Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HELLO KITTY


    Pada bulan Mei tahun 1999, seorang gadis remaja di Hong Kong berusia 14 tahun yang digelar sebagai Ah Fong telah pergi ke sebuah balai polis untuk mengadu masalah yang benar-benar menganggu jiwanya. Cerita Ah Fong, dia sering dibayangi oleh hantu seorang wanita yang telah mati akibat diseksa dengan kejam. Pada mulanya, pihak polis beranggapan cerita itu adalah sekadar khayalan Ah Fong. Namun selepas Ah Fong membuka mulut bahawa dia adalah salah seorang individu yang pernah menyeksa wanita tersebut, maka pihak polis mula mengambil serius tentang perkara itu. Mereka menjalankan siasatan awal dengan pergi ke sebuah pangsapuri seperti yang diberitahu oleh Ah Fong. Ternyata, cerita Ah Fong bukanlah satu pembohongan. Di pangsapuri tersebut, pihak polis telah menemui sebuah patung Hello Kitty yang besar. Pemeriksaan selanjutnya mendapati ada satu tengkorak manusia di dalam patung berkenaan.  Identiti tengkorak itu telah dikenal pasti sebagai milik Fan Man-Yee.

Fan Man-Yee

    Tentang sejarah hidup Fan Man-Yee, dia yang ditinggalkan oleh ibu bapanya sejak dari kecil lagi telah tinggal di rumah wanita. Menjejaki usia remaja, Fan menuju ke jalan gelap dalam kehidupannya dengan mula menagih dadah. Dia yang gagal untuk mengawal ketagihan memilih untuk menjadi pelacur baagi mendapatkan bekalan dadah. Fan dilaporkan telah berkahwin pada tahun 1996 dan kemudiannya mempunyai seorang anak. Walau bagaimanapun, perkahwinan tersebut dilanda isu keganasan rumah tangga berikutan status Fan serta suaminya adalah penagih dadah yang tegar.

    Awal tahun 1997, Fan telah berkenalan dengan seorang lelaki yang berusia 34 tahun iaitu Chan Man-Lok di sebuah kelab malam. Chan bukan lelaki sembarangan. Dia merupakan samseng merangkap sebagai pengedar dadah dan bapa ayam. Tidak lama selepas perkenalan itu, Fan bersetuju untuk bekerja di bawah Chan.

    Bulan Mac tahun 1999, Fan yang mengalami masalah kewangan kian terdesak untuk membeli dadah. Dia melakukan satu tindakan yang tidak sepatutnya iaitu mencuri beg duit Chan yang mengandungi wang berjumlah HK$20,000 atau $2,560 USD. Apabila Chan menyedari tentang kecurian tersebut, dia yang begitu marah telah pergi berjumpa dengan anak buahnya yang bernama Leung Shing-Cho (27 tahun), Leung Wai-Lun (20 tahun) dan teman wanita bawah umurnya iaitu Ah Fong (14 tahun) bagi merancang penculikan Fan.

Chan Man-Lok (kiri) bersama anak buahnya.

    Fan yang kemudian berjaya diculik telah dibawa ke pangsapuri milik Chan. Meskipun Fan membayar semula nilai wang kecurian beserta kadar bunga, Chan tetap enggan untuk melepaskannya. Maka bermulanya mimpi sebenar untuk Fan apabila dia didera serta diseksa dengan begitu kecam oleh Chan dan anak buahnya secara berterusan. Fan telah dibelasah, dirogol berkali-kali dan dipukul bertubi-tubi dengan paip besi. Paling mengerikan adalah kulit Fan dibakar. Lagi menjijikkan, Fan dipaksa untuk memakan najis manusia. Diulangi, najis manusia.

    Setelah sebulan hidup dalam keadaan diseksa, Fan akhirnya mati jua. Sejurus selepas kematiannya disedari, mayat Fan telah dibawa oleh Chan dan anak buahnya ke dalam tab mandi. Di situ, badan Fan dikerat halus-halus menggunakan gergaji lalu dimasak bagi mengelakkan masalah bau busuk. Bahagian kepala Fan yang sudah siap dicukur pula direbus terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam patung Hello Kitty untuk dijahit. Selain itu, mereka tiga turut menyimpan sebahagian gigi dan organ dalaman Fan ke dalam beg plastik kononnya sebagai buah tangan.

    Jika bukan kerana Ah Fong tampil ke hadapan, sudah pasti Chan dan anak buahnya tidak akan pernah ditangkap. Ah Fong membuat keputusan untuk mengkhianati Chan kerana dia sendiri sudah tidak tahan lagi dengan gangguan hantu Fan. Sewaktu perbicaraan di mahkamah, Ah Fong ada membuat pengakuan bahawa dia turut memukul Fan kerana hanya ingin merasai keseronokan berbuat sedemikian.

    Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, mereka telah menemui kesan DNA ketiga-tiga pelaku pada serpihan mayat Fan. Pihak pembelaan mengemukakan hujah dengan keterangan bahawa kematian Fan adalah berpunca daripada berlebihan dos dadah. Apa yang perlu diketahui dalam kes ini adalah kesukaran dalam menentukan punca sebenar kematian Fan berikutan keadaan mayatnya yang sudah tidak sempurna.

    Penamat kes, keputusan pihak juri menyaksikan ketiga-tiga pelaku yang dikenakan pertuduhan melakukan pembunuhan tidak dirancang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan hanya layak diparol selepas 20 tahun.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM HELLO KITTY "