Kisah Pembunuhan Kejam Uttam Bahadur

    Kes yang menyayat hati ini bermula pada awal pagi 5 Oktober 2025 di sebuah hotel bajet di Bandar Funabashi, Wilayah Chiba, Jepun. Pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita tempatan bernama Asaka Mami, 32 tahun yang mendakwa bahawa teman lelakinya telah mencederakan diri sendiri. Namun apabila pasukan perubatan dan pihak berkuasa tiba di lokasi, mereka menemui satu pemandangan yang mengerikan. Uttam Bahadur, seorang pelajar warga Nepal berusia 21 tahun didapati terbaring kaku dalam lumuran darah dengan kesan tikaman yang amat dahsyat.

    Uttam bukanlah seorang pemuda yang mempunyai kecenderungan untuk mencederakan diri. Dia datang ke Jepun bersama abangnya pada tahun 2024 dengan impian besar untuk membina masa depan di negara matahari terbit itu. Sebagai peminat tegar anime seperti One Piece dan Demon Slayer, Uttam berusaha gigih mengimbangi masa antara pengajian di sekolah bahasa dan kerja sambilan di restoran serta syarikat pengangkutan. Hubungannya dengan Asaka Mami bermula di tempat kerja. Walaupun terdapat perbezaan usia 11 tahun serta jurang budaya, mereka mula menjalin hubungan cinta yang sering kali dihabiskan di hotel kerana kekangan privasi dan tentangan keluarga.


     Siasatan pihak polis mula menemui keraguan terhadap naratif bunuh diri yang diberikan oleh Mami. Terdapat beberapa bukti fizikal yang sangat mencurigakan di tempat kejadian. Pertama, laporan bedah siasat mendedahkan terdapat 11 kesan tikaman pada tubuh Uttam termasuk satu tikaman sedalam 16 sentimeter yang menembusi jantungnya. Lebih meragukan, terdapat luka pada tangan mangsa yang diklasifikasikan sebagai luka pertahanan (defense wounds) sekali gus menunjukkan bahawa mangsa kemungkinan besar cuba melawan atau menangkis serangan senjata tajam sebelum rebah.

     Selain bukti fizikal, perancangan awal Mami juga menjadi tumpuan. Dua hari sebelum kejadian, Mami dikesan mencuri dua bilah pisau dapur dari sebuah kedai serbaneka 100-Yen. Apabila disoal siasat, dia memberikan alasan yang dingin dengan mengatakan bahawa memandangkan mereka akan mati, maka tidak perlu membeli pisau itu. Pihak polis juga mempersoalkan jurang masa yang lama antara waktu kematian mangsa (awal pagi) dengan waktu panggilan kecemasan dibuat (sekitar jam 8:05 pagi) yang memberi gambaran bahawa terdapat sesuatu yang berlaku di dalam bilik tertutup itu sebelum pihak luar dimaklumkan.

     Di mahkamah, walaupun pada asalnya disiasat sebagai kes pembunuhan, pihak pendakwaan akhirnya mengurangkan pertuduhan kepada membantu dan menghasut tindakan mencederakan diri. Mami mendakwa bahawa mereka berdua telah berjanji untuk mati bersama kerana tekanan hubungan yang tidak direstui. Walau bagaimanapun, hanya Uttam yang meneruskan tindakan tersebut manakala Mami sendiri jadi tergamam. Pada 10 Mac 2026, Mahkamah Daerah Chiba menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dengan tempoh percubaan selama lima tahun terhadap Asaka Mami.

     Keputusan ini mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati terutamanya daripada keluarga Uttam di Nepal. Abang mangsa menegaskan bahawa Uttam baru sahaja menyambut perayaan Dashain (perayaan penting di Nepal) dan telah berjanji untuk pulang ke rumah pada malam kejadian selepas bertemu Mami untuk kali terakhir bagi memutuskan hubungan. Bagi keluarga mangsa, hukuman yang dijatuhkan dianggap terlalu ringan dan tidak adil berbanding nyawa seorang anak muda yang mempunyai masa depan cerah.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Uttam Bahadur"