Kisah Kematian Wu Yanping yang Benar-Benar Menyedihkan

Kes ini bermula pada 7 Jun 2025 di bandar Luzhou, Wilayah Sichuan, China apabila sebuah bangunan pasar borong pakaian lama sedang dalam proses pengubahsuaian. Semasa seorang pekerja binaan merobohkan sebuah kotak tanaman simen yang terletak di bahagian bumbung tingkat sembilan, dia telah menemui objek yang mengejutkan. Di bawah lapisan tanah yang tebal, terselindung sepasang kasut kulit hitam yang masih melekat pada rangka manusia. Penemuan rangka yang masih memakai kot bulu berwarna merah ini dengan pantas menarik perhatian pihak polis hingga mereka akhirnya membuka semula fail kes kehilangan yang telah tersimpan selama hampir tiga dekad.

Identiti mangsa disahkan melalui ujian DNA sebagai Wu Yanping, seorang peniaga pakaian yang berjaya dan cukup dikenali di pasar tersebut pada pertengahan 1990-an. Wu Yanping dilaporkan hilang secara misteri pada 1 Februari 1997 yakni hanya beberapa hari sebelum sambutan Tahun Baru Cina. Pada hari kejadian, Wu Yanping sempat makan tengah hari bersama anak lelakinya yang baru berusia 10 tahun dan pembantu kedainya sebelum keluar untuk bertemu seseorang. Walaupun pencarian besar-besaran dilakukan oleh ahli keluarga dan pihak polis pada waktu itu, tiada sebarang petunjuk ditemui sekali gus menyebabkan anaknya iaitu Huangping dalam keadaan trauma dan tertanya-tanya tentang nasib ibunya selama 28 tahun.
Siasatan lanjut mendedahkan bahawa suspek utama merupakan rakan peniaga mangsa sendiri yang dikenali sebagai Chen Yen. Motif pembunuhan didorong oleh masalah kewangan dan hutang. Chen Yen dilaporkan berhutang sebanyak 40 000 Yuan dengan mangsa, satu jumlah yang sangat besar pada tahun 1997. Dek kerana terdesak dan tidak mahu membayar hutang tersebut, Chen Yen bersama bekas suaminya, Yang Fugen telah merancang untuk menghapuskan Wu Yanping. Mangsa diperdaya ke sebuah bilik stor yang sunyi di tingkat empat bangunan tersebut sebelum dijerut sehingga mati. Pasangan itu kemudian merompak wang tunai serta barangan kemas yang dipakai mangsa.

Bahagian yang paling mengerikan dalam kes ini adalah cara suspek menyembunyikan mayat. Selepas membunuh mangsa, mereka memikul mayat Wu Yanping menaiki tangga sehingga ke tingkat paling atas (tingkat sembilan) lalu menanamnya di dalam kotak tanaman di bumbung bangunan yang jarang sekali dikunjungi orang. Sepanjang 28 tahun, rangka mangsa berada di sana sementara aktiviti harian di pasar borong di tingkat bawah berjalan seperti biasa. Anaknya, Huangping sering kali berjalan melewati kawasan tersebut dan melihat ke arah bumbung tanpa menyedari bahawa jasad ibunya sebenarnya berada tepat di atas kepalanya sepanjang masa itu.
Selepas melakukan jenayah tersebut, Chen Yen bertindak melarikan diri dan memulakan hidup baru dengan identiti yang sangat licik. Dia menukar namanya kepada Chen Muyu, memalsukan dokumen pengenalan diri untuk kelihatan 12 tahun lebih muda dan berpindah ke Shanghai. Bagi memastikan identiti lamanya terkubur terus, Chen Yen melabur berjuta-juta Yuan untuk melakukan siri pembedahan plastik di Korea Selatan sehingga wajah asalnya tidak lagi dapat dicam oleh rakan-rakan lama mahupun jiran di kampung halamannya. Dia menjalani kehidupan mewah sebagai wanita yang berbeza sama sekali daripada identiti asalnya.

Walau bagaimanapun, keadilan akhirnya terlaksana pada September 2025. Melalui kemajuan teknologi forensik dan sistem pengecaman wajah yang lebih canggih, pihak polis berjaya menjejaki pergerakan Chen Yen yang kini dikenali sebagai Chen Muyu. Dia ditahan di Shanghai ketika cuba melarikan diri ke luar negara. Selepas penahanan tersebut, bekas suaminya juga ditangkap dan kedua-duanya akhirnya mengaku melakukan pembunuhan kejam itu 28 tahun yang lalu. Hingga setakat ini, kedua-dua pelaku masih dalam tahanan di mana mereka berada dalam proses semakan mahkamah untuk dijatuhkan hukuman yang dijangka amat berat sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup atas kesalahan pembunuhan terancang yang disembunyikan selama 28 tahun.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Wu Yanping yang Benar-Benar Menyedihkan "