KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MORIAH WILSON

     Moriah Wilson merupakan seorang atlet berumur 25 tahun dari Vermont yang sedang mengukir nama sebagai antara pelumba basikal bukit (gravel and mountain bike) terbaik di negaranya. Dia bukan sahaja dikenali kerana fizikalnya yang gagah di litar tetapi juga personalitinya yang sangat disenangi ramai. Di sebalik kejayaannya, wujud satu persilangan takdir yang malang apabila dia mengenali Colin Strickland, seorang lagi pelumba basikal profesional yang cukup ternama. Colin mempunyai seorang teman wanita bernama Kaitlin Armstrong, seorang guru yoga dan ejen hartanah berusia 34 tahun. Hubungan Colin dan Kaitlin yang telah berlangsung selama tiga tahun dilaporkan sering dilanda badai hingga mereka terpaksa mengambil keputusan untuk berpisah seketika pada penghujung tahun 2021.

     Sewaktu tempoh perpisahan sementara itulah Colin telah menjalinkan hubungan romantik yang singkat dengan Moriah. Apabila Colin dan Kaitlin kembali berbaik semula tidak lama kemudian, Colin memilih untuk merahsiakan hubungannya dengan Moriah daripada pengetahuan Kaitlin. Walau bagaimanapun, Colin tetap meneruskan komunikasi dengan Moriah di belakang teman wanitanya. Malah demi mengelakkan rahsia tersebut terbongkar, Colin bertindak menukar nama Moriah kepada nama samaran di dalam senarai kenalan telefon bimbitnya. Namun naluri Kaitlin sebagai seorang wanita dapat menghidu sesuatu yang tidak kena sekali gus mencetuskan sifat cemburu dan obsesi yang melampau terhadap Moriah.

Kaitlin, Colin dan Moriah

     Detik hitam kes ini bermula pada awal Mei 2022 apabila Moriah terbang ke Austin, Texas untuk menyertai perlumbaan basikal Gravel Locos. Menyedari kehadiran Moriah di bandar tersebut, Colin mengambil kesempatan untuk bertemu dengannya pada petang 11 Mei tanpa pengetahuan Kaitlin. Mereka berdua pergi meluangkan masa bersama dengan berenang di Deep Eddy Municipal Pool sebelum menikmati makan malam di sebuah restoran tempatan. Kira-kira jam 8:30 malam, Colin menghantar Moriah pulang ke rumah rakan tempatnya menumpang tidur dengan menggunakan motosikal. Colin kemudiannya pulang ke rumahnya sendiri tanpa menyedari bahawa setiap gerak-geri mereka sebenarnya telah diekori secara rapat.

      Hanya beberapa minit selepas Colin meninggalkan kawasan perumahan tersebut, kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran berhampiran merakam sebuah kenderaan SUV jenis Jeep Grand Cherokee berwarna hitam berhenti betul-betul di hadapan rumah tempat Moriah menginap. Kenderaan tersebut disahkan milik Kaitlin Armstrong. Berbekalkan maklumat lokasi yang diperoleh melalui aplikasi kecergasan dan pengesanan telefon, Kaitlin menceroboh masuk ke dalam rumah berkenaan. Suasana tenang malam itu bertukar menjadi ngeri apabila Kaitlin melepaskan beberapa das tembakan ke arah Moriah. Pada sekitar jam 9:56 malam, rakan serumah Moriah pulang dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa di atas lantai bilik air dengan kesan tembakan di kepala dan dada.

     Siasatan pihak polis Austin segera tertumpu kepada Kaitlin selepas meneliti rakaman CCTV dan menerima kenyataan daripada Colin yang bekerjasama sepenuhnya. Colin mengesahkan bahawa dia ada membeli sepasang pistol untuk dirinya dan Kaitlin beberapa bulan sebelum itu. Pihak polis sempat menahan Kaitlin pada 12 Mei atas satu waran lampau yang tidak berkaitan. Disebabkan kesilapan teknikal pada data tarikh lahir dalam waran tersebut, Kaitlin terpaksa dilepaskan. Kesilapan ini memberi ruang kepada Kaitlin untuk merancang pelarian yang sangat licik. Dia segera menjual kereta Jeep miliknya dengan harga USD 12 200 lalu menggunakan pasport milik adik kandungnya untuk menaiki penerbangan keluar dari New York menuju ke Costa Rica.

     Di Costa Rica, Kaitlin memulakan hidup baharu sebagai seorang pelarian antarabangsa. Demi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa, Kaitlin menggunakan nama samaran Ari Ari di mana dia menetap di sebuah kawasan pantai terpencil di Santa Teresa Beach. Sifat liciknya terbukti apabila dia sanggup membelanjakan USD 6400 untuk melakukan pembedahan plastik pada bahagian hidung dan mengetatkan kulit mukanya selain memotong pendek rambutnya dan mewarnakannya menjadi gelap. Walau bagaimanapun, kecekapan agensi US Marshals yang bekerjasama dengan pihak berkuasa Costa Rica akhirnya membuahkan hasil. Selepas 43 hari memburu, Kaitlin berjaya ditahan di sebuah hostel pada 29 Jun 2022 apabila pihak polis menemui resit pembedahan plastik atas nama palsunya

.

Kaitlin selepas pembedahan plastik

     Perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi ini akhirnya berlangsung pada November 2023 di Austin, Texas dan mendapat liputan meluas. Pihak pendakwaan membentangkan bukti forensik yang sangat kukuh dan tidak boleh disangkal lagi. Ujian balistik mengesahkan bahawa peluru yang membunuh Moriah datang daripada pistol kaliber .9mm milik Kaitlin sendiri. Selain itu, data digital menunjukkan telefon pintar Kaitlin aktif di kawasan Deep Eddy Pool semasa Colin dan Moriah sedang berenang membuktikan tindakan menghendap yang dirancang. Beberapa orang saksi turut tampil menyatakan bahawa Kaitlin pernah meluahkan rasa amarah yang mendalam dan berniat untuk membunuh Moriah sekiranya wanita itu mendekati Colin lagi.

     Pada akhir perbicaraan, juri mahkamah hanya mengambil masa kurang daripada tiga jam untuk mencapai keputusan sebulat suara. Kaitlin Armstrong didapati bersalah atas pertuduhan membunuh dengan niat tahap pertama. Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 90 tahun terhadap Kaitlin dengan hanya layak memohon parol selepas menjalani hukuman sekurang-kurangnya 30 tahun.


     Kehilangan permata sukan ini terus diperingati terutama melalui dokumentari Netflix berdurasi 95 minit, The Truth and Tragedy of Moriah Wilson yang diluncurkan secara global pada 3 April 2026 selepas tayangan perdana di Festival Filem SXSW. Diarahkan oleh pemenang Anugerah Emmy, Marina Zenovich dan diterbitkan oleh Evan Hayes, dokumentari ini memilih pendekatan yang lebih sensitif dengan meletakkan sosok Moriah sebagai paksi utama cerita berbanding mensensasikan drama cinta tiga segi. Melalui dokumentari ini, keluarga terdekat Moriah iaitu ibu, bapa dan abangnya berkongsi video peribadi serta nota diari mendiang bagi meraikan legasi kehidupannya. Malah visual emosional seperti kehadiran basikal dan topi keledar Moriah di bilik mahkamah, serta kemunculan ringkas Colin Strickland yang terkesan dengan impak peristiwa tersebut menjadikan karya ini mendapat pujian meluas dan berjaya menduduki carta Top 10 filem popular di Netflix. Tonton trailer di bawah.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MORIAH WILSON"