Kisah Mao Sugiyama: Kontroversi Hidangan Kanibal di Tokyo.

Pada tahun 2012, seorang lelaki bernama Mao Sugiyama yang merupakan seorang pelukis ilustrasi berusia 22 tahun dari Jepun telah mencetuskan kontroversi apabila dia mengisytiharkan dirinya sebagai seorang individu aseksual. Aseksualiti merupakan satu orientasi seksual di mana seseorang itu tidak mempunyai atau berasa tarikan seksual terhadap mana-mana jantina. Berdasarkan identiti ini, Sugiyama merasakan bahawa organ reproduksinya tidak lagi mempunyai fungsi atau kepentingan dalam hidupnya. Jadi dia memutuskan untuk menjalani prosedur perubatan yang ekstrem.
Pada bulan Mac 2012 yakni sejurus selepas menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-22, Sugiyama menjalani pembedahan elektif di sebuah hospital untuk membuang zakar dan testisnya. Pembedahan tersebut dilakukan secara sah oleh pakar perubatan dengan Sugiyama dibenarkan membawa pulang organ yang telah dikeluarkan itu. Dia kemudian menyimpan organ tersebut di dalam peti sejuk beku dalam keadaan terjamin sebelum merancang sebuah aksi seni persembahan yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapapun sebelum ini. Melalui laman sosial Twitter (kini X), Sugiyama mengumumkan satu tawaran terbuka untuk memasak dan menghidangkan organ tubuhnya sendiri kepada pelanggan yang sanggup membayar harga sebanyak 100 000 yen (sekitar RM3100 pada kadar waktu itu).
Acara kemuncak yang diberi nama Ham Cybele itu akhirnya berlangsung pada 13 Mei 2012 di sebuah dewan di daerah Suginami, Tokyo. Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 70 orang penonton yang ingin menyaksikan aksi seni luar biasa ini. Walau bagaimanapun, hanya lima individu yang benar-benar membayar untuk menjadi "pelanggan" hidangan tersebut. Sugiyama yang berpakaian seperti seorang koki profesional, memasak organ miliknya sendiri yang dihiris halus dan digoreng bersama cendawan butang serta daun peterseli Itali. Sebagai langkah berjaga-jaga dari sudut undang-undang, Sugiyama mewajibkan kesemua lima pelanggan tersebut menandatangani surat pelepasan liabiliti yang menyatakan bahawa mereka sedar akan risiko yang diambil dan tidak akan menyalahkan penganjur sekiranya berlaku komplikasi kesihatan.

Tindakan drastik ini segera mendapat perhatian meluas dan mencetuskan kontroversi moral yang hebat di Jepun. Walaupun perbuatan kanibalisme secara sukarela tidak dilarang secara spesifik dalam kanun keseksaan Jepun, pihak berkuasa tetap menjalankan siasatan. Pihak polis Tokyo memfailkan kes terhadap Sugiyama dan tiga individu lain yang membantu menganjurkan acara tersebut atas tuduhan pendedahan tidak senonoh. Logik undang-undang di sebalik tuduhan ini adalah kerana tindakan mempamerkan organ manusia di khalayak ramai dianggap melanggar norma kesopanan dan boleh mengganggu ketenteraman awam.
Namun pada Februari 2013, Pejabat Pendakwa Raya Daerah Tokyo membuat keputusan untuk menggugurkan semua pertuduhan terhadap Mao Sugiyama. Pihak pendakwa raya menyimpulkan bahawa kes tersebut tidak mempunyai bukti yang cukup kuat untuk dikategorikan sebagai jenayah berat mengikut undang-undang sedia ada terutamanya kerana semua pihak yang terlibat melakukannya atas dasar sukarela dan tanpa paksaan. Keputusan ini secara tidak langsung meletakkan kes Sugiyama sebagai sebuah ekspresi seni peribadi yang sangat ekstrem.
Catat Ulasan for "Kisah Mao Sugiyama: Kontroversi Hidangan Kanibal di Tokyo."