Gara-gara Gambar Filter Melampau, Pencarian Wanita Hilang Terbantut

     MEXICO – Usaha pihak berkuasa mencari seorang wanita yang dilaporkan hilang berdepan kesukaran apabila orang ramai gagal mengecam wajah mangsa akibat foto media sosialnya yang disunting secara melampau.

​     Grecia Guadalupe Mendoza Orantes, 30 tahun dilaporkan hilang di tenggara Mexico pada Ahad, 12 April 2026 oleh kakaknya yang bimbang akan keselamatannya. Susulan laporan tersebut, polis melancarkan siasatan besar-besaran dan menyebarkan poster wajah mangsa di seluruh bandar serta dalam talian bagi mendapatkan bantuan orang ramai. Bagi tujuan tersebut, pihak polis menggunakan foto-foto yang dimuat naik sendiri oleh Grecia di media sosial untuk dijadikan bahan hebahan.

    ​Seorang saksi mendakwa melihat seorang individu bersenjata menculik mangsa di Ocozocoautla. Pihak berkuasa pada awalnya bimbang kejadian itu mempunyai kaitan dengan serangan bersenjata di sebuah bar di kawasan sama yang mengorbankan empat nyawa sekali gus meningkatkan kerisauan terhadap keselamatan Grecia.

    Pihak Suruhanjaya Negeri bagi Pencarian Orang bagaimanapun menyatakan bahawa usaha pencarian selama empat hari itu sepatutnya boleh diselesaikan dengan lebih cepat jika poster orang hilang tersebut tidak disunting. Menurut pihak berkuasa, foto yang disunting secara melampau itu telah mengaburi identiti sebenar mangsa sehingga menyukarkan orang ramai untuk mengecamnya.

​    Gambar poster tersebut tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi tajam daripada netizen. Rata-rata pengulas mempersoalkan kesahihan gambar tersebut dengan komen seperti, “Ini tidak mungkin gadis yang sama". Malah ada yang berseloroh dengan menyatakan bahawa mungkin mangsa tidak ditemui lebih awal kerana orang ramai tidak mengenalinya walaupun terserempak dengannya.

     ​Selepas empat hari operasi dijalankan, Grecia akhirnya ditemui selamat di sebatang lebuh raya. Walau bagaimanapun, pihak polis tidak memberikan butiran lanjut mengenai bagaimana wanita itu ditemui serta punca sebenar kehilangannya.

Catat Ulasan for "Gara-gara Gambar Filter Melampau, Pencarian Wanita Hilang Terbantut "