KISAH PEMBUNUHAN KEJAM XUANYI YU

Pada awal tahun 2024, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Santa Clara, California. Kes ini melibatkan sepasang suami isteri muda iaitu Liren Chen dan Xuanyi Yu. Mereka berdua yang merupakan warga negara China bekerja sebagai jurutera perisian di syarikat gergasi teknologi, Google. Kejadian ini mengejutkan ramai pihak kerana kedua-dua individu ini dilihat sebagai kelompok elit yang memiliki latar belakang pendidikan cemerlang serta masa depan yang sangat cerah.
Dari sudut latar belakang, pasangan ini merupakan graduan dari Tsinghua University yakni salah sebuah universiti paling berprestij dan sukar untuk dimasuki di China. Selepas menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda, mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana di University of California, San Diego (UCSD) sebelum berjaya membina kerjaya impian di Google. Kejayaan mereka membeli sebuah rumah agam bernilai sekitar $2 juta di kawasan kejiranan kelas atasan di Santa Clara pada tahun 2023 sering dijadikan simbol kejayaan hidup yang dicemburui atau dalam istilah budaya China dinamakan sebagai pasangan pemenang dalam kehidupan.

Namun di sebalik tirai kemewahan dan profil media sosial yang sempurna, tersimpan satu dinamika rumah tangga yang sangat toksik. Berdasarkan perbincangan intim dan maklumat yang dikorek oleh penyelidik, hubungan mereka mula retak akibat isu kawalan personaliti yang melampau, rasa tidak selamat dan kecurigaan. Sifat cemburu yang keterlaluan dan cubaan mengawal pergerakan pasangan mula meracuni perkahwinan mereka. Malah laporan media mendedahkan bahawa Xuanyi Yu sebenarnya telah menyedari kepincangan ini, cuba menetapkan sempadan yang tegas dan sedang dalam perancangan untuk menuntut perceraian serta meninggalkan hubungan yang membinasakan itu.
Malam berdarah tersebut akhirnya terbongkar pada pagi 16 Januari 2024. Detik cemas bermula apabila seorang rakan pasangan tersebut datang ke rumah mereka untuk melawat. Melalui tingkap rumah, rakan berkenaan melihat Liren Chen berada di dalam rumah dalam keadaan melutut, merenung kosong ke dinding dan enggan membuka pintu apabila dipanggil. Bimbang dengan situasi aneh itu, rakan tersebut segera menghubungi pihak polis untuk melakukan pemeriksaan kebajikan. Apabila pihak berkuasa memecah masuk ke dalam kediaman mewah tersebut, mereka menyaksikan satu pemandangan yang amat mengerikan.

Polis menemui Liren Chen dalam keadaan hampir katatonik iaitu satu keadaan mental di mana seseorang kaku, tidak bertindak balas terhadap rangsangan luar dan seolah-olah terputus daripada realiti sekeliling. Tangan kanannya didapati membengkak teruk, merah dan dipenuhi dengan kesan darah. Tidak jauh dari tempat Liren Chen melutut, pihak polis menemui mayat Xuanyi Yu terlentang di atas lantai bilik tidur. Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala akibat impak pukulan objek tumpul yang teruk dan berulang kali yang dipercayai dilakukan oleh suaminya sendiri menggunakan tangan kosong hingga menyebabkan kecederaan maut.
Kes ini segera mendapat perhatian meluas di media sosial China berbanding di Amerika Syarikat sendiri. Netizen dan media tempatan China mula menganalisis fenomena keganasan domestik ini. Selain itu, timbul juga naratif negatif yang cuba menyalahkan mangsa. Ada segelintir pihak yang membuat spekulasi liar kononnya mangsa bersikap terlalu dominan atau mendesak hingga menyebabkan suspek mengalami tekanan mental lalu bertindak agresif. Walau bagaimanapun, hujah tersebut diselar hebat oleh rakan-rakan Xuanyi Yu yang tampil mempertahankan sifat mangsa yang dikenali sebagai seorang wanita yang baik, rasional dan hanya mempertahankan dirinya daripada keganasan rumah tangga.

Hingga kini, Liren Chen telah didakwa atas pertuduhan membunuh dengan niat dan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol sekiranya disabitkan kesalahan. Sepatutnya perbicaraan penuh dijalankan selepas beberapa siri penangguhan akibat keadaan kesihatan mental suspek yang turun naik ketika berada di dalam tahanan. Chen yang diwakili oleh barisan peguam peribadi yang dibayar dengan kos yang sangat tinggibmemilih untuk mendiamkan diri sepanjang prosiding awal.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM XUANYI YU"