Kisah Pembunuhan Kejam Lau Mei-ying


     Pada bulan Julai 2004, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Lam Tin, Hong Kong. ​Lau Mei-ying yang mesra dipanggil dengan gelaran Fei Ying (Ying Gemuk) oleh rakan-rakannya dilahirkan pada tahun 1986. Dia membesar dalam sebuah keluarga sederhana di rumah papan yang terletak di Cha Kwo Ling Village, Kwun Tong. Semasa zaman kanak-kanak dan awal remaja, Mei-ying merupakan seorang gadis yang ceria, aktif serta mempunyai bentuk badan yang normal. Malah disebabkan fizikalnya yang tinggi berbanding rakan sebaya, Mei-ying pernah memenangi pingat emas dalam acara lontar peluru dan lempar cakera di sukan sekolah. Bakat dan keunikan Mei-ying juga pernah menarik perhatian pencari bakat hingga dia diberi peluang memegang watak kecil dalam sebuah filem komedi Hong Kong pada tahun 2001.

​     Tragedi emosi Mei-ying bermula sekitar tahun 2002 apabila tabiat pemakanannya berubah akibat tekanan perasaan hingga menyebabkan berat badannya melonjak drastik sehingga mencecah hampir 100 kilogram. Keadaan fizikal ini menjadikannya mangsa buli siber dan ejekan di sekolah. Keyakinan dirinya terus hancur apabila seorang lelaki yang dikenalinya melalui alam maya menolak cintanya selepas Mei-ying menghantar rakan baiknya yang lebih langsing untuk bertemu lelaki tersebut. Akibat rasa kecewa, Mei-ying mula tercicir daripada persekolahan tingkatan empat memilih untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan di pusat komuniti dan rumah orang-orang tua.

​     Kemuncak kepada keputusan Mei-ying untuk lari dari rumah berlaku pada awal Jun 2004. Selepas menerima sijil penghargaan atas khidmat sukarelawannya, dia meletakkan sijil tersebut di tepi telefon rumah dengan harapan mahu mengejutkan keluarganya. Malangnya, si bapa yang bekerja sebagai juruteknik secara tidak sengaja telah menggunakan bahagian belakang sijil tersebut untuk menulis nota kerosakan komputer yang panjang lebar. Berang kerana rasa maruah dan usahanya tidak dihargai, Mei-ying bertengkar hebat dengan ibu bapanya sebelum mengambil keputusan keluar dari rumah dan menumpang di kediaman rakannya, Lo Ka-ning di flat Lei On Court, Lam Tin.


     ​Keputusan menumpang di rumah Lo Ka-ning ternyata menjadi jerat maut. Di rumah tersebut, Mei-ying diperkenalkan kepada sekumpulan remaja jalanan yang sering melepak, merokok dan menyalahgunakan bahan terlarang. Di dalam hierarki kumpulan sosial ini, Mei-ying berada di kedudukan paling bawah. Disebabkan sifatnya yang lurus, dahagakan penerimaan rakan sebaya dan berbadan besar, dia sering dijadikan hamba, tempat melepasan amarah serta bahan hiburan murah. Ahli kumpulan sering memaksanya mengangkat baju untuk menayangkan lemak badannya semata-mata untuk mentertawakannya.

     ​Ketegangan mula meruncing apabila dalang utama kumpulan itu, To Chun-yu (21 tahun) mula berasa tergugat dengan kehadiran Mei-ying yang didakwanya sering berbohong dan cuba mengambil alih perhatian ahli kumpulan yang lain. Pada 11 Julai 2004, To Chun-yu sengaja menyembunyikan wangnya sendiri lalu menuduh Mei-ying mencurinya. Tanpa usul periksa, Mei-ying dipukul beramai-ramai buat kali pertama. Disebabkan ketahanan fizikalnya, Mei-ying masih mampu bertahan dan memilih untuk terus tinggal di situ. Dua hari kemudian, pada 14 Julai, To Chun-yu berpura-pura histeria atau dirasuk roh halus dan menggunakan suara wanita untuk mengarahkan ahli kumpulan mengheret Mei-ying ke balkoni sebelum memijak perut mangsa bertubi-tubi selama 20 minit. Pada sebelah malamnya, mereka sekali lagi memerangkap Mei-ying dengan memasukkan telefon bimbit secara sembunyi ke dalam beg mangsa bagi mencipta alasan untuk penderaan seterusnya.

​     Pada pagi hari khamis, 15 Julai 2004, To Chun-yu memperdaya Mei-ying untuk pulang ke flat berkenaan atas alasan mahu mengemas barang. Sebaik sahaja melangkah masuk, mangsa disergap dan dikurung di dalam tandas yang sempit. Bermula dari detik itu, flat berkenaan bertukar menjadi dewan penyeksaan yang penuh dengan sifat sadistik dan tidak berperikemanusiaan selama lebih daripada sepuluh jam. Mei-ying dipukul pada bahagian muka dan kepala hingga terhantuk pada dinding konkrit tandas. Dalam keadaan mangsa yang separuh sedar dan menangis meminta simpati, To Chun-yu mengarahkan ahli kumpulan mengundi siapa yang perlu merogol mangsa. Apabila dua remaja lelaki yang dipilih enggan melakukannya kerana rupa paras mangsa, To Chun-yu memandulkan maruah mangsa dengan memaksanya melakukan seks oral. Tidak cukup dengan itu, seorang remaja bernama Lam Wai-shi mengambil sebatang sudu besi besar dari dapur dan menyumbatnya ke dalam kemaluan mangsa secara paksa sehingga mendatangkan kecederaan dalaman yang parah.

     ​Kemuncak kepada penyeksaan fizikal tersebut adalah apabila kumpulan tersebut mengambil sebotol cecair peluntur kimia sebelum menuangnya secara paksa ke dalam mulut mangsa. Tindakan menghumban cecair berasid ini menyebabkan mulut, kerongkong dan organ dalaman Mei-ying mengalami lecuran kimia tahap kritikal. Mangsa mengalami sawan, kesukaran bernafas dan darah mula memancut keluar dari mulutnya. Ketika mangsa sedang menggelupur menahan kesakitan yang amat sangat, rakan karibnya, Lo Ka-ning dilaporkan sekadar berdiri di luar pintu tandas sambil mengecat kuku jarinya tanpa menunjukkan sebarang reaksi belas kasihan. Malah ada ahli kumpulan yang menggunakan kamera video untuk merakamkan saat-saat akhir Mei-ying bertarung nyawa demi kepuasan tontonan mereka.


    ​Menjelang jam 8:00 malam, melihat keadaan Mei-ying yang sudah nyawa-nyawa ikan dan mengeluarkan bunyi erangan yang semakin lemah, To Chun-yu memutuskan untuk menamatkan riwayat mangsa. Dia mengambil sebatang penyangkut baju besi, melilitnya pada leher Mei-ying dari arah belakang dan menjerutnya dengan sekuat hati sehingga mangsa kaku dan disahkan meninggal dunia.

     ​Sebaik sahaja menyedari Mei-ying sudah tidak bernyawa, ketakutan mula menyelubungi kumpulan remaja tersebut. Mereka mula berbincang tentang kaedah menghapuskan mayat termasuk cadangan memotong anggota badan, menyimen mayat ke dalam tong sebelum dicampak ke laut atau melarutkannya dalam tong asid. Namun disebabkan saiz badan mangsa yang besar, To Chun-yu menolak cadangan tersebut kerana bimbang ia memakan masa yang lama. Lelaki itu sebaliknya mengarahkan beberapa ahli kumpulan keluar membeli asid hidroklorik  di kedai perkakasan manakala dia sendiri pulang ke rumah bapanya untuk mencuri sebuah kereta sorong besi dan kotak kadbod televisyen bersaiz 24 inci.

     ​Sambil menunggu waktu tengah malam yang sunyi untuk mengangkut mayat, kumpulan remaja ini dilaporkan tergamak bermain terup dan daun pakau di sebelah mayat Mei-ying yang diletakkan di bawah sistem pendingin hawa bagi mengelakkan bau busuk tersebar. Sekitar jam 3:00 pagi pada 16 Julai, mayat Mei-ying dilipat secara paksa dan disumbat ke dalam kotak televisyen tersebut sebelum ditolak menggunakan kereta sorong melepasi pos pengawal flat. Ketika disoal oleh pengawal keselamatan tentang bau busuk yang menyengat, To Chun-yu dengan tenang menjawab bahawa kotak tersebut mengandungi dari pasar seunit yang sudah busuk dan mahu dibuang.


     Mereka membawa mayat tersebut ke kawasan lereng bukit yang sunyi di pinggir Lam Tin. Di situ, kotak dibuka dan To Chun-yu bersama rakannya membuka 12 botol asid kuat lalu menyimbahnya terus ke bahagian muka Lau Mei-ying. Tindakan kejam ini bertujuan untuk menghancurkan rekod pergigian, wajah dan cap jari mangsa agar identitinya tidak dapat dikesan oleh pihak forensik. Proses kimia tersebut mengeluarkan asap tebal dan menyebabkan muka mangsa melepuh sepenuhnya seorang remaja paling muda dalam kumpulan itu mengeluarkan kenyataan ngeri dengan memuji tindakan itu kelihatan cantik. Selepas menelanjangkan sebahagian pakaian mangsa untuk memalsukan motif jenayah seksual oleh orang asing, mayat Mei-ying dihumban ke dalam anak sungai kecil di lereng bukit tersebut sebelum barang peribadi dan kereta sorong ditinggalkan di kawasan berhampiran.

     ​Misteri kehilangan Lau Mei-ying akhirnya terbongkar pada pagi 22 Julai 2004 apabila lima orang pekerja pembersihan Jabatan Kebersihan Makanan dan Persekitaran Hong Kong yang sedang melakukan operasi semburan nyamuk terhidu bau busuk yang amat melampau di kawasan lereng bukit berhampiran Klinik Pakar Lam Tin. Pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang wanita dalam keadaan terlentang di dalam anak sungai dengan keadaan badan yang sudah berulat dan wajah yang hancur sepenuhnya akibat asid. Pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan diri tidak jauh dari situ membolehkan proses pengecaman dilakukan oleh ibu bapa mangsa melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

​      Berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Lei On Court, pihak polis berjaya mengesan visual lima remaja lelaki yang menolak kereta sorong misteri pada malam kejadian. Pada 23 Julai 2004, tiga suspek awal berjaya ditahan di sebuah pusat beli-belah di Tak Tin Estate. Suspek-suspek ini akhirnya memecahkan rahsia dan membawa kepada penahanan keseluruhan 12 individu yang terlibat di dalam flat berkenaan.

  
​      Perbicaraan kes ini berlangsung di Mahkamah Tinggi Hong Kong pada pertengahan tahun 2006 dan keputusan yang dijatuhkan telah mencetuskan gelombang kemarahan serta demonstrasi awam yang besar. Disebabkan sebahagian besar pelaku utama merupakan remaja di bawah umur semasa kejadian berlaku, pihak juri dan mahkamah menghadapi kekangan teknikal undang-undang untuk mensabitkan mereka di bawah akta pembunuhan dengan niat. Mahkamah sebaliknya menjatuhkan hukuman atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat, serangan fizikal yang mendatangkan kecederaan dan menghalang pengebumian mayat secara sah. Dalang utama, To Chun-yu hanya dijatuhkan hukuman penjara selama 9 tahun. Pesalah-pesalah lain termasuk Lo Ka-ning, Lam Wai-shi dan Poon Ho-wai dikenakan hukuman penjara antara empat hingga sembilan tahun manakala salah seorang suspek dibebaskan sepenuhnya kerana kekurangan bukti penyertaan aktif. Keluarga mangsa meratapi keputusan ini yang disifatkan sebagai tidak adil berbanding penderitaan ekstrem yang dialami oleh Lau Mei-ying sebelum kematiannya. Keadaan diburukkan lagi dengan sikap ibu bapa para pelaku yang mengeluarkan kenyataan media menyalahkan mahkamah kerana menghukum anak mereka terlalu berat atas alasan anak-anak hanya bermain secara bodoh.



Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Lau Mei-ying"