Kisah Ritual Maut Sichuan 2016: Di Sebalik Jeritan dari Dalam Pengukus

     Pada bulan Februari 2016, sebuah kampung di Yulong, daerah Lizhou, Guangyuan, wilayah Sichuan, China dikejutkan dengan satu kejadian yang sangat menyayat hati. Seorang wanita tempatan yang dikenali dengan nama keluarga Li telah maut dalam keadaan yang sangat kejam akibat satu ritual kepercayaan karut yang kononnya bertujuan untuk menghalau roh jahat.  

     Kejadian bermula apabila mangsa iaitu Li dikatakan menghadapi masalah kesihatan yang merunsingkan keluarganya. Maka dalam keadaan yang sangat tertekan dan kurang berpengetahuan mengenai rawatan perubatan moden yang sewajarnya, ahli keluarga mangsa telah mendapatkan khidmat daripada dua orang individu yang dikenali sebagai Fan dan Hu yang mendakwa diri mereka sebagai pakar dalam hal-hal berkaitan kerohanian. Tanpa sebarang pengesahan perubatan, kedua-dua suspek ini mendakwa bahawa tubuh badan Li telah dicerobohi oleh entiti ghaib atau roh jahat yang menyebabkan dia sakit. Jadi satu-satunya cara untuk memulihkannya adalah melalui ritual pembersihan yang ekstrem.

     Dalam proses ritual yang tidak berperikemanusiaan itu, para pelaku telah memaksa mangsa untuk masuk ke dalam sebuah pengukus (steamer) bersaiz besar yang biasanya digunakan oleh penduduk kampung untuk tujuan memasak makanan dalam kuantiti yang banyak. Setelah mangsa berada di dalam, pengukus tersebut ditutup rapat dan dipanaskan dengan api yang besar. Apa yang lebih menyedihkan, tindakan kejam ini dilakukan dengan penuh keyakinan oleh pelaku bahawa suhu panas akan memaksa roh jahat tersebut keluar daripada tubuh mangsa. Suasana di tempat kejadian menjadi sangat ngeri apabila mangsa mula menjerit dan merayu kesakitan dari dalam bekas tersebut. Walau bagaimanapun, rayuan itu langsung tidak diendahkan oleh para pelaku.

     ​Kekejaman para pelaku memuncak apabila mereka memberi amaran dan menghalang ahli keluarga mangsa daripada cuba membantu atau membuka penutup pengukus tersebut. Mereka dengan licik memanipulasi situasi dengan mendakwa bahawa jeritan yang didengar oleh ahli keluarga bukanlah suara Li tetapi sebaliknya suara roh jahat yang sedang diseksa oleh kepanasan api. Akibat terlalu terpengaruh dengan dakyah tersebut, ahli keluarga mangsa hanya mampu membiarkan Li berada di dalam pengukus tersebut selama kira-kira satu jam hingga dia akhirnya tidak lagi memberikan sebarang respon.

     ​Apabila pengukus akhirnya dibuka, Li didapati sudah tidak bernyawa dengan kesan kecederaan fizikal yang amat teruk akibat haba yang melampau. Pihak polis yang menerima laporan mengenai kematian tersebut segera bertindak melakukan siasatan di tempat kejadian dan menahan kedua-dua suspek, Fan dan Hu untuk tindakan lanjut. Tidak dapat dipastikan tentang status hukuman yang diterima oleh pelaku dan mereka lain yang terlibat.

Catat Ulasan for "Kisah Ritual Maut Sichuan 2016: Di Sebalik Jeritan dari Dalam Pengukus"