Kisah Pembunuhan Kejam Suami Isteri di Paris

Kisah ini bermula pada Mei 2012 di Paris, Perancis. Sepasang suami isteri warga China iaitu Wang Ying (seorang pelajar) dan Xue Liangsi (pekerja restoran) dilaporkan hilang secara tiba-tiba. Abang kepada Wang Ying yang berasa tidak sedap hati telah pergi ke flat kediaman adiknya itu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati rumah itu kosong tetapi dalam keadaan yang pelik seperti makanan di atas meja sudah berulat dan botol susu bayi mereka, Lucas (2 bulan) sudah bertukar menjadi hitam kerana kulat. Pasport dan dompet mereka masih ada menandakan mereka tidak meninggalkan rumah secara sukarela.

Siasatan awal polis menemui petunjuk penting melalui mesej suara daripada pengasuh bayi mereka, Zhang Hui. Dalam mesej tersebut, Zhang Hui mendakwa ingin memulangkan barang-barang bayi kerana dia perlu pulang ke China. Namun apabila polis cuba menjejaki alamat yang diberikan oleh pengasuh tersebut, mereka mendapati alamat itu adalah palsu. Syak wasangka semakin kuat apabila polis menyerbu rumah Zhang Hui dan mendapati premis tersebut telah dibersihkan secara profesional menggunakan bahan kimia hingga tiada sebarang kesan cap jari atau darah yang tinggal.
Misteri ini mula terungkai pada 7 Jun 2012 apabila sepasang suami isteri yang sedang berjoging di Hutan Vincennes, pinggir bandar Paris menemui keratan kaki manusia yang sudah reput. Beberapa hari kemudian, seekor anjing pengesan menemui keratan badan yang lain. Sebelum identiti mayat dapat disahkan secara forensik, Zhang Hui dan suaminya yang bernama Te Lu secara mengejut telah menyerah diri di balai polis Paris pada 16 Jun 2012 sebaik sahaja mereka mendarat dari China. Tindakan menyerah diri ini sebenarnya adalah satu strategi undang-undang yang licik selepas mereka mendapat nasihat peguam bahawa hukuman di Perancis adalah jauh lebih ringan berbanding hukuman mati yang menanti mereka di China.

Di mahkamah, Zhang Hui memberikan pengakuan yang sangat ngeri namun penuh dengan alasan pembelaan diri. Dia mendakwa bahawa bayi mangsa, Lucas yang baru berusia dua bulan telah meninggal dunia secara mengejut semasa dalam jagaannya. Apabila pasangan Wang dan Xue datang ke rumahnya dan melihat mayat anak mereka, pertengkaran hebat berlaku. Zhang Hui mendakwa Xue Liangsi cuba menyerang suaminya dengan pisau dapur. Serangan ini menyebabkan dia bertindak mempertahankan diri dengan menghayunkan kapak ke arah pasangan suami isteri tersebut hingga mati.
Apa yang lebih mengerikan adalah tindakan Zhang Hui selepas pembunuhan itu. Dia menyeret kedua-dua mayat ke dalam bilik mandi sebelum menggunakan gergaji elektrik untuk mengerat mayat mangsa kepada beberapa bahagian. Demi menutup bunyi bising gergaji, dia menghidupkan mesin basuh dengan muatan penuh. Selepas itu, Zhang Hui membuang keratan mayat tersebut di lokasi berbeza di sekitar Hutan Vincennes. Walaupun dia mengaku membunuh pasangan tersebut, Zhang Hui tetap berteka-teki mengenai lokasi mayat bayi Lucas. Hal ini menyebabkan mayat bayi malang itu tidak pernah ditemui hingga pada hari ini.

Pada tahun 2016, mahkamah Perancis menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap Zhang Hui atas kesalahan membunuh dengan sengaja. Sementara itu, uaminya, Te Lu dibebaskan daripada tuduhan membunuh kerana kekurangan bukti yang menunjukkan penglibatannya secara langsung dalam serangan tersebut. Kejadian ini berakhir dengan nota yang sangat menyedihkan apabila pada Mac 2023, Zhang Hui dilaporkan telah dibebaskan secara bersyarat selepas menjalani hukuman hanya sekitar 11 tahun.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Suami Isteri di Paris"