Kisah Wu Xieyu: Pemuda Genius yang Bunuh dan Awet Mayat Ibu Kandung Sendiri

Kes yang berlaku pada pertengahan tahun 2015 ini melibatkan Wu Xieyu, seorang pemuda yang sering dijuluki sebagai Xueba atau Dewa Belajar oleh rakan-rakan sebayanya kerana kepintarannya yang luar biasa. Wu Xieyu merupakan seorang penuntut elit di Universiti Peking yakni universiti paling berprestij di China. Namun di sebalik topeng kesempurnaan yang dipamerkan kepada dunia luar, minda genius ini sebenarnya sedang merangka sebuah pelan pembunuhan yang sangat sistematik, berdarah dingin dan kejam terhadap ibu kandungnya sendiri, Xie Tianqin.
Bagi memahami akar umbi kejadian ini, sorotan perlu diberikan kepada dinamika hubungan keluarga mereka yang sangat toksik dan terasing. Wu Xieyu dilahirkan dalam sebuah keluarga kelas pertengahan di mana ibunya, Xie Tianqin merupakan seorang guru subjek Sejarah di sebuah sekolah menengah di Fuzhou, wilayah Fujian. Kematian bapa Wu Xieyu akibat penyakit kanser hati pada tahun 2010 telah menjadi titik pusingan yang gelap. Ibunya yang mengalami kemurungan yang tidak dirawat mula mengalihkan seluruh fasa kehidupannya untuk mengawal dan mencorakkan masa depan Wu Xieyu. Xie Tianqin meletakkan standard moral dan akademik yang terlampau tinggi daripada anaknya. Setiap hari, Wu Xieyu diwajibkan untuk membuat panggilan telefon bagi melaporkan setiap butiran sekecil-kecilnya daripada pemakanan harian sehinggakan gred peperiksaan.
Menjelang cuti musim panas tahun 2015, Wu Xieyu yang ketika itu berusia 21 tahun telah mula menukar tekanan mentalnya menjadi satu pelan tindakan jenayah yang rapi. Menggunakan keupayaan inteleknya, dia membeli pelbagai peralatan pembunuhan dan forensik secara dalam talian seperti pisau bedah, sut kalis air, bahan kimia dan plastik kedap udara. Pada 10 Julai 2015, Wu Xieyu pulang ke rumah kuarters guru ibunya di Fuzhou. Ketika Xie Tianqin sedang tunduk di muka pintu untuk menukar kasutnya selepas pulang dari tempat kerja, Wu Xieyu bertindak menyerang ibunya dari arah belakang. Dia menghentak kepala ibunya secara bertubi-tubi menggunakan batang besi yang berat sehingga wanita itu menghembuskan nafas terakhir dalam takungan darah. Tiada sebarang belas kasihan atau sifat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh si anak pada waktu tersebut.

Apa yang menjadikan kes ini bertambah dahsyat adalah taktik pengawetan mayat yang digunakan oleh Wu Xieyu bagi mengelakkan bau reput dikesan oleh jiran tetangga. Lelaki itu tidak menanam atau membuang mayat ibunya. Dia sebaliknya membiarkan mayat tersebut di atas katil di dalam rumah berkenaan. Wu Xieyu membungkus mayat ibunya dengan lebih 75 lapisan plastik kedap udara dan kain cadar. Di setiap lapisan balutan tersebut, Wu Xieyu menabur serbuk arang aktif dan ratusan ubat gegat dalam kuantiti yang ekstrem untuk menyerap cecair tubuh serta meneutralkan bau pereputan organik. Sebagai langkah keselamatan tambahan, Wu Xieyu memasang peranti kamera litar tertutup (CCTV) khas yang dilengkapi pengesan pergerakan di dalam bilik tersebut. Kamera ini dihubungkan terus ke telefon bimbitnya secara dalam talian sekali gus membolehkan Wu menerima amaran digital sekiranya ada pihak berkuasa atau ahli keluarga lain yang cuba memecah masuk ke dalam rumah tersebut semasa ketiadaannya.
Selepas memastikan mayat ibunya tersimpan rapi, Wu Xieyu memulakan fasa penipuan komersial yang licik bagi membiayai pelariannya. Dia menggodam akaun WeChat ibunya dan menghantar mesej rasmi kepada pihak pengurusan sekolah untuk meletakkan jawatan sebagai guru dengan alasan kononnya dia perlu menemani Wu Xieyu yang mendapat tawaran biasiswa lanjutan ke Universiti MIT di Amerika Syarikat. Seterusnya menggunakan modus operandi yang sama, dia menghubungi saudara-mara terdekat dan rakan-rakan ibunya untuk meminjam wang bagi menampung kos sara hidup di luar negara. Atas dasar percaya kepada reputasi Wu sebagai anak genius, ahli keluarga tanpa curiga telah memindahkan wang terkumpul sebanyak 1.44 juta Yuan (sekitar RM900 000) ke dalam akaunnya. Wang darah inilah yang menjadi tiket untuk Wu Xieyu memulakan kehidupan baharu di bawah radar pihak berkuasa.

Berbalik dengan Xie Tiangin, misteri kehilangannya terbongkar pada 14 Februari 2016 bersempena dengan perayaan Tahun Baru Cina. Saudara-mara mula berasa sangsi kerana Xie Tianqin enggan menjawab sebarang panggilan suara dan hanya membalas mesej teks ringkas. Apabila polis memecah masuk ke kuarters tersebut atas laporan kehilangan Xie Tiangin, mereka akhirnya menemui mayat wanita itu yang telah kering membeku akibat pengawetan kimia.
Bermula dari awal tahun 2016 sehingga awal tahun 2019, Wu Xieyu menjalani kehidupan yang sangat ekstrem dan aneh di bandar raya Chongqing. Bagi mengelakkan diri daripada dikesan oleh sistem pengawasan keselamatan China yang ketat, Wu membeli lebih daripada 30 keping kad pengenalan palsu melalui pasaran hitam digital (Dark Web). Pada waktu siang, dia menggunakan kepintaran akademiknya untuk bekerja sebagai seorang guru tuisyen peribadi yang sangat dihormati oleh para pelajar dan ibu bapa. Namun pada waktu malam, persona korporatnya bertukar menjadi seorang pelayan lelaki di kelab malam mewah. Wu menghabiskan ratusan ribu Yuan wang hasil penipuannya untuk membiayai gaya hidup mewah, melanggan pelacur dan melabur dalam aktiviti perjudian dalam talian sekali gus mempamerkan sosiopati yang jelas dalam wataknya.

Pelarian Wu Xieyu akhirnya menemui titik noktah pada 20 April 2019. Semasa dia berjalan dengan tenang di Lapangan Terbang Antarabangsa Jiangbei, Chongqing struktur wajahnya telah ditangkap oleh kamera keselamatan pintar yang dilengkapi sistem pengecaman wajah berasaskan kecerdasan buatan. Walaupun Wu mengemukakan kad pengenalan palsu semasa ditahan, padanan biometrik membuktikan 100% bahawa dia ialah pembunuh buruan yang paling dikehendaki di China. Penahanan ini menamatkan pemburuan Wu Xieyu selama tiga tahun.

Semasa perbicaraan di Mahkamah Rakyat Pertengahan Fuzhou, Wu Xieyu memberikan pengakuan yang panjang lebar dengan nada yang sangat tenang. Dia menyatakan bahawa motif pembunuhannya adalah atas dasar kasih sayang bagi membebaskan ibunya daripada penderitaan hidup selain mendakwa dia pada asalnya merancang untuk membunuh diri bersama. Pihak pendakwa raya bagaimanapun berjaya membuktikan bahawa tindakan Wu yang melarikan wang, memalsukan identiti dan berfoya-foya di kelab malam menafikan sebarang hujah gangguan mental atau niat membunuh diri. Walaupun ahli keluarga sebelah bapanya menandatangani surat pengampunan demi menyelamatkan zuriat terakhir keluarga mereka, mahkamah mengekalkan keputusan bahawa tindakan Wu adalah jenayah terancang yang melanggar sempadan moral manusia dan undang-undang negara tersebut. Setelah semua proses rayuan ditolak oleh Mahkamah Agung Rakyat, Wu Xieyu akhirnya telah menjalani hukuman mati pada 31 Januari 2024.
Catat Ulasan for "Kisah Wu Xieyu: Pemuda Genius yang Bunuh dan Awet Mayat Ibu Kandung Sendiri"