Kisah Pembunuhan Kejam Sri Mulyani

     Artikel kali ini mengisahkan bagaimana seorang wanita bernama Sri Mulyani binti Malhuri menjadi mangsa pembunuhan kejam di wilayah sempadan Indonesia-Malaysia di Sambas, Kalimantan Barat. 

     Sri Mulyani dan Prada Yuwandi iaitu seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat telah menjalin hubungan cinta sejak tahun 2021 yang kemudian diikat dengan pertunangan pada 27 April 2022. Walau bagaimanapun, kebahagiaan mereka mula terhakis apabila Yuwandi ditugaskan di Pos Lintas Batas Negara (PLBN) Aruk, Sambas pada Mei 2022. Sejurus ditempatkan di sana, Yuwandi mula menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita tempatan bernama Yanti yang menjalankan perniagaan salun kecantikan. Hubungan Yuwandi dan Yanti sangat intim di mana mereka kerap meluangkan masa bersama di hotel sekali gus mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Sri Mulyani.

     Ketegangan mencapai tahap kritikal pada Ogos 2022 apabila Sri mendapati dirinya mengandung lalu menuntut Yuwandi bertanggungjawab. Yuwandi secara konsisten menafikan kehamilan tersebut dengan alasan hubungan mereka sudah berakhir. Perasaan curiga Sri akhirnya terjawab apabila dia menjejaki Yanti melalui media sosial. Sri bertindak berani dengan memuat naik foto Yanti di akaun TikTok miliknya dan melabelkan wanita tersebut sebagai perampas. Walaupun Yanti mendakwa tidak mempedulikan provokasi tersebut, konflik ini telah mencipta dendam dan kebencian yang mendalam dalam diri Yuwandi yang berasa terancam dengan desakan Sri untuk melaporkan kelakuannya kepada pihak atasan tentera.

     Pada 23 Disember 2022, Sri nekad pergi ke Sambas untuk menuntut keadilan. Setibanya di sana, dia mendaftar masuk ke sebuah hotel. Pada malam yang sama, satu pertengkaran berlaku di sebuah rumah makan dan perkarangan Hotel R. Sri menyerang Yuwandi sedang bersama teman wanitanya, Yanti. Di hadapan pemilik hotel, Sri meluahkan kemarahannya dan menuntut untuk bersemuka dengan Yanti bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Diserang rasa panik untuk melindungi hubungannya dengan Yanti dan mengelak tindakan tatatertib pihak atasan, Yuwandi memaksa Sri keluar dari perkarangan hotel dengan janji palsu ingin menghantar mangsa ke terminal bas untuk pulang ke Pontianak.

     Namun itu hanyalah helah untuk membawa mangsa ke kawasan terpencil di Bukit Tempayan, Desa Sebunga. Di sebuah rumah kosong di lokasi tersebut, Yuwandi bertindak di luar perikemanusiaan dengan menjatuhkan mangsa, mencekik sehingga tidak sedarkan diri melakukan penderaan seksual dan akhirnya membunuh mangsa dengan menghempas kepala mangsa menggunakan batu besar. Mayat mangsa kemudian ditanam di sebuah lubang dangkal bagi melenyapkan bukti.

     Selepas pembunuhan, Yuwandi melakukan muslihat licik bagi mengaburi mata keluarga mangsa. Dia menggunakan nombor telefon dari luar negara untuk menyamar sebagai Sri dan menghantar pesanan ringkas mendakwa mangsa telah bekerja di Malaysia sekali gus melengahkan usaha pencarian selama enam bulan. Kebenaran akhirnya terbongkar pada 31 Mei 2023 apabila dua orang penduduk yang sedang mencari kayu menemui rangka manusia serta kunci hotel yang tertanam bersama mangsa. Melalui ujian DNA, rangka tersebut disahkan milik Sri Mulyani.

    Dalam perbicaraan di Mahkamah Tentera Pontianak, bukti-bukti forensik dan keterangan saksi mendedahkan bahawa perbuatan Yuwandi adalah satu pembunuhan terancang. Yanti yang dipanggil sebagai saksi mengakui Yuwandi sendiri telah menceritakan kepadanya tentang pembunuhan tersebut sejurus selepas ia dilakukan tetapi Yanti tidak melaporkannya atas alasan takut. Akibat perbuatannya, Prada Yuwandi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan dipecat daripada perkhidmatan tentera. Permohonan ganti rugi tersebut bagaimanapun bagi pihak keluarga mangsa ditolak oleh mahkamah atas alasan tertuduh tidak lagi berkemampuan dari segi kewangan.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Sri Mulyani"