Kisah Pembunuhan Kejam Carolina Flores

Pada tengah hari 16 April 2026, pejabat pendakwa raya Mexico City menerima satu panggilan telefon yang sangat meresahkan. Pemanggilnya, lelaki yang bernama Alejandro melaporkan dengan nada suara yang luar biasa tenang bahawa isterinya iaitu Carolina Flores telah ditembak mati di dalam apartmen mewah mereka di kawasan elit Polanco. Apabila pihak polis tiba di lokasi kejadian, mereka menemui mayat Carolina, seorang bekas ratu cantik berusia 27 tahun terbaring di lantai dapur dengan 12 kesan tembakan. Apa yang lebih mengejutkan, pakar forensik mengesahkan bahawa kematiannya sebenarnya telah berlaku kira-kira 24 jam sebelum laporan dibuat mendedahkan bahawa Alejandro tinggal bersama mayat isterinya itu selama sehari suntuk tanpa mendapatkan bantuan.

Siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan pecah masuk atau kecurian barang berharga yang membawa kepada kesimpulan bahawa pembunuh merupakan seseorang yang dikenali oleh mangsa. Rahsia kes ini akhirnya terbongkar melalui sebuah monitor bayi (baby monitor) yang dilengkapi sensor pergerakan yang dipasang secara rahsia oleh Carolina sebelum ini. Rakaman video tersebut menunjukkan Carolina sedang berbual secara santai dengan ibu mentuanya, Erika Maria yang baru sahaja tiba dari Ensenada. Erika dilihat terus menyimpan tangan kanannya di dalam poket seluar sepanjang perbualan tersebut. Apabila Carolina berpaling untuk mengambil segelas air buat ibu mentuanya, Erika mengeluarkan pistol 9mm lalu melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah menantunya itu tanpa sebarang belas kasihan.

Motif di sebalik jenayah kejam ini sangat mendalam dan berkaitan dengan psikologi keluarga yang toksik. Erika didakwa mempunyai obsesi melampau terhadap anak lelakinya, Alejandro. Dia menganggap Carolina sebagai perampas yang merampas kasih sayang anaknya. Menerusi rakaman audio monitor bayi tersebut, Erika didengar berkata dengan dingin, "Dia cuma buat saya marah. Awak milik saya, dia telah merampas awak," selepas Alejandro bergegas masuk ke ruang dapur sejurus selepas tembakan dilepaskan. Siasatan lanjut mendapati Erika telah merancang pembunuhan ini dengan teliti. Dia didapati memandu sejauh 2826 kilometer merentasi Mexico dengan membawa senjata api demi melaksanakan niat jahatnya itu.
Tindakan Alejandro selepas kejadian itu juga menimbulkan kemarahan orang awam dan kecurigaan pihak berkuasa. Walaupun melihat isterinya dibunuh, dia tidak menghubungi talian kecemasan 911 atau meminta bantuan pengawal keselamatan bangunan. Alejansro sebaliknya menghabiskan masa 24 jam berikutnya dengan merakam video tutorial cara menjaga bayi mereka sebagai persediaan sekiranya dia ditangkap. Kelewatan ini sengaja dilakukan bagi memberi masa secukupnya untuk ibunya melarikan diri meninggalkan bandar tersebut. Erika akhirnya berjaya dikesan di Caracas, Venezuela, pada penghujung April 2026 melalui kerjasama Interpol selepas satu Notis Merah dikeluarkan terhadapnya.

Erika Maria sedang menghadapi proses ekstradisi untuk dibawa pulang ke Mexico bagi dibicarakan atas tuduhan feminicide (pembunuhan wanita kerana jantina). Manakala Alejandro pula sedang disiasat di bawah Akta Monserrat yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lapan tahun atas tuduhan melindungi penjenayah dan kegagalan memberikan bantuan kecemasan.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Carolina Flores"