Kisah Misteri Kehilangan Leung Ka-min

     Pada era 1990-an, industri perfileman Hong Kong sedang berada di puncak kegemilangan. Di sebalik tabir kemasyhuran pengarah tersohor Wong Jing, tersimpan satu kisah duka yang sehingga kini masih menjadi teka-teki yang belum terungkai. Kisah ini melibatkan seorang kakitangan bawahannya bernama Leung Ka-min, seorang wanita muda berusia 21 tahun yang hilang tanpa dikesan. Kehilangan wanita ini meninggalkan seribu satu persoalan tentang apa yang sebenarnya berlaku di hutan tebal Takungan Shing Mun.

​     Leung Ka-min digambarkan sebagai seorang gadis yang memiliki rupa paras yang cantik, lemah lembut dan sangat berdedikasi terhadap kerjanya. Walaupun bekerja di studio milik Wong Jing selama setahun, dia bukanlah seorang bintang filem yang mengejar populariti. Dia  sebaliknya hanyalah seorang pembantu produksi yang rajin, menjalankan tugas-tugas di sebalik tabir seperti pengurusan pejabat dan mencari lokasi penggambaran. Disebabkan kesibukan Wong Jing yang luar biasa pada waktu itu, hubungan mereka hanyalah sekadar majikan dan pekerja biasa di mana mereka jarang bersemuka secara langsung.

     ​Kejadian sebenar bermula pada 31 Ogos 1994. Pada hari tersebut, Ka-min meninggalkan rumah sewaannya di Tsuen Wan dengan berpakaian ringkas yakni t-shirt putih, seluar pendek hitam dan kasut sukan. Dia sempat memberitahu rakan sebiliknya bahawa dia akan menuju ke Takungan Shing Mun (Shing Mun Reservoir) untuk mencari lokasi yang sesuai bagi penggambaran sebuah filem seram. Pesanan terakhirnya adalah supaya rakan sebiliknya tidak perlu menunggunya untuk makan malam. Malam itu bagaimanapun berlalu tanpa kelibat Ka-min. Dia tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke rumah tersebut.

     Apabila laporan kehilangan dibuat, pihak polis Hong Kong melancarkan operasi mencari dan menyelamat yang besar-besaran. Kawasan Takungan Shing Mun yang luas dan berhutan tebal digeledah. Walau bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk fizikal ditemui seperti tiada barangan peribadi, tiada kesan pergelutan dan tiada saksi yang melihatnya di kawasan tersebut pada hari kejadian. Kehilangan seorang gadis muda di kawasan yang sering dikunjungi pendaki ini menimbulkan pelbagai spekulasi sama ada dia menjadi mangsa serangan haiwan liar, kemalangan jatuh ke dalam takungan ataupun diculik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

​     Kes ini kembali menjadi bualan hangat pada tahun 2011 iaitu 17 tahun selepas kehilangannya. Seorang anggota polis di Balai Polis Yuen Long melaporkan menerima satu panggilan telefon misteri daripada seorang wanita yang kedengaran cemas dan mendakwa dirinya sedang dalam bahaya di kawasan Kam Tin. Apa yang mengejutkan, apabila polis cuba menghubungi semula nombor tersebut, talian itu dikesan tidak wujud. Kejadian ini dikaitkan dengan fenomena paranormal di mana ramai yang percaya itu adalah panggilan roh daripada Ka-min yang masih mencari jalan pulang.

Gambar sekadar hiasan (Janaan AI)

     Selain panggilan misteri, seorang wanita yang tidak mengenali Ka-min yang dikenali sebagai Ah Po, mendakwa sering didatangi seorang wanita dalam mimpinya. Wanita dalam mimpi itu memberikan butiran yang sangat spesifik tentang identitinya seperti tahun lahirnya pada 1973 dan alamat lamanya. Apabila butiran tersebut disemak, ia sepadan tepat dengan profil Leung Ka-min. Fenomena ini menyebabkan ramai pengamal paranormal cuba menjejaki lokasi mayatnya di kawasan Kam Tin berdasarkan petunjuk mimpi tersebut tetapi  buntu.

     Hingga kini, fail kes Leung Ka-min masih dikategorikan sebagai kes terbuka atau cold case. Walaupun pelbagai teori dikemukakan daripada jenayah terancang, pemerdagangan manusia hinggalah kepada unsur mistik, kebenaran di sebalik apa yang terjadi pada petang 31 Ogos 1994 itu kekal terkunci rapat di hutan Shing Mun.

Catat Ulasan for "Kisah Misteri Kehilangan Leung Ka-min"