Kisah Pembunuhan Kejam Bayi Xiao Li

     Pada 21 Julai 2024, satu kejadian pembunuhan kejam telah berlaku di sebuah kawasan luar bandar di Baise, Wilayah Guangxi, China. Bayi lelaki yang baru berusia tujuh bulan yang dikenali dengan nama timbangan Xiao Li telah maut di tangan dua orang jiran kanak-kanak perempuannya yang masing-masing baru berusia 9 dan 11 tahun.

​     Keluarga mangsa bukanlah keluarga yang senang. Bapanya iaitu Encik Li merupakan seorang pekerja asing di Guangdong demi menyara keluarganmanakala ibunya adalah seorang Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran serta pertuturan (bisu dan tuli). Pada petang kejadian, dua kanak-kanak perempuan tersebut, Xiao Pan (9 tahun) dan Xiao Zeng (11 tahun) telah berkunjung ke rumah mereka. Disebabkan mereka adalah jiran yang sering datang bermain, si ibu tanpa ragu-ragu membenarkan mereka membawa Xiao Li keluar sebentar untuk diajak bermain di luar rumah.

     Walau bagaimanapun, suasana riang itu bertukar menjadi ngeri apabila kedua-dua kanak-kanak tersebut mula berasa rimas dengan tangisan bayi itu. Menurut laporan siasatan, mereka telah bertindak kejam dengan meletakkan Xiao Li di atas lantai simen yang sangat panas akibat cuaca terik. Tidak cukup dengan itu, mereka mula menampar dan mencubit mangsa. Setelah menghantar mangsa pulang buat seketika, mereka kembali mengambil bayi tersebut untuk pusingan kedua penderaan yang lebih dahsyat. Kali ini, mereka membawa mangsa ke kawasan terlindung daripada kamera litar tertutup (CCTV) di mana mereka bertindak memijak dada dan perut bayi tersebut serta menjatuhkannya ke tanah berulang kali hingga mangsa tidak lagi mampu menangis atau bernafas secara normal.

​     Apabila Xiao Li dipulangkan buat kali terakhir, ibunya mendapati wajah anaknya sudah bertukar pucat dan bibirnya membiru. Meskipun usaha menyelamat segera dilakukan oleh jiran-jiran dengan membawa mangsa ke hospital, bayi tersebut disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman yang amat parah. Laporan bedah siasat mendedahkan fakta yang mengerikan. Xiao Li mengalami pendarahan otak, pendarahan paru-paru dan yang paling kritikal adalah kegagalan jantung akibat tekanan luar yang kuat.


     ​Bapa mangsa kemudian cuba menuntut keadilan. Di bawah undang-undang jenayah negara tersebut pada waktu itu, kanak-kanak di bawah usia 12 tahun tidak boleh dikenakan pertuduhan jenayah atau dipenjarakan. Ini bermakna Xiao Pan dan Xiao Zeng tidak menerima sebarang hukuman penjara. Malah mereka dilaporkan kembali ke sekolah seperti biasa tidak lama kemudian. Encik Li meluahkan rasa kecewa yang amat sangat apabila melihat pelaku yang membunuh anaknya masih boleh menikmati kehidupan seharian sementara isterinya kini menderita kemurungan kronik dan keluarganya hancur musnah.

​     Sebagai jalan terakhir, keluarga mangsa memfailkan saman sivil terhadap penjaga kedua-dua kanak-kanak tersebut. Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa kedua-dua keluarga pelaku perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan membayar pampasan sebanyak lebih kurang 900 000 Yuan (sekitar RM580,000). Malangnya, keadilan dari sudut kewangan juga sukar dicapai. Kedua-dua keluarga pelaku dilaporkan hidup dalam kemiskinan dan hanya mampu membayar sekitar 100 000 Yuan sahaja sebagai kos pengebumian. Hingga kini, bapa mangsa masih bergelut untuk mendapatkan saki-baki pampasan tersebut bagi membiayai perubatan mental isterinya.


Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Bayi Xiao Li"