Misteri "Kematian Tembikai" di Mumbai yang Masih Belum Terungkai

     Hampir tiga minggu selepas sepasang suami isteri bersama dua anak mereka ditemui mati di kediaman mereka, pihak penyiasat mendedahkan kepada BBC bahawa mereka masih buntu untuk merungkai punca sebenar kejadian tersebut. Keluarga Dokadia yang terdiri daripada Abdullah, isterinya Nasreen serta dua anak perempuan mereka, Ayesha dan Zainab ditemui tidak bernyawa pada 25 April lalu di kediaman mereka yang terletak di kawasan Pydhonie, Mumbai.

     Apabila berita tragis ini mula tersebar, media India segera menggelar kes ini sebagai kematian tembikai. Gelaran tersebut diberikan berikutan tembikai merupakan makanan terakhir yang dijamah oleh keluarga berkenaan sebelum mereka meninggal dunia. Kejadian ini mendapat liputan meluas tanpa henti daripada pihak media tempatan dengan pelbagai tajuk utama akhbar menasihati orang ramai agar berwaspada apabila memakan buah tersebut yang merupakan antara buah-buahan musim panas paling popular di India.

     ​Beberapa laporan awal mendakwa bahawa buah tembikai tersebut sama ada telah dicemari atau diracun dan mendakwa mangsa sekeluarga meninggal dunia akibat memakannya pada lewat malam. Impak daripada laporan berkenaan telah mengakibatkan permintaan terhadap tembikai merosot tajam sekali gus menyebabkan harga buah tersebut jatuh menjunam di pasar-pasar buah sekitar Mumbai. Pada masa yang sama, timbul pelbagai spekulasi sama ada kematian tersebut merupakan satu kemalangan atau dilakukan dengan sengaja.

     Minggu lalu, pihak polis Mumbai mengesahkan bahawa ujian forensik menunjukkan mangsa sekeluarga maut akibat racun zinc phosphide iaitu sebatian kimia yang amat toksik dan biasanya digunakan sebagai racun tikus. Menurut pihak berkuasa, sisa bahan kimia tersebut ditemui di dalam organ-organ mangsa serta pada baki buah tembikai yang diperiksa. Namun di sebalik penemuan mengejutkan ini, kes berkenaan masih jauh daripada jalan penyelesaian dan meninggalkan banyak persoalan yang belum terjawab.

     ​Sumber daripada pihak polis Mumbai memberitahu BBC pada hari Rabu bahawa mereka masih belum mendapat gambaran jelas mengenai motif kejadian mahupun bagaimana racun tersebut boleh meresap masuk ke dalam buah tembikai berkenaan.

     ​"Kami masih dalam proses mengumpul bahan bukti dan menyiasat motif kejadian dari semua sudut. Pihak kami tidak menolak sebarang kemungkinan sama ada kes pembunuhan, kematian mengejut akibat kemalangan ataupun bunuh diri," kata seorang pegawai kanan polis.

     ​Keluarga Dokadia menetap di tingkat satu sebuah bangunan lama di selatan Mumbai. Berdasarkan kenyataan awal pihak polis selepas kejadian itu di mana pada malam kejadian, keluarga tersebut telah mengadakan majlis makan malam bersama beberapa orang saudara-mara mereka dengan menghidangkan nasi beriani. Tetamu mereka pulang pada jam 10:30 malam. Beberapa jam kemudian, keluarga Dokadia memakan buah tembikai sebelum masing-masing mula jatuh sakit tidak lama selepas itu.

     ​Timbalan Komisioner Polis, Pravin Mundhe memaklumkan kepada media bahawa kesemua mangsa mula mengalami gejala muntah-muntah dan cirit-birit. Mereka segera dikejarkan ke hospital berhampiran sebelum dipindahkan ke Hospital JJ. Walau bgaimanapun, malang tidak berbau apabila kesemua empat ahli keluarga tersebut disahkan meninggal dunia. Sebaik sahaja menyedari keadaan cemas yang menimpa keluarga itu, jiran-jiran termasuk Dr. Zaid Qureshi yang tinggal di tingkat empat bangunan sama bergegas memberikan bantuan.

      ​Dr. Qureshi menceritakan bahawa dia mendapati anak bongsu keluarga tersebut mengalami kesukaran untuk bernafas lalu bertindak memberikan bantuan pernafasan (CPR). Namun memandangkan keadaannya tidak menunjukkan sebarang perubahan, mangsa terus dibawa ke hospital berdekatan sebelum disahkan meninggal dunia. Tiga mangsa yang lain pula dipindahkan dari hospital tempatan ke Hospital JJ tetapi mereka juga gagal diselamatkan. Hingga kini, laporan bedah siasat penuh bagi mangsa masih belum dikeluarkan.

     ​Pihak polis telah merampas kesemua sampel makanan di rumah tersebut termasuk kulit tembikai untuk diperiksa sekiranya terdapat unsur pencemaran. Memandangkan tembikai adalah makanan terakhir yang diambil oleh mangsa, tumpuan siasatan pada awalnya terarah sepenuhnya kepada buah berkenaan. Laporan daripada Makmal Sains Forensik (FSL) di Mumbai pada minggu lalu  bagaimanapun telah mengalihkan fokus siasatan daripada buah tembikai kepada sebatian zinc phosphide.

     Pengarah FSL, Dr. Vijay Thakare mengesahkan kepada bahawa bahan kimia berkenaan dikesan dalam sampel visera si mati khususnya pada hati, buah pinggang, limpa serta dalam sampel kandungan perut, hempedu dan lemak perut. Apa yang mengejutkan, zinc phosphide juga turut dikesan dalam sampel tembikai tersebut. Pravin Mundhe yang mengetuai siasatan kes ini mengesahkan bahan kimia itu hanya ditemui pada sampel tembikai yang diambil di tempat kejadian dan tidak terdapat pada sampel makanan lain.

     ​Menurut laporan akhbar Indian Express, bangunan kediaman yang dihuni oleh keluarga Dokadia sememangnya menghadapi masalah gangguan haiwan perosak yang serius. Laporan itu menyatakan bahawa kebanyakan penduduk di situ menggunakan bahan penghalau, umpan racun dan pelekat perangkap untuk menghapuskan tikus. Dr. Bhushan Rokade, seorang pakar perubatan yang berpangkalan di Mumbai menjelaskan bahawa sesetengah racun tikus mengandungi zinc phosphide yang merupakan sebatian kimia yang sangat toksik.

     Menurut Dr. Rokade, sekiranya bahan kimia ini tertelan atau terkena kelembapan, ia akan menghasilkan gas phosphine yang menghalang sel-sel badan daripada menggunakan oksigen sekali gus memberi kesan buruk yang teruk kepada pelbagai organ utama. Gejala yang terhasil adalah seperti muntah-muntah, rasa ketat di dada, sesak nafas dan mengalami kejutan. Malah dalam kuantiti yang amat sedikit sekalipun, bahan ini boleh membawa maut.

     ​Setakat hari Rabu, pihak polis mengakui mereka masih buntu memikirkan bagaimana racun tikus tersebut boleh berada di dalam buah berkenaan. Pihak berkuasa telah menyoal siasat antara 40 hingga 50 orang individu termasuk saudara-mara, rakan-rakan, jiran tetangga serta rakan sekerja Abdullah Dokadia. Beberapa pasukan khas telah ditubuhkan dan sedang bekerja keras untuk menyelesaikan kes misteri ini. Pihak polis menegaskan bahawa mereka akan meneruskan siasatan dengan agresif sehingga segala persoalan terjawab.

Catat Ulasan for "Misteri "Kematian Tembikai" di Mumbai yang Masih Belum Terungkai"