Kisah Pembunuhan Kejam Magdalena Aguilar Romero

Pada bulan Januari 2018, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di perbandaran Taxco, Guerrero, Mexico. Mangsa iaitu Magdalena Aguilar Romero, seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pakar pemakanan telah menjadi korban kepada keganasan domestik yang memuncak menjadi satu jenayah kejam dan mengerikan.
Latar belakang hubungan antara Magdalena dan bekas suaminya, Cesar Gomez Arciniega bermula dengan bibit percintaan pada tahun 2001. Namun seiring berjalannya waktu, hubungan tersebut berubah menjadi mimpi ngeri apabila Cesar mula menunjukkan sifat panas baran, cemburu melampau dan sikap kawalan yang ekstrem. Magdalena yang mempunyai cita-cita tinggi untuk terus belajar dalam bidang nutrisi sering kali dihalang oleh Cesar yang mahu beliau tertumpu sepenuhnya kepada urusan rumah tangga. Penderaan fizikal serta mental yang dialami oleh Magdalena menjadi semakin parah hingga dia akhirnya nekad meninggalkan rumah tersebut pada tahun 2014 bersama anak-anak mereka demi mencari kehidupan yang lebih selamat dan terjamin.

Kejadian sebenar berlaku pada 13 Januari 2018. Magdalena telah berjanji untuk bertemu dengan Cesar bagi mengambil anak-anak mereka dan menghadiri acara keagamaan bersama ibunya. Malangnya, pertemuan yang sepatutnya menjadi urusan keluarga rutin itu bertukar menjadi detik terakhir dalam hidupnya. Apabila Magdalena tidak muncul di lokasi yang dijanjikan dan gagal dihubungi, keluarganya mula berasa curiga dan bimbang. Usaha pencarian segera dilakukan oleh keluarga dan rakan-rakan mangsa tetapi pihak berkuasa pada awalnya kurang memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap laporan kehilangan tersebut. Hanya selepas sembilan hari pencarian yang intensif, kebenaran yang amat menjijikkan akhirnya terbongkar.

Pada 22 Januari 2018, pihak polis telah menjalankan serbuan ke atas premis perniagaan milik keluarga Cesar yang dikenali sebagai El Botanero. Di dalam premis tersebut, pihak penyiasat menemui satu pemandangan yang menyayat hati dan mampu menggoncang jiwa sesiapa sahaja. Saki-baki tubuh badan Magdalena ditemui dalam keadaan yang amat kejam. Sebahagian anggota badannya telah dimasak di dalam sebuah periuk besar dengan sos merah seolah-olah cuba disamarkan sebagai bahan masakan manakala bahagian tubuh yang lain ditemui di dalam peti sejuk dalam keadaan separa beku. Hasil bedah siasat kemudiannya mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas kerana dicekik.

Siasatan forensik mendedahkan bahawa ibu kepada Cesar yang dikenalo sebagai Silvia Arciniega turut terlibat secara langsung dalam jenayah keji ini. Berdasarkan keterangan saksi dan bukti saintifik, Silvia bukan sahaja mengetahui tentang pembunuhan tersebut malah turut membantu anaknya dalam proses memotong selain cuba melupuskan mayat mangsa bagi menghapuskan bukti. Pada Disember 2019, Silvia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun atas kesalahan bersubahat. Sementara itu, Cesar Gomez Arciniega yang dikenal pasti sebagai pelaku utama berjaya meloloskan diri dan kekal menjadi buruan pihak polis hingga pada hari ini meskipun ganjaran tinggi ditawarkan bagi sesiapa yang mempunyai maklumat tentang keberadaannya.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Magdalena Aguilar Romero"