Kisah Obsesi Seorang Ibu yang Berakhir dengan Kematian

     Kisah yang berlaku di Wilayah Shiga, Jepun ini bermula apabila penemuan ngeri bahagian tubuh manusia tanpa kepala dan anggota tangan ditemui oleh orang awam di tebing Sungai Yodogawa pada Mac 2018. Siasatan lanjut kemudiannya membongkar satu rantaian penderitaan seorang anak perempuan berusia 31 tahun iaitu Kiryu Nozomi yang hidupnya dirampas oleh obsesi seorang ibu.

      ​Punca utama kejadian ini berakar umbi daripada cita-cita peribadi ibunya, Kiryu Shinobu yang mahukan Nozomi menjadi seorang doktor. Sejak kecil, kehidupan Nozomi bukanlah miliknya sendiri. Setiap saat waktunya diatur dengan jadual belajar yang sangat ketat. Tekanan ini memuncak apabila Nozomi gagal dalam peperiksaan kemasukan fakulti perubatan buat kali pertama pada tahun 2005. Enggan menanggung malu di mata masyarakat dan keluarga, Shinobu memaksa Nozomi berbohong kepada dunia luar bahawa dia telah berjaya sedangkan realitinya Nozomi terperangkap sebagai pelajar ronin (pelajar yang mengulang peperiksaan) selama sembilan tahun berturut-turut di bawah pengawasan ibunya yang zalim.

     ​Sepanjang tempoh hampir sedekad itu, Nozomi hidup dalam keadaan yang lebih buruk daripada seorang banduan. Ibunya bukan sahaja mengawal aktiviti akademiknya bahkan juga merampas privasi paling asas. Nozomi dilarang memiliki telefon bimbit secara bebas, pergerakannya dijejak melalui GPS dan dia dipaksa mandi bersama ibunya setiap hari untuk mengelakkan sebarang peluang untuk dia melarikan diri atau membuang masa. Penderaan lisan menjadi rutin harian di mana Nozomi sering digelar bodoh dan sampah jika gagal mencapai sasaran ujian. Nozomi pernah cuba melarikan diri sebanyak tiga kali. Namun setiap kali itu dia berjaya dijejaki dan dibawa pulang, menyebabkan hukuman yang diterimanya menjadi semakin berat dan kejam.

     Keadaan nampak sedikit reda apabila pada tahun 2014, ibunya akhirnya bersetuju membenarkan Nozomi menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan selepas sembilan tahun gagal dalam perubatan. Walau bagaimanapun, kebebasan ini hanyalah satu khayalan. Shinobu menetapkan syarat baru iaitu Nozomi wajib lulus peperiksaan untuk menjadi bidan bertauliah sedangkan Nozomi lebih meminati bidang kejururawatan pembedahan. Apabila keputusan peperiksaan keluar pada awal 2018 dan menunjukkan Nozomi gagal dalam kursus kebidanan, Shinobu kembali hilang pertimbangan. Dia menghamburkan makian yang dahsyat dan memaksa Nozomi berjanji untuk melepaskan tawaran kerja sebagai jururawat demi mengulang peperiksaan kebidanan buat kali kesekian kalinya.

​      Pada malam 19 Januari 2018 yakni setelah berjam-jam dipaksa memicit badan ibunya sambil dihujani dengan kata-kata hinaan, Nozomi mencapai tahap nekad. Menggunakan pengetahuan anatomi manusia yang dipelajari dalam kursus kejururawatan, Nozomi menunggu sehingga ibunya tidur sebelum mengelar leher mangsa dengan pisau dapur yang tajam. Tindakan itu dilakukan dengan presisi bagi memastikan ibunya mati dengan cepat tanpa sempat menjerit. Selepas kejadian, Nozomi melakukan proses keratan badan di dalam bilik mandi untuk memudahkan pelupusan mayat. Di tengah-tengah kekacauan berdarah itu, dia sempat memuat naik hantaran di Twitter yang berbunyi: "Saya sudah menewaskan raksasa itu. Akhirnya saya boleh berasa tenang."

     Di mahkamah, Nozomi tidak pernah memohon maaf atas perbuatannya. Dia sebaliknya menyifatkan hidup di dalam penjara jauh lebih bebas dan damai berbanding tinggal bersama ibunya. Hakim Mahkamah Tinggi Osaka akhirnya menunjukkan timbang rasa dengan mengurangkan hukuman penjara kepada 10 tahun. Mahkamah mengakui bahawa walaupun pembunuhan adalah satu jenayah besar, Nozomi merupakan mangsa kepada sistem keibubapaan yang toksik dan pemusnahan personaliti yang sistematik yang akhirnya mendorongnya melakukan tindakan nekad tersebut demi kelangsungan jiwanya sendiri.

Catat Ulasan for "Kisah Obsesi Seorang Ibu yang Berakhir dengan Kematian "