Kisah Pembunuhan Kejam Sibora Gagani

     Sibora Gagani dilahirkan pada 14 September 1991 di Tirana, Albania. Dia membesar sebagai seorang gadis yang periang, disenangi ramai dan mempunyai impian besar untuk bergelar seorang guru atau model. Selepas penceraian ibu bapanya, dia mengikut ibunya, Elizabeta Shahini, berhijrah ke Netuno, Itali demi membina kehidupan yang lebih baik. Kehidupan Sibora mula berubah sepenuhnya apabila dia bertemu dengan seorang lelaki bernama Marco Callo Romeo. Pada usia seawal 18 tahun, Sibora jatuh cinta dan mereka mula tinggal bersama sebelum mengambil keputusan untuk berpindah ke Torremolinos di wilayah Malaga, Sepanyol pada tahun 2011 bagi mencari peluang pekerjaan.

     Kehidupan di Sepanyol yang disangka akan membawa bahagia rupa-rupanya bertukar menjadi mimpi ngeri buat Sibora. Marco mula menunjukkan sifat asalnya yang sangat cemburu, mengawal dan panas baran. Pertengkaran demi pertengkaran kerap berlaku atas alasan yang tidak munasabah hingga menimbulkan kebimbangan yang amat sangat kepada ibunya, Elizabeta semasa wanita itu datang melawat mereka. Walaupun Sibora pernah cuba melarikan diri kembali ke Itali pada penghujung tahun 2013 dan berniat untuk memutuskan hubungan. Walau bagaimanapun, Marco mengekorinya dan menabur janji manis serta melamarnya untuk berkahwin. Terperangkap dalam kitaran manipulasi psikologi, Sibora akur dan kembali ke Sepanyol. Hinggalah pada Jun 2014, dia mengumpul kekuatan untuk berpindah keluar ke sebuah apartmen lain dan mengisytiharkan dirinya bebas.

      Malangnya, kebebasan itu hanya bertahan seketika. Pada awal Julai 2014, Sibora tiba-tiba hilang tanpa sebarang berita selepas berbalas mesej terakhir dengan Marco pada 7 Julai. Marco bertindak licik dengan menghubungi Elizabeta terlebih dahulu dan memberikan pelbagai cerita yang meragukan yakni bermula daripada dakwaan mereka bertengkar sehingga Sibora keluar meninggalkan barang-barangnya hinggalah menukar cerita kononnya pengawal bangunan melihat Sibora membawa beg pakaian. Marco malah pergi ke Itali untuk berpura-pura bersedih bersama keluarga mangsa dan mendakwa kononnya Sibora telah melarikan diri ke Argentina. Disebabkan Marco enggan membuat laporan polis, Elizabeta sendiri yang tampil membuat laporan kehilangan anaknya di Sepanyol dengan menyatakan syak wasangka yang mendalam terhadap lelaki tersebut. Siasatan pihak polis bagaimanapun menemui jalan buntu selama bertahun-tahun.


     Sembilan tahun berlalu, Marco meneruskan kehidupannya di Torremolinos seolah-olah tiada apa yang berlaku. Hinggalah pada Mei 2023, sifat ganasnya meragut satu lagi nyawa. Marco yang ketika itu menjalin hubungan dengan seorang ibu kepada tiga anak bernama Paula telah bertindak kejam menikam wanita tersebut berkali-kali hingga mati di apartmen mereka selepas mangsa cuba meminta pertolongan daripada jiran. Marco melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh pihak polis beberapa jam kemudian semasa sedang minum bir di sebuah kedai berhampiran. Kes kematian Paula ini telah menarik semula perhatian Elizabeta di Itali yang merayu pihak berkuasa agar menekan Marco untuk mengetahui nasib anaknya, Sibora.

     Ternyata keadilan mempunyai jalannya yang tersendiri. Semasa berada di dalam balai polis untuk siasatan kes pembunuhan Paula, Marco secara tidak sengaja terpandang poster pencarian wajah Sibora Gagani yang dipaparkan pada papan kenyataan. Dihantui rasa bersalah dan menyedari dirinya tidak lagi boleh mengelak, Marco secara tiba-tiba mengaku kepada pegawai polis bahawa dia telah membunuh Sibora sembilan tahun yang lalu dalam satu pertengkaran hebat. Dia menyembunyikan mayat Sibora di dalam dinding rumah sewa lama mereka yang terletak di Jalan Garcia de la Cerna.

      Berdasarkan pengakuan mengejut tersebut, pihak Polis Nasional Sepanyol segera menyerbu apartmen lama berkenaan yang kini telah pun dihuni oleh penyewa lain. Menggunakan peralatan canggih seperti microkamera, pengesan ketumpatan dan membandingkan pelan struktur bangunan dengan unit apartmen yang seiras, pihak polis mengesan satu ruang kosong yang mencurigakan di sebalik dinding salah satu bilik tidur. Selepas merobohkan dinding palsu tersebut, mereka menemui sebuah kotak kayu besar yang ditutupi kapur bagi menghilangkan bau busuk. Di dalamnya, pihak berkuasa menemui beg tidur yang mengandungi sisa mayat Sibora dalam keadaan saponifikasi (pembentukan adipocere/lilin mayat) bersama sebilah pisau yang masih mempunyai kesan darah kering serta barangan peribadi milik mangsa. Ujian DNA yang dijalankan kemudiannya mengesahkan identiti mayat itu secara rasmi sebagai Sibora Gagani.

     Kes pembunuhan kejam ini akhirnya di bawa ke muka pengadilan sebagai dua kes jenayah yang berasingan. Bagi kes pembunuhan Paula pada tahun 2023, mahkamah Sepanyol telah menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun terhadap Marco Callo Romeo atas kesalahan pembunuhan dalam konteks keganasan rumah tangga. Sementara itu, bagi kes pembunuhan Sibora Gagani, Marco pada mulanya cuba membuat helah kononnya mangsa dibunuh oleh mafia Albania di mana diia hanya membantu menyembunyikan mayat. Namun pada akhirnya, Marco mengaku bersalah sepenuhnya. Pihak pendakwa raya menuntut hukuman penjara tambahan selama 22 tahun atas tuduhan pembunuhan dengan niat jahat berserta faktor pemberat hubungan kekeluargaan dengan perbicaraan bagi kes kedua ini masih lagi berjalan di mahkamah.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Sibora Gagani"