Kisah Wanita yang Bawa Mayat Ke Bank Demi Pinjaman Wang


     Kejadian ini berlaku pada 16 April 2024 di sebuah cawangan bank di Bangu, Rio de Janeiro, Brazil. Ia melibatkan percubaan yang sangat drastik dan tidak masuk akal untuk mendapatkan pinjaman wang dengan menggunakan mayat sebagai subjek utama.

​     Kejadian ini bermula apabila Erika de Souza Vieira Nunes, seorang wanita berusia 42 tahun membawa seorang lelaki berusia 68 tahun yang dikenali sebagai Paulo Roberto Braga ke bank tersebut menggunakan kerusi roda. Erika mendakwa dirinya sebagai anak saudara kepada lelaki tersebut. Tujuan utama kehadiran mereka adalah untuk melengkapkan proses pengeluaran wang pinjaman berjumlah 17 000 Real Brazil. Sepanjang perjalanan ke kaunter, Erika dilihat melayan Paulo seolah-olah dia masih hidup. Erika juga sempat bercakap dengannya walaupun lelaki itu langsung tidak memberikan sebarang respons.

     ​Suasana di dalam bank menjadi tegang apabila kakitangan bank mula berasa curiga dengan keadaan fizikal Paulo. Saksi mendakwa bahawa kepala lelaki itu sentiasa terjatuh ke belakang dan tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan. Erika dalam usahanya untuk memastikan transaksi tersebut berjaya didapati cuba memegang kepala lelaki itu agar kekal tegak dengan tangan kirinya sambil tangan kanannya cuba meletakkan pen di antara jari-jemari mayat tersebut untuk menandatangani dokumen pinjaman. Erika juga dilihat memanggil lelaki itu dengan panggilan "pakcik" dan memintanya untuk menandatangani dokumen tersebut bagi mengelakkan dia daripada berasa malu.


    Kakitangan bank yang bertugas yang tidak yakin dengan situasi tersebut akhirnya membuat keputusan untuk menghubungi pihak perkhidmatan kecemasan. Apabila pasukan paramedik tiba dan melakukan pemeriksaan ke atas Paulo, mereka mendapati bahawa lelaki itu telah meninggal dunia beberapa jam sebelum dibawa ke bank. Berdasarkan pemeriksaan forensik, kedudukan mayat yang menunjukkan lebam pada bahagian tertentu tubuh jelas membuktikan bahawa Paulo sudah tidak bernyawa semasa dalam perjalanan dan mustahil bagi sesiapa untuk menyangka dia masih hidup pada waktu tersebut.

​     Susulan daripada penemuan tersebut, pihak polis segera menahan Erika di lokasi kejadian. Dia didakwa atas tuduhan cubaan mencuri melalui penipuan dan jenayah berkaitan penodaan mayat. Peguam bela Erika cuba membela anak guamnya dengan menyatakan bahawa Paulo masih hidup semasa tiba di bank. Keterangan saksi dan bukti video rakaman CCTV bagaimanapun menjadi kunci utama pihak pendakwaan dalam membongkar penipuan ini. Tonton video kejadian tersebut di bawah. 




Catat Ulasan for "Kisah Wanita yang Bawa Mayat Ke Bank Demi Pinjaman Wang"