Kisah Pembunuhan Kejam Fatima Varinia

     Dilahirkan dalam keluarga yang penyayang di kawasan pergunungan Lerma, Mexico, Fatima Varinia Quintana Gutierrez dikenali sebagai seorang pelajar cemerlang yang bercita-cita tinggi untuk menjadi doktor. Walau bagaimanapun, segala impian dan masa depannya diragut dalam satu kejadian ngeri pada tengah hari 5 Februari 2015 ketika dia dalam perjalanan pulang dari sekolah. Waktu tersebut, Fatima baru berusia 12 tahun.

     Kejadian bermula apabila Fatima turun dari bas sekolah bersama rakannya, Salma. Seperti kebiasaan, dia perlu berjalan mendaki bukit untuk sampai ke rumahnya. Malangnya pada hari tersebut, keluarganya sedikit terlewat untuk menjemputnya di perhentian bas. Ketika hanya berbaki 100 meter sebelum sampai ke pintu rumah, Fatima telah diserang hendap dan diculik oleh tiga orang lelaki iaitu adik-beradik Luis Angel dan Misael Atayde yang merupakan jirannya sendiri serta rakan mereka, Jose Juan Hernandez. Mereka mengheret Fatima ke kawasan hutan terpencil yang terselindung daripada pandangan umum.

     Penyeksaan yang dialami oleh Fatima sangat menyayat hati dan melampaui batas kemanusiaan. Berdasarkan laporan bedah siasat, Fatima telah dipukul dengan kejam sehingga kehilangan gigi, ditikam sebanyak 90 kali dan dirogol secara dahsyat. Forensik mengesahkan bahawa Fatima masih sedar dan cuba melawan demi nyawanya sepanjang serangan tersebut berlaku. Apabila melihat mangsa masih bernyawa, pelaku bertindak menjatuhkan batu besar seberat hampir 30 kilogram ke atas kepalanya yang akhirnya menjadi punca kematian akibat trauma kranial yang teruk.

     Kehilangan Fatima mula disedari oleh ibunya, Lorena apabila anaknya itu tidak muncul pada jam 3:00 petang. Pencarian segera dilakukan bersama penduduk kampung. Lorena menemui jaket sekolah Fatima yang berlumuran darah serta sebilah pisau berhampiran rumah adik-beradik Atayde. Naluri seorang ibu membawa mereka ke kawasan berlumpur di mana mereka menemui sebahagian anggota badan Fatima yang tertonjol keluar dari tanah akibat ditanam secara tergesa-gesa. Penduduk yang berang sempat menangkap ketiga-tiga suspek dan hampir membakar mereka hidup-hidup namun Lorena menghalang tindakan tersebut kerana mahu mereka diadili secara sah di mahkamah.

     Malangnya, perjalanan mendapatkan keadilan menjadi satu lagi mimpi ngeri buat keluarga ini. Misael Atayde walaupun terlibat secara langsung hanya dijatuhi hukuman 5 tahun di pusat juvana kerana statusnya sebagai anak guam bawah umur dan telah dibebaskan pada tahun 2022. Jose Juan pula pada mulanya dibebaskan oleh hakim kerana alibi video yang diragui sebelum rayuan demi rayuan dibuat oleh keluarga mangsa sehingga dia akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2021. Hanya Luis Angel yang menerima hukuman berat sejak awal yakni 73 tahun penjara.

     Kesan daripada kes ini tidak berhenti di mahkamah. Keluarga Fatima terpaksa meninggalkan rumah mereka dan hidup dalam persembunyian selepas menerima ancaman bunuh berterusan daripada keluarga pelaku. Lebih tragis lagi, adik lelaki Fatima, Daniel yang menyaksikan penemuan mayat kakaknya telah mengalami trauma yang mendalam. Pada tahun 2020, Daniel meninggal dunia akibat kecuaian perubatan setelah beberapa buah hospital enggan merawatnya dengan serius mendakwa kesakitannya hanyalah gangguan kegelisahan (anxiety) akibat trauma lama sedangkan dia sebenarnya mengalami pecah pada bahagian usus.

     Lorena kini terus berdiri teguh sebagai aktivis yang lantang menuntut keadilan bagi mangsa keganasan jantina (femicide). Dia sering mengingatkan ibu bapa lain agar tidak berdiam diri dan terus melawan sistem yang sering memihak kepada penjenayah.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Fatima Varinia"