Kisah Pembunuhan Kejam Melissa Palacios

     Melissa Palacios, seorang pelajar jurusan perubatan veterinar berusia 21 tahun dikenali sebagai seorang gadis yang ceria, bertanggungjawab dan sangat menyayangi haiwan. Pada tengah hari 4 Julai 2021, Melissa meminta izin daripada ibunya, Anabela Chacon iaitu seorang anggota polis untuk pergi ke majlis hari jadi rakannya di Zacapa. Melissa meyakinkan ibunya bahawa dia akan menumpang kereta seorang rakan wanita supaya lebih selamat. Namun apabila Melissa gagal pulang dan telefon bimbitnya tidak lagi dapat dihubungi menjelang jam 5 petang, kebimbangan mula menyelubungi keluarganya.

     Pencarian besar-besaran bagaimanapun berakhir dengan berita pilu pada pagi 5 Julai 2021. Sekumpulan pengumpul kayu api menemui mayat seorang wanita di kawasan berhutan di Río Hondo. Keadaan mayat Melissa sangat menyedihkan di mana wajahnya hancur akibat dipukul dengan objek tumpul, dipercayai batu besar hingga sukar untuk dicam. Pihak forensik kemudian mengesahkan punca kematian adalah kecederaan parah di kepala akibat serangan fizikal yang sangat kejam. Walaupun wajahnya terjejas teruk, pakaian yang dipakainya mengesahkan identiti Melissa.

     Hasil siasatan melalui rakaman CCTV dan log panggilan telefon mendedahkan plot yang mengejutkan. Suspek utama bukanlah orang asing tetapi sebaliknya merupakan bekas rakan sekolahnya sendiri, Maria Fernanda Bonilla Archila, seorang juruterbang wanita dari keluarga berada. Maria tidak bertindak sendirian. Dia dibantu oleh pengawal peribadinya yang bernama Jose Luis Marroquin. Bukti menunjukkan Maria menjemput Melissa dengan kereta. Melissa bukannya dibawa ke majlis hari jadi tetapi dibawa ke lokasi sunyi di mana dia disiksa dan dibunuh.

     Apa yang menjadikan kes ini tular adalah kegagalan sistem kehakiman Guatemala. Hakim pertama, Jose Maximino Morales secara kontroversi menukar klasifikasi jenayah daripada pembunuhan terancang kepada pembunuhan dalam keadaan emosi yang meluap-luap. Pertukaran ini bermakna suspek hanya berdepan hukuman penjara 5 hingga 8 tahun berbanding hukuman maksimum 20 tahun ke atas. Keputusan ini mencetuskan protes besar-besaran oleh keluarga Melissa yang mendakwa wujudnya pengaruh wang dan kuasa memandangkan ibu Maria Fernanda adalah seorang ahli perniagaan dan bekas calon politik yang berpengaruh.

     Keadilan mula menampakkan sinar apabila bukti digital berjaya dipulihkan. Satu rakaman audio yang tular menunjukkan detik-detik terakhir Melissa. Dalam audio tersebut, Maria Fernanda kedengaran menjerit sebelum memaksa Melissa memberikan kata laluan telefon bimbitnya sambil Melissa merayu dengan suara yang sangat ketakutan agar dia dilepaskan. Rakaman ini jelas menunjukkan bahawa serangan itu mempunyai unsur niat serta perancangan dan bukannya sekadar emosi luar kawal seperti yang didakwa oleh pihak pembelaan. Terdapat juga kontroversi dengan Maria didakwa mendapat layanan istimewa di penjara seperti akses kepada telefon bimbit untuk membuat siaran langsung di media sosial di mana dia kelihatan seolah-olah mempersendakan keluarga mangsa

     Hingga kini, kes ini masih berjalan di mahkamah dengan pelbagai drama teknikal termasuk cubaan suspek untuk mengaku bersalah demi pengurangan hukuman sebelum menarik balik pengakuan tersebut. Keluarga Melissa terutamanya ibunya Anabela terus kental melakukan demonstrasi dan menuntut agar kes ini dipindahkan ke mahkamah yang lebih tinggi di ibu kota bagi mengelakkan campur tangan tangan-tangan ghaib di mahkamah wilayah.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Melissa Palacios"