Kisah Pembunuhan Kejam Zamir Limon dan Nashida Bristi

     Pada bulan April 2026, satu kejadian pembunuhan ngeri telah berlaku di Tampa, Florida. Mangsa merupakan sepasang kekasih warga Bangladesh, Zamir Limon dan Nashida Bristi. Kedua-dua mereka yang berusia 27 tahun merupakan pelajar ijazah kedoktoran (PhD) di University of South Florida (USF). Zamir yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang Sains Geografi dikenali sebagai seorang yang pintar dan tenang manakala Nashida merupakan pelajar pintar dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Pasangan ini dilaporkan sedang merancang masa depan mereka untuk pulang ke tanah air sebagai pensyarah sebelum hayat mereka diragut dengan kejam.

​     Misteri kehilangan mereka bermula pada 16 April 2026. Nashida kali terakhir dilihat melalui rakaman litar tertutup (CCTV) meninggalkan kampus dengan memakai baju merah jambu dan membawa payung menuju ke arah apartmen Avalon Heights yakni tempat Zamir menetap. Kebimbangan mula memuncak apabila Nashida gagal menghadirkan diri ke temu janji pemeriksaan mata dan tidak menghubungi keluarganya di Bangladesh. Pada 18 April, rakan-rakan mereka yang curiga bertindak melaporkan kehilangan tersebut kepada pihak polis setelah cubaan menghubungi pasangan itu gagal sama sekali.


     Siasatan awal pihak polis di apartmen tersebut membawa kepada penemuan beberapa petunjuk yang mencurigakan. Rakan sebilik mereka iaitu Hashim Abugharbieh, 26 tahun memberikan kenyataan yang meragukan. Polis mendapati alas kaki di hadapan pintu telah hilang selain beberapa perkakas dapur serta bahan pencuci tidak lagi berada di tempatnya. Apabila pasukan forensik menggunakan cecair kimia BlueStar, rahsia ngeri di dalam apartmen itu terbongkar. Walaupun lantai k toelihatan bersih secara mata kasar, cahaya pendarfluor menunjukkan kesan lumuran darah yang amat banyak di dapur dan di sepanjang koridor hinggalah ke bilik tidur Hashim. Malah terdapat kesan darah yang membentuk bentuk tubuh manusia yang sedang meringkuk pada permaidani di bilik suspek.

​      Bukti digital menjadi kunci utama dalam merungkai niat jahat suspek. Melalui pemeriksaan terhadap telefon pintar Hashim yang cuba dipadamkan datanya, pakar forensik digital berjaya menemui sejarah carian yang sangat mengerikan. Suspek didapati menggunakan platform kecerdasan buatan, ChatGPT untuk mendapatkan nasihat cara-cara melupuskan mayat. Antara soalan yang dikemukakan termasuklah keberkesanan menyumbat tubuh manusia ke dalam beg sampah, cara menembusi tengkorak manusia dengan pisau dan tahap kalis bunyi dinding apartmen tersebut. Perancangan ini dikesan telah bermula seawal 7 April, seminggu sebelum kejadian berlaku.

     ​Kekejaman suspek terbukti sepenuhnya apabila mayat kedua-dua mangsa ditemui di lokasi berbeza dalam keadaan yang menyayat hati. Mayat Zamir ditemui pada 24 April di dalam beg sampah hitam di tepi lebuh raya Howard Frankland Bridge. Bedah siasat mendedahkan Zamir ditikam berkali-kali di bahagian belakang dengan kakinya telah dikerat di bahagian paha semata-mata untuk membolehkan mayatnya disumbat ke dalam beg plastik yang sempit. Dua hari kemudian, mayat Nashida pula ditemui oleh seorang pemancing di kawasan paya bakau Tampa Bay dalam keadaan yang sudah mula mereput akibat terendam di dalam air laut.

​     Motif di sebalik pembunuhan ini dipercayai berpunca daripada perasaan dendam dan cemburu yang mendalam. Hashim yang merupakan seorang keciciran universiti dan mempunyai sejarah ketidakstabilan mental dikatakan berasa tertekan melihat kejayaan akademik dan kebahagiaan hubungan Zamir. Situasi menjadi lebih tegang apabila Zamir dilaporkan pernah membuat aduan rasmi kepada pengurusan apartmen mengenai tingkah laku pelik Hashim dua minggu sebelum kejadian. Hashim kini berhadapan dengan dua pertuduhan pembunuhan  darjah pertama tanpa jaminan. Jika sabit kesalahan, dia bakal berhadapan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Zamir Limon dan Nashida Bristi "