Kisah Pembunuhan Kejam Siti Zahra

     Siti Zahra, seorang gadis berusia 19 tahun dari Desa Cibogo, Tangerang dikenali oleh penduduk setempat sebagai seorang anak yang sangat berbakti dan cekal. Sebagai anak sulung, dia memikul tanggungjawab besar sebagai tulang belakang keluarga setelah bapanya iaitu Encik Abdul Aziz, kehilangan pekerjaan akibat dipecat. Zahra menangguhkan impiannya untuk ke menara gading demi bekerja sebagai pembantu doktor di sebuah klinik swasta berhampiran rumahnya. Wang hasil titik peluhnya itu digunakan sepenuhnya untuk menyara kehidupan ibu bapa serta membiayai persekolahan adiknya yang sangat disayangi.

     Walau bagaimanapun, kebaikan dan pengorbanan Zahra berakhir dengan satu kejadian yang menyayat hati pada Julai 2021. Segalanya bermula apabila teman lelakinya yang bernama Dedy Setiawan (20 tahun) datang ke rumah keluarga mangsa untuk menyatakan hasrat melamar Zahra. Lamaran tersebut bagaimanapun ditolak secara baik oleh bapa Zahra. Encik Abdul Aziz berpendapat bahawa anaknya masih terlalu muda baru sahaja memulakan kerjaya dan sedang berusaha menyambung pengajian secara sambilan. Penolakan ini rupa-rupanya telah mencetuskan api dendam yang membara dalam diri Dedy hingga dia sanggup merancang satu tindakan nekad yang di luar batasan kemanusiaan.


      Pada malam kejadian, 8 Julai 2021, Dedy bersama seorang rakan sekerjanya, Sutisna (42 tahun) telah mengatur satu rancangan licik. Dedy menjemput Zahra dari tempat kerjanya kira-kira jam 8:00 malam dengan alasan mahu berbincang mengenai masa depan hubungan mereka. Tanpa rasa curiga, Zahra mengikut Dedy ke sebuah kawasan kebun singkong yang sunyi di Desa Suradita. Di sana, perbincangan tersebut bertukar menjadi pertengkaran hebat. Dalam keadaan marah yang tidak terkawal, Dedy dan Sutisna bertindak agresif dengan mencekik dan menganiaya mangsa sehingga Zahra menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.

     Kejamnya, kedua-dua suspek tidak berhenti di situ sahaja. Bagi menghapuskan bukti dan mengelakkan identiti mangsa dikesan, mereka telah menyeret mayat Zahra ke tengah kawasan kosong dan membakarnya menggunakan timbunan ranting serta daun kering yang telah disediakan lebih awal. Mayat gadis malang itu dibakar sehingga rentung sebelum ditinggalkan begitu sahaja. Penemuan mayat yang dalam keadaan tragis itu oleh pemilik kebun pada keesokan paginya telah menggemparkan seluruh penduduk Tangerang dan menjadi tular di media sosial yang akhirnya membawa bapa mangsa ke balai polis bagi melakukan pengecaman melalui sisa pakaian yang ditemui.

     Pihak polis bertindak pantas dan berjaya memberkas Dedy serta Sutisna di kediaman mereka tidak lama kemudian. Melalui sesi rekonstruksi, suspek didapati bahawa meniru adegan pembunuhan tersebut daripada filem yang pernah ditonton. Kedua-dua suspek telah berdepan dengan hukuman berat di bawah Pasal 340 KUHP berkaitan pembunuhan terancang yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Siti Zahra"