Kisah Pembunuhan Kejam Jessabel Mangubat

Kisah ini bermula dengan cita-cita murni seorang gadis bernama Jessabel Mangubat yang berusia 23 tahun. Sebagai anak sulung daripada lapan beradik yang dibesarkan dalam keluarga sederhana di Kota Kataingan, Jezabel memikul tanggungjawab besar untuk menjadi teladan dan membantu menyara adik-adiknya. Keazamannya yang tinggi membuahkan hasil apabila dia berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Pendidikan Rendah di Kataingan Municipal College dan kemudiannya diterima berkhidmat sebagai guru di San Ramon Institute, sebuah sekolah swasta di Kota Madia Claveria.
Demi memudahkan urusan kerjanya, Jessabel memutuskan untuk menyewa sebuah bilik di kawasan Desa Barangai Manapao. Di sinilah dia mengenali Alvin Johnson, seorang buruh binaan berusia 30 tahun yang tinggal di bilik hujung bangunan yang sama. Alvin merupakan individu yang dipercayai oleh pemilik rumah sewa untuk memantau keadaan premis tersebut. Atas dasar kepercayaan sebagai jiran, Jessabel kerap meminta bantuan Alvin untuk urusan teknikal seperti membaiki kerosakan atau memasang gas memasak tanpa menyedari bahawa lelaki itu menyimpan niat jahat dan nafsu terhadapnya sejak sekian lama.

Detik hitam itu berlaku pada malam 4 Oktober 2022. Suasana di sekolah Jessab pada siang harinya sangat ceria dengan persiapan sambutan Hari Guru. Namun sekembalinya ke bilik sewa, Jessabel yang terlalu letih dilaporkan terlupa untuk mengunci pintu biliknya. Pada jam sekitar 11:00 malam, Alvin pulang dalam keadaan mabuk berat selepas menghadiri sebuah pesta. Menyedari pemilik rumah tiada di tempat kejadian, Alvin mengambil sebilah kapak kayu yang sering digunakannya untuk bekerja sebelum menuju ke bilik Jessabel. Walaupun sempat ditegur oleh penghuni lain, Alvin memberi alasan mahu membantu Jessabel. Dia kemudian masuk ke bilik guru muda itu yang sedang nyenyak tidur.
Di dalam bilik yang gelap, Alvin menyerang Jessabel secara mengejut. Apabila mangsa cuba melawan, Alvin bertindak zalim dengan menghentak kepala Jessabel menggunakan kapak tersebut. Tidak cukup dengan itu, dia melakukan kekejaman dengan menusuk bahagian kemaluan mangsa menggunakan gagang kapak sehingga menyebabkan pendarahan hebat. Dalam keadaan mangsa yang sudah tidak bernyawa, Alvin tetap meneruskan tindakan keji merogol jasad Jessabel sebelum menutup pintu bilik lalu kembali ke biliknya sendiri seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Keesokan harinya yakni pada pagi sambutan Hari Guru, ketidakhadiran Jessabel menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakan setugas dan murid-muridnya. Apabila panggilan telefon tidak dijawab, beberapa orang guru melawat bilik sewanya pada jam 11:30 pagi. Mereka disambut oleh Alvin yang berpura-pura tenang dan mendakwa tidak melihat Jessabel keluar sejak pagi. Sebaik sahaja pintu bilik yang tidak berkunci itu dibuka, mereka dikejutkan dengan bau hanyir darah dan penemuan mayat Jessabel yang kaku di atas katil dalam keadaan yang amat menyayat hati.

Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian bertindak pantas melakukan siasatan. Penemuan kapak berdarah dan baju milik Alvin yang mempunyai kesan tompokan darah di biliknya menjadi bukti kukuh penglibatannya. Menyedari dirinya diburu, Alvin sempat melarikan diri. Dia bagaimanapun berjaya ditangkap pada petang hari yang sama di Kota Masbate. Di balai polis, dia akhirnya mengaku melakukan jenayah tersebut kerana dorongan nafsu dan pengaruh alkohol. Pada Disember 2022, keadilan akhirnya ditegakkan apabila Alvin Johnson dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Jessabel Mangubat"