Insiden Maut Terjunan Tali: Kecuaian Kakitangan Ragut Nyawa Wanita Muda

BRAZIL - Seorang wanita muda berusia 21 tahun iaitu Maria Eduarda Rodrigues de Freitas maut dalam satu kejadian ngeri apabila terjatuh dari ketinggian 40 meter semasa menyertai aktiviti terjunan tali di Jambatan Skeleton, Limeira Sabtu lalu. Kematian mangsa dipercayai berpunca daripada kecuaian ketara pihak penganjur yang gagal memasang tali keselamatan pada tubuhnya sebelum terjunan dilakukan.
Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan detik menyayat hati apabila mangsa yang berada dalam posisi superman ditolak dari tebing jambatan tanpa sebarang ikatan keselamatan (Video di hujung artikel). Lebih menyedihkan, tali yang sepatutnya digunakan dilihat terbiar tidak terusik di atas tanah berhampiran. Saksi di lokasi kejadian mendakwa orang ramai sempat menjerit memberikan amaran sebaik menyedari mangsa tidak diikat dengan betul. Jeritan mereka bagaimanapun tidak diendahkan hingga mangsa tercampak ke bawah.
Sebelum insiden malang itu, mangsa yang merupakan peminat aktiviti lasak sempat berkongsi keterujaannya di media sosial. Secara ironinya, dia memuat naik gambar sepanduk syarikat penganjur, Entre Cordas dengan kapsyen yang kini mengundang seribu tanda tanya, "Siapakah orang gila yang membenarkan saya terjun dari jambatan?"

Susulan kejadian ini, pihak polis telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan. Pegawai penyiasat, Andrea Dantas mendedahkan bahawa dua kakitangan yang bertanggungjawab menyediakan peralatan keselamatan mangsa memberikan kenyataan yang meragukan. Mereka mendakwa tidak ingat bagaimana kesilapan tersebut berlaku, siapa yang sepatutnya menguruskan tali dan sama ada terdapat sebarang penyeliaan teknikal yang dijalankan pada waktu itu.
Walaupun pihak Polis Sivil mengesahkan bahawa aktiviti terjunan tersebut telah berlangsung dengan lancar untuk peserta lain sebelum insiden itu berlaku, peguam kepada ketiga-tiga suspek, Rafael Gomes dos Santos tetap mempertahankan anak guamnya. Dia menegaskan bahawa sukan tersebut tidak tertakluk kepada peraturan khusus tetapi tidak pula diharamkan. Peguam itu turut menyatakan bahawa acara tersebut dihadiri kira-kira 100 orang dan mendakwa pihak penganjur berpengalaman luas mengendalikan aktiviti ini selama bertahun-tahun tanpa sebarang kemalangan sebelum ini.,
Catat Ulasan for "Insiden Maut Terjunan Tali: Kecuaian Kakitangan Ragut Nyawa Wanita Muda"