Kisah Adam Strong yang Benar-Benar Menakutkan

     Kes ini bermula pada Ogos 2017 apabila seorang remaja berusia 18 tahun, Rori Hache dilaporkan hilang selepas meninggalkan sebuah hospital di Oshawa, Kanada. Rori yang baru sahaja ingin membina semula hidupnya dan sedang hamil pada ketika itu gagal dikesan oleh ahli keluarganya selama berminggu-minggu. Pencarian besar-besaran dilakukan namun hanya pada September 2017, sebahagian daripada anggota badannya ditemui terapung di pelabuhan Oshawa oleh seorang nelayan. Pihak polis pada mulanya gagal mengenal pasti identiti mangsa atau siapa pelakunya sehinggalah satu kejadian aneh berlaku di sebuah rumah pangsa di 19 McMillan Drive.

​    Pada Disember 2017, penyewa di tingkat atas rumah tersebut mengadu tentang masalah paip tersumbat yang mengeluarkan bau busuk yang amat meloyakan. Seorang tukang paip telah dipanggil untuk memeriksa saluran tersebut. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati bahan yang menyumbat paip tersebut bukanlah sisa kotoran biasa tetapi sebaliknya ketulan daging manusia yang telah hancur. Apabila pihak polis tiba untuk menyiasat, penghuni tingkat bawah iaitu Adam Strong dengan nada yang sangat tenang dan sinis berkata, "The jig is up" (rahsia sudah terbongkar). Dia terus mengaku bahawa terdapat mayat di dalam rumahnya dan bakinya disimpan di dalam peti sejuk beku.

    B​Siasatan di dalam apartmen Adam Strong mendedahkan pemandangan yang sangat mengerikan. Polis menemui sisa mayat Rori Hache yang telah dikerat-kerat di dalam peti sejuk beku. Selain itu, apartmen tersebut dipenuhi dengan pelbagai alatan seks ganas, senjata tajam dan juga sebuah bom buatan sendiri. Bukti forensik menunjukkan bahawa Adam telah menyeksa mangsa sebelum membunuhnya dengan kejam menggunakan tukul besi. Apa yang lebih mengejutkan, Adam cuba melupuskan baki anggota badan mangsa dengan cara memasaknya dan kemudian mengepamnya masuk ke dalam sistem kumbahan rumah tersebutnyang akhirnya menyebabkan paip tersumbat.

    Pihak forensik tidak berhenti di situ. Semasa menggeledah dapur Adam, mereka menemui sebilah pisau pemburu yang mempunyai kesan DNA wanita lain. Selepas ujian makmal dijalankan, DNA tersebut sah milik Candice Fitzpatrick, seorang remaja berusia 19 tahun yang telah dilaporkan hilang sejak tahun 2008. Selama 10 tahun, keluarga Candice hidup dalam penderitaan tanpa mengetahui nasib anak mereka. Penemuan ini membuktikan bahawa Adam Strong adalah seorang pembunuh bersiri yang telah beroperasi selama bertahun-tahun tanpa dikesan oleh pihak berkuasa.

     Semasa perbicaraan, Adam Strong menunjukkan sikap yang sangat angkuh dan langsung tidak menunjukkan rasa kesal. Dia sering ketawa dan mengejek ahli keluarga mangsa di dalam mahkamah. Walaupun Adam Strong cuba menafikan pembunuhan tersebut dengan alasan mangsa mati akibat dos dadah berlebihan, bukti forensik adalah terlalu kukuh. Pada Mac 2021, dia didapati bersalah atas pembunuhan tahap pertama terhadap Rori Hache dan pembunuhan tidak sengaja terhadap Candice Fitzpatrick. Adam Strong dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol selama 25 tahun.

​     Pada tahun 2022 yakni dalam satu pusingan plot yang tidak dijangka, Adam Strong akhirnya mendedahkan lokasi di mana dia menanam sisa mayat Candice Fitzpatrick di sebuah kawasan hutan. Pendedahan ini akhirnya memberikan penutup yang sangat diperlukan oleh keluarga Fitzpatrick selepas 14 tahun menanti.

Catat Ulasan for "Kisah Adam Strong yang Benar-Benar Menakutkan"