Kisah Pembunuhan Kejam Leyla Moserrat


     Kes pembunuhan Leyla Monserrat, seorang remaja berusia 15 tahun di Sonora, Mexico telah menjadi salah satu kes paling menyayat hati yang menggemparkan negara tersebut pada penghujung tahun 2025. Apa yang bermula sebagai perselisihan faham antara remaja berakhir dengan sebuah jenayah terancang yang dilakukan oleh mereka yang digelar sebagai sahabat.
     Leyla dikenali oleh keluarganya sebagai seorang gadis yang taat, ceria dan tidak pernah menimbulkan masalah. Walau bagaimanapun, kehidupannya mula berubah apabila dia menjadi sasaran buli oleh dua orang rakan terdekatnya iaitu Brittany Michelle (15 tahun) dan seorang lagi remaja perempuan berusia 13 tahun bernama Monserrat. Motif utama serangan ini dikatakan berpunca daripada perasaan hasad dengki dan persaingan melibatkan seorang pemuda selain ejekan berbaur perkauman terhadap warna kulit Leyla. Ketegangan ini memuncak pada 24 September 2025 apabila suspek mengeluarkan ancaman terbuka di hadapan ibu Leyla sendiri, Carmen Angelica Becerra.


     Kejadian bermula pada malam 25 September 2025 yakni selepas menghadiri sebuah majlis sambutan hari jadi, Leyla telah diperdaya oleh Brittany dan Monserrat. Mereka meyakinkan Leyla untuk mengikut mereka ke sebuah rumah dengan alasan mahu memberikan kejutan awal sempena hari lahirnya yang bakal tiba termasuk kononnya mahu memperkenalkannya kepada seorang lelaki. Tanpa rasa curiga, Leyla mengikut mereka. Di lokasi tersebut, Leyla telah diikat pada kerusi dan matanya ditutup. Satu rakaman video yang kemudiannya tular menunjukkan Leyla masih tersenyum dan ketawa kecil, menyangka bahawa dia sedang menjalani satu kejutan yang menyeronokkan sebelum keadaan bertukar menjadi ngeri apabila suspek mula menyerangnya secara fizikal sehingga menyebabkan kematian akibat sesak nafas.


     Selepas dilaporkan hilang selama beberapa hari, pihak berkuasa akhirnya menemui mayat Leyla pada 1 Oktober 2025. Mayatnya ditemui ditanam di dalam lubang di halaman rumah salah seorang suspek. Bagi menghilangkan bukti dan bau, suspek dilaporkan telah menggunakan kapur sebelum menimbus mangsa. Penemuan ini meranapkan harapan keluarga Leyla yang sebelum itu gigih melakukan pencarian di seluruh kawasan kampung. Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian yang tragis manakala bukti digital dan pengakuan suspek mengaitkan secara langsung kedua-dua remaja tersebut dengan jenayah berkenaan.

     Pada Mac 2026, sistem keadilan Mexico bagi pesalah bawah umur telah menjatuhkan hukuman yang mencetuskan kemarahan luar biasa daripada pihak keluarga dan badan hak asasi manusia. Brittany Michelle hanya dijatuhi hukuman tahanan selama 2 tahun 10 bulan manakala Monserrat yang berusia 13 tahun hanya dikenakan 11 bulan kebebasan terpantau. Selain itu, jumlah pampasan ganti rugi moral sebanyak 5670 peso (sekitar RM1300) dianggap satu penghinaan besar oleh keluarga mangsa kerana jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos pengebumian sekalipun.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Leyla Moserrat"