Kisah Pembunuhan Kejam Mary Niel Galano


     Kes yang mengejutkan wilayah Bulacan, Filipina pada April 2026 ini bermula dengan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bernama Mary Niel Galano. Mariel dikenali oleh penduduk setempat sebagai seorang anak yang sangat berbudi bahasa, rajin membantu ibunya melakukan kerja rumah dan mempunyai impian besar untuk menjadi seorang anggota polis demi mengubah nasib keluarganya. Walau bagaimanapun, segala impian murni itu hancur berkecai dalam satu malam yang penuh dengan kekejaman dan pengkhianatan yang tidak terjangkau dek akal manusia.


     Kejadian bermula pada malam 11 April 2026 apabila berlaku perselisihan faham antara Mary dan bapanya, Daniel Galano. Daniel, seorang pemandu lori yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dilaporkan berang apabila mendapati Mary keluar secara rahsia untuk bertemu dengan teman lelakinya. Selepas berlaku pertengkaran mulut di mana Daniel dikatakan sempat mengasari mangsa, Mary yang berasa terkilan dan takut nekad meninggalkan rumah dengan niat untuk bermalam di rumah kakak sulungnya yang terletak tidak jauh dari situ. Mary bagaimanapun tidak pernah sampai ke destinasinya.

​      Selama tujuh hari berikutnya, Daniel mempamerkan watak sebagai seorang bapa yang sangat berdukacita. Dia dilihat begitu aktif dalam operasi pencarian, menampal poster kehilangan anak di serata tempat dan sanggup menangis di hadapan kamera media merayu agar anaknya pulang dengan selamat. Namun lakonan hebat itu mula terbongkar apabila Daniel sendiri yang membawa pasukan penyelamat ke sebuah kawasan semak terpencil di belakang tembok penahan banjir di tebing Sungai Angat pada 18 April 2026. Di situlah, mayat Mary ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati yakni reput selain terdapat kesan bakar akibat terdedah pada cahaya matahari yang ekstrem dan menunjukkan tanda-tanda keganasan yang melampau.

      Siasatan forensik dan bedah siasat mendedahkan fakta yang lebih mengerikan. Mary bukan sahaja dibunuh dengan kejam melalui tikaman di bahagian dada dan pukulan objek tumpul di kepala. Dia bahkan telah menjadi mangsa rogol berkumpulan. Melalui risikan polis dan bantuan rakaman CCTV yang kabur di sekitar laluan ke tempat kejadian, pihak berkuasa berjaya menahan seorang suspek bernama Jeffrey Rival. Di bilik soal siasat, Jeffrey yang tidak lagi mampu menanggung beban rasa bersalah akhirnya mendedahkan plot sebenar. Daniel sendiri rupa-rupanya adalah perancang utama (mastermind) di sebalik serangan tersebut.

​     Berdasarkan pengakuan suspek, Daniel bersama tiga rakannya iaitu Jeffrey Rival serta adik-beradik Ronel dan Joel Oleo didakwa berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu pada malam kejadian. Daniel dikatakan telah mengekori anaknya yang sedang berjalan sendirian lalu bersama rakan-rakannya mengheret mangsa ke sebuah pondok usang sebelum dipindahkan ke kawasan semak. Lebih dahsyat, Daniel didakwa sebagai individu pertama yang melakukan serangan seksual dan fizikal terhadap anak kandungnya sendiri sebelum membiarkan rakan-rakannya yang lain melakukan perkara yang sama terhadap mangsa yang sudah nyawa-nyawa ikan.


     Keempat-empat suspek kini telah ditahan dan berdepan dengan pertuduhan rogol beserta pembunuhan, sebuah jenayah paling berat di Filipina yang membawa hukuman penjara seumur hidup. Ibu mangsa, Mary Ann kini hidup dalam trauma dan penyesalan yang mendalam kerana pernah memberi peluang kedua kepada suaminya untuk kembali ke pangkuan keluarga atas permintaan Mary Niel sendiri.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Mary Niel Galano"