Maut Demi Sekeping Foto: Kematian Ngeri Anna Ursu.

     Kisah kematian yang menyayat hati ini berlaku pada bulan Mei 2015 di Romania. Ia bermula apabila Anna Ursu, seorang remaja berusia 18 tahun yang menetap di bandar IaČ™i merancang untuk mengambil foto secara swafoto yang luar biasa untuk dimuat naik ke profil Facebook miliknya. Bersama seorang rakan baiknya yang berusia 17 tahun, mereka menuju ke sebuah stesen kereta api di wilayah timur laut Romania. Dalam fikiran mereka, bumbung gerabak kereta api yang sedang berhenti merupakan latar belakang yang estetik dan dramatik tanpa menyedari bahawa setiap inci kawasan tersebut sebenarnya diselubungi oleh ancaman maut yang tidak kelihatan.

     Setibanya di sana, Anna memanjat ke atas sebuah gerabak kereta api yang sedang tidak beroperasi. Mengikut laporan saksi serta siasatan pihak berkuasa, Anna bercadang untuk berbaring di atas bumbung gerabak tersebut dan mengangkat kakinya ke udara untuk mendapatkan sudut penggambaran yang unik. Walau bagaimanapun, tindakannya itu mengundang bencana apabila tubuhnya menghampiri kabel elektrik yang merentangi landasan tersebut. Kabel ini membawa muatan elektrik setinggi 27 000 volt yakni satu tahap voltan yang mampu membunuh manusia dalam sekelip mata.

     Satu fakta sains yang sering disalah faham ialah kita hanya akan terkena renjatan jika menyentuh wayar elektrik. Namun dalam kes Anna Ursu, dia tidak menyentuh kabel tersebut secara fizikal. Kabel kereta api membawa voltan yang sangat tinggi sehingga mewujudkan zon bahaya di sekelilingnya yang membolehkan arus elektrik melompat ke objek berhampiran. Jadi ​apabila Anna mengangkat kakinya, dia telah menceroboh zon ini. Udara di sekeliling kabel voltan tinggi tersebut bertindak sebagai pengalir elektrik yang menyebabkan arus melompat terus ke tubuhnya seperti kilat. Akibatnya, satu ledakan arka elektrik berlaku yang mengalirkan ribuan voltan menembusi sistem saraf dan organ dalaman Anna serta-merta tanpa perlu sebarang sentuhan terus.

     Letupan arka elektrik tersebut dilaporkan sangat kuat sehingga rakan Anna tercampak dari atas gerabak manakala pakaian Anna disambar api serta-merta. Seorang lelaki yang berada berhampiran yang juga merupakan seorang pejalan kaki telah mempertaruhkan nyawanya sendiri untuk memanjat gerabak tersebut bagi memadamkan api yang membakar tubuh Anna. Walaupun pasukan paramedik berjaya membawa Anna ke Hospital St. Spiridon dan kemudiannya dipindahkan ke hospital khusus di Bucharest, keadaannya terlalu kritikal. Akibat kesan lecuran tahap kritikal yang meliputi lebih 50% bahagian badannya, organ dalaman Anna gagal berfungsi. Meskipun telah menerima rawatan kecemasan, dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir.

Catat Ulasan for "Maut Demi Sekeping Foto: Kematian Ngeri Anna Ursu."