Kisah Pembunuhan Kejam Ustazah Hasanah

      Kes yang mengejutkan penduduk di Banjarbaru, Kalimantan Selatan, Indonesia ni bermula dengan kehilangan seorang wanita muda yang penuh dedikasi iaituHasanah yang berusia 25 tahun. Dia merupakan seorang pengajar (ustazah) di Pondok Pesantren Mura’tul Lugah Martapura yang mengkhusus dalam bidang ilmu nahu (tatabahasa Arab). Di sebalik kesibukan mengajar, Hasanah juga gigih mencari rezeki tambahan dengan bekerja sebagai kakitangan di sebuah kedai aksesori. Keperibadiannya yang ceria dan ramah menjadikannya seorang yang sangat disenangi oleh para pelajar dan rakan sekerja.


      Kejadian bermula pada petang Selasa, 28 April 2026. Ketika sedang bertugas di kedai, Hasanah sempat menghantar pesanan ringkas melalui WhatsApp kepada ibu angkatnya, Mudia meminta agar dibawakan air minuman kerana terlalu haus. Meskipun permintaan itu nampak biasa, Mudia berasa ada sesuatu yang tidak kena dengan nada pesanan tersebut. Apabila mereka bertemu sebentar pada petang itu untuk menghantar minuman, Hasanah dilihat lebih banyak berdiam diri dan hanya melemparkan senyuman tawar apabila dipuji kecantikannya. Itu merupakan kali terakhir Mudia melihat senyuman anak angkatnya yang dijaga sejak kecil itu.

      Kebimbangan keluarga memuncak apabila Hasanah dilaporkan tidak pulang ke rumah pada malam tersebut dan tidak hadir mengajar pada keesokan harinya. Mudia yang didorong oleh gerak hati atau ikatan batin yang kuat sebagai seorang ibu nekad melakukan pencarian sendiri bersama suaminya di sepanjang laluan yang sering dilalui Hasanah. Dalam pencarian tersebut, mereka sempat singgah di sebuah pondok di kawasan Sungai Ulin dan bertemu dengan dua orang lelaki. Walaupun kedua-dua lelaki itu kelihatan tenang dan membenarkan Mudia memeriksa pondok mereka, naluri Mudia tetap kuat mengatakan bahawa Hasanah berada di kawasan berhampiran.

      Kira-kira satu jam selepas melakukan pencarian di sekitar kawasan semak berhampiran pondok tersebut, keyakinan Mudia terbukti benar. Mayat Hasanah ditemui dalam keadaan yang amat menyayat hati di sebalik semak-semak yang tebal. Mulutnya disumbat dengan stoking miliknya sendiri dan kepalanya ditutup dengan tudung yang dipakainya. Hasil bedah siasat kemudiannya mengesahkan bahawa mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan berpunca daripada hentaman benda tumpul yang menyebabkan pendarahan dalaman yang serius serta patah tulang rahang.


      Pihak polis bertindak pantas dan berjaya memberkas dua suspek, Ahmad Sodiqin dan Muhammad Firman Irazat yang sebenarnya merupakan dua lelaki yang ditemui Mudia di pondok semasa pencarian dilakukan. Siasatan mendedahkan bahawa kedua-dua suspek telah merancang jenayah tersebut selama beberapa hari selepas terdesak memerlukan wang. Mereka mengintai rutin harian Hasanah yang sering melalui jalan sunyi tersebut. Pada petang kejadian, mereka menyerang Hasanah menggunakan kayu hingga mangsa terjatuh dari motosikalnya. Walaupun mangsa cuba melawan, suspek bertindak lebih zalim dengan memukulnya berkali-kali sehingga tidak bernyawa.


     Ironinya, jenayah kejam yang meragut nyawa seorang pendidik ini hanya membuahkan hasil yang sangat sedikit. Di dalam beg Hasanah, suspek hanya menemui wang tunai berjumlah 7000 Rupiah (kira-kira RM1.60) dan sebuah telefon bimbit. Ini kerana mangsa lebih gemar melakukan transaksi tanpa tunai (QR) dalam urusan seharian. Motosikal mangsa pula ditinggalkan di dalam semak kerana suspek bimbang akan dikesan jika menjualnya terlalu awal. Kedua-dua suspek kini berhadapan dengan pertuduhan pembunuhan berencana mengikut Kanun Keseksaan Indonesia yang membawa kepada hukuman maksimum yakni hukuman mati.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Ustazah Hasanah"