk membelikan polisi insurans hayat yang sama atas namanya.

     ​Semasa proses perbicaraan di mahkamah, Chen Jia-fu bertindak agresif dan cuba berpura-pura gila bagi melepaskan diri daripada hukuman. Dia sering menunjukkan aksi rebah, mengeluarkan buih di mulut dan menjerit di dalam bilik mahkamah dengan mendakwa bahawa pembunuhan tersebut dilakukan atas arahan makhluk asing yang telah menanam cip kawalan di dalam otaknya. Ujian panel psikiatri daripada Hospital Universiti Taiwan bagau6 mengesahkan bahawa Jia-fu berada dalam keadaan mental yang waras, sedar sepenuhnya dan mempunyai kapasiti mental yang normal semasa melakukan jenayah tersebut. Ibu mangsa yang sudah uzur turut hadir ke mahkamah sambil menangis merayu agar anak lelakinya itu tidak dijatuhi hukuman mati memandangkan dia telah kehilangan anak perempuan dan tidak sanggup kehilangan satu-satunya anak lelaki yang tinggal.

     ​Pada bulan April 2015, Mahkamah Agung Taiwan secara rasminya mengekalkan keputusan hukuman penjara seumur hidup terhadap Chen Jia-fu atas kesalahan membunuh, mengerat mayat dan cubaan menipu wang insurans. Mahkamah memutuskan untuk mengecualikan suspek daripada hukuman mati atas dasar belas kasihan terhadap ibunya yang sudah tua agar tidak kehilangan kedua-dua anak sekali gus di samping mengambil kira suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Keputusan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Taiwan yang menganggap hukuman tersebut terlalu ringan berbanding kekejaman yang dilakukannya. Hingga pada hari ini, sebahagian besar anggota tubuh badan Chen Wan-ting yang lain gagal ditemui dan dipercayai telah hanyut sepenuhnya ke dalam sistem sisa kumbahan bandar.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Chen Wan-ting"