Kisah Pembunuhan Empat Sekeluarga di Kellog: Amarah Seorang Bapa

     Pada 18 Jun 2023, satu kejadian pembunuhan kejam telah berlaku di Kellogg, Idaho, Amerika Syarikat. Bermula dengan satu perlakuan tidak senonoh yang dianggap sebagai provokasi melampau, seorang bapa yang hilang pertimbangan akhirnya bertindak luar kawalan dengan membantai empat nyawa ahli keluarga jirannya demi melunaskan dendam dan amarah yang membara.

     Ketegangan antara dua keluarga yang berjiran ini bermula kira-kira lima hari sebelum kejadian berdarah tersebut. Majorjon Kaylor dan isterinya iaitu Kayley mendakwa telah melihat jiran remaja mereka yang berusia 18 tahun, Devin Smith melakukan perbuatan tidak senonoh (beronani) di hadapan tingkap bilik tidurnya. Apa yang mencetuskan kemarahan melampau Kaylor adalah hakikat bahawa perbuatan itu dilakukan secara terang-terangan di hadapan anak-anak perempuan Kaylor yang masih kecil yang ketika itu sedang bermain di luar rumah.

     Walaupun keluarga Kaylor telah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian tersebut, proses undang-undang dianggap terlalu perlahan oleh mereka. Pihak polis sememangnya menjalankan siasatan dan telah memfailkan tuduhan pendedahan awam terhadap Devin tetapi remaja tersebut tidak ditangkap serta-merta. Kaylor berasa tidak selamat tinggal bersebelahan dengan individu yang dianggapnya sebagai pemangsa seksual. Pakar psikologi jenayah menyifatkan fasa ini sebagai anger rumination di mana Kaylor dan isterinya terus-menerus membincangkan kebencian mereka di media sosial yang secara tidak langsung menyemarakkan lagi api dendam dalam diri Kaylor.

     Pada petang Ahad, 18 Jun 2023, satu pertengkaran mulut yang hebat berlaku di antara Kaylor dan ahli keluarga Smith di kawasan luar rumah mereka. Maka dalam keadaan yang hilang pertimbangan, Kaylor mengeluarkan senjata api lalu melepaskan tembakan secara kejam. Dia bukan sahaja mensasarkan Devin, malah turut menembak mati ibu Devin, Kenna Guardipee (41 tahun) dan datuknya, Kenneth Guardipee (65 tahun) di luar apartmen. Tidak berhenti di situ, Kaylor menceroboh masuk ke dalam rumah jirannya dan seterusnya menembak mati adik Devin yang baru berusia 16 tahun di bahagian dapur sebelum melangkah ke bilik tidur Devin untuk menghukum remaja tersebut dengan tembakan di kepala.

​     Selepas melakukan pembunuhan kejam tersebut, Majorjon Kaylor tidak melarikan diri. Lelaki itu sebaliknya dengan tenang menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa dia telah menghukum pemangsa dan keluarganya.  Apabila pihak polis tiba, Kaylor menyerahkan diri tanpa sebarang rintangan. Dia mendakwa tindakannya itu adalah satu bentuk keadilan untuk melindungi anak-anaknya daripada ancaman Devin sambil menyatakan bahawa dirinya telah melakukan apa yang perlu dilakukan oleh seorang bapa.

     Menerusi perbicaraan yang berlangsung pada Mac 2024, pihak pembelaan cuba membangkitkan isu trauma masa kecil Kaylor dan kegagalan pihak polis bertindak pantas sebagai faktor pengurangan hukuman. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan membuktikan bahawa tindakan Kaylor adalah terancang kerana dia dilihat memantau keadaan sekeliling sebelum melepaskan tembakan dan membawa peluru tambahan. Hakim memutuskan bahawa pembunuhan ahli keluarga lain yang tidak bersalah adalah satu tindakan luar biasa kejam. Majorjon Kaylor  akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol sekali gus memastikan dia menghabiskan sisa hidupnya di sebalik tirai besi atas tindakannya yang melampaui batas undang-undang.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Empat Sekeluarga di Kellog: Amarah Seorang Bapa"