Kisah Pembunuhan Kejam Baladiva Nisrina Maheswari

     Kisah kali ini bermula daripada sepasang kekasih muda iaitu Baladiva dan Gunawan yang telah menjalinkan hubungan percintaan sejak zaman sekolah pada tahun 2020. Selepas tamat persekolahan, mereka berdua bekerja di sebuah syarikat penternakan unggas yang sama. Pada awal hubungan, Gunawan dikenali oleh keluarga Diva sebagai seorang pemuda yang sangat sopan dan berbudi bahasa. Malangnya, imej baik itu hanyalah lakonan semata-mata. Di sebalik perwatakan yang tenang di hadapan orang tua mangsa, Gunawan sebenarnya seorang yang sangat cemburu, obsesif dan panas baran. Sepanjang tempoh percintaan, Diva sering menjadi mangsa kekerasan fizikal termasuk dicekik, dipukul dan dihantukkan kepala ke dinding.

    Penderitaan yang disembunyikan sekian lama oleh Diva akhirnya mencapai titik noktah pada Julai 2024. Selepas sekali lagi dikasari dengan kejam, Diva tekad untuk memutuskan hubungan lalu melarikan diri ke rumah rakan sekerjanya, Rina. Kegagalan Gunawan untuk menerima hakikat bahawa dirinya telah ditinggalkan mencetuskan kemarahan yang luar biasa. Dia mula mengganggu rakan-rakan dan keluarga Diva dengan pelbagai ugutan. Antaranya termasuklah menuntut ganti rugi perbelanjaan sepanjang empat tahun bercinta sebanyak Rp 10 juta (sekitar RM3000) serta menyebarkan fitnah kononnya Diva telah hamil dan melarikan diri kerana enggan berkahwin. Akibat gangguan yang tidak pernah berhenti ini, ego Gunawan semakin tercalar apabila Diva menyekat nombor telefonnya hingga menyebabkan timbulnya dendam kesumat untuk merancang satu pembunuhan.

     Detik hitam yang menyayat hati akhirnya berlaku pada pagi Isnin, 29 Julai 2024. Gunawan yang mengetahui Diva sedang bersendirian di rumah kerana ibu bapanya keluar bekerja telah menunggang motosikal dengan membawa sebilah pisau yang disembunyikan di dalam beg. Pada waktu yang sama, Diva sebenarnya sedang membuat panggilan video bersama seorang lagi rakan sekerjanya, Ahmad. Tiba-tiba kedengaran ketukan bertalu-talu di pintu rumah yang disertai dengan suara wanita yang dibuat-buat oleh Gunawan bagi mengumpan mangsa. Tanpa mengesyaki apa-apa, Diva membuka pintu sebelum dia terkejut melihat susuk tubuh Gunawan yang terus meluru masuk ke dalam rumah untuk mendesak mereka kembali bersama.

     Apabila rayuannya ditolak mentah-mentah, Gunawan menjadi gelap mata. Dia mengambil pisau dari dalam beg dan menikam tubuh Diva dengan tikaman yang kejam. Rakan mangsa, Ahmad yang masih berada di talian panggilan video sempat mendengar jeritan histeria Diva meminta pertolongan sebelum telefon bimbit tersebut terhempas ke lantai. Walaupun cedera parah, Diva gagah melarikan diri ke pekarangan luar sebelum rebah berlumuran darah di atas tanah. Apabila disergah oleh nenek mangsa yang tinggal berhampiran, Gunawan dengan selamba menjawab bahawa dia membunuh Diva kerana tidak terima hubungan mereka diputuskan. Diva segera dikejarkan ke hospital oleh penduduk kampung. Dia bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir pada keesokan harinya akibat kecederaan organ dalaman yang terlampau parah.

     Selepas ditangkap oleh pihak polis, Gunawan cuba memanipulasi sistem keadilan dengan berpura-pura gila. Dia mendakwa kononnya tindakan itu dilakukan atas arahan bisikan suara ghaib di dalam kepalanya. Malah pemeriksaan awal di sebuah hospital jiwa menyokong dakwaan itu sehingga kes ini tertangguh selama beberapa bulan. Walau bagaimanapun, keluarga mangsa tidak berputus asa dan mendesak keadilan dilakukan kerana tahu pelaku adalah seorang yang waras. Selepas 10 bulan, pemeriksaan mental kali kedua dilakukan di Hospital Surojo, Magelang. Di sana, pakar psikiatri mengesahkan bahawa Gunawan sebenarnya normal dan hanya berpura-pura menghidap gangguan jiwa atas nasihat rakan sel penjara semata-mata demi melepaskan diri daripada hukuman mati.


     Apabila segala penipuannya terbongkar di mahkamah, Gunawan akhirnya mengaku bersalah dan menyatakan rasa kesal tetapi permohonan maafnya ditolak sepenuhnya oleh keluarga mangsa. Pada perbicaraan terakhir yang berlangsung pada Januari 2026, pihak hakim memutuskan bahawa Gunawan secara sah terbukti melakukan pembunuhan berencana yang sangat sadis, melibatkan lima tikaman di perut, dua di dada serta kesan kelaran pada nadi mangsa. Atas kekejaman tersebut dan tindakannya menipu mahkamah dengan berpura-pura gila, Gunawan dijatuhkan hukuman mati dengan masa percubaan selama 10 tahun di mana permohonan rayuan seterusnya oleh pelaku juga telah ditolak secara rasmi.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Baladiva Nisrina Maheswari"