Kisah Pembunuhan Kejam Kayla Rizki Andini

     Kayla Rizki Andini dilahirkan sebagai anak sulung dalam sebuah keluarga sederhana yang sentiasa mengutamakan pegangan agama, akhlak dan pendidikan. Sikapnya yang rajin dan berdisiplin terbukti melalui pencapaian akademiknya apabila dia sentiasa mendapat tempat pertama di sekolah. Kecemerlangan itu membolehkan Kayla meraih biasiswa penuh bagi melanjutkan pengajian di Universiti Gunadarma, Depok, Indonesia sekali gus meringankan beban kewangan ibu bapanya. Bagi memudahkan urusan pengajian, Kayla menetap bersama datuk dan neneknya di kawasan Sawangan, Depok.

     Memasuki separuh kedua tahun 2023, Kaila yang ketika itu berada di semester enam menginjak usia 20 tahun. Masa dan tenaganya dihabiskan sepenuhnya untuk menyiapkan tugasan akhir, berurusan dengan pensyarah penyelia serta membuat persediaan rapi menghadapi pembentangan tesis akhir. Di luar rutin akademik, Kayla kekal aktif dalam aktiviti pengajian agama dan kemasyarakatan di masjid berdekatan. Kehidupannya sangat terpelihara sehingga pada usia tersebut. Kayla bahkan belum pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki kerana mahu memberi keutamaan penuh kepada cita-citanya.

    Walau bagaimanapun, corak kehidupan Kayla mula berubah pada September 2023 apabila dia menerima mesej perkenalan menerusi aplikasi Line daripada seorang pemuda bernama Argian Arbirama. Pada awal perkenalan, Argian menonjolkan perwatakan mesra dan prihatin. Dia sering mengambil berat tentang rutin harian Kaila, mengingatkan waktu makan serta memberi kata-kata semangat ketika Kayla keletihan menyiapkan tugasannya. Tanpa pengetahuan Kaila, keprihatinan yang ditunjukkan itu hanyalah topeng semata-mata. Hakikatnya, Argian mempunyai latar belakang sosial yang gelap. Lelaki itu pernah berdepan isu undang-undang berhubung tindakan tidak senonoh terhadap wanita lain dan sedang menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita secara serentak.

     Komunikasi berterusan yang berlarutan selama empat bulan akhirnya membawa kepada pertemuan bersemuka pertama mereka pada Disember 2023. Namun selepas pertemuan tersebut, Kayla mula berasa perubahan sikap pada Argian. Percakapan pemuda itu bertukar menjadi terlalu memaksa dan kata-katanya kerap membuatkan Kayla berada dalam keadaan tidak selesa. Disebabkan makan hati, Kayla mengambil tindakan dengan menyekat akaun komunikasi Argian agar dia dapat kembali memberi tumpuan penuh kepada persediaan akhir pengajiannya.

    Sekatan itu bagaimanapun tidak bertahan lama. Pada awal Januari 2024, Argian bertindak agresif mencari pelbagai saluran untuk menghubungi Kayla semula. Selepas merayu dan memohon maaf atas perbuatannya, Kayla akhirnya berlembut hati dan membuka semula sekatan berkenaan. Bagi membuktikan kesungguhannya, Argian mengajak Kayla makan malam di Blok M, Jakarta Selatan lalu menyatakan niatnya untuk menjalin hubungan yang lebih serius. Kayla tidak memberi jawapan terburu-buru sebaliknya menyerahkan keputusan tersebut kepada keluarganya. 

     Pada Rabu, 17 Januari 2024, Argian hadir ke rumah keluarga Kayla di kawasan Mampang, Depok. Kehadirannya dengan pakaian jeans koyak di sesetengah bahagian telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan ahli keluarga yang sedang berkumpul terutamanya ibu Kayla yang merasai firasat tidak sedap hati. Malah apabila diajak oleh datuk Kayla untuk menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid berdekatan, gerak-geri Argian kelihatan kekok dan berbelah bahagi. Selepas solat, Argian meminta izin membawa Kayla keluar makan malam. Walaupun berjanji akan pulang awal, mereka hanya kembali sekitar jam 10.00 malam sekali gus menambah keraguan keluarga terhadap akhlak pemuda tersebut.

     Keesokan harinya, Khamis 18 Januari 2024 merupakan hari penting bagi Kaila apabila dia berjaya menyempurnakan pembentangan tesisnya di kampus dengan keputusan yang cemerlang. Namun kegembiraan itu bertukar menjadi duka. Sebaik sahaja selesai pembentangan, Argian menghubungi Kayla sebelum memperdayanya dengan mendakwa bahawa ibunya berada di rumah sewa mereka di Sukmajaya, Depok dan berhasrat untuk berkenalan dengannya. Percaya akan kata-kata tersebut, Kayla menunggang motosikal seorang diri ke lokasi berkenaan sekitar jam 1.00 tengah hari.

     Setibanya Kayla di rumah sewa tersebut, keadaan persekitaran bertukar sunyi kerana ibu Argian sebenarnya masih keluar bekerja. Menyedari ada sesuatu yang tidak kena, Kaila cuba masuk ke dalam bilik air. Peluang itu digunakan oleh Argian untuk mengunci pintu depan secara diam-diam. Sebaik sahaja Kayla keluar dari bilik air, Argian terus menariknya ke dalam bilik tidur dan cuba melakukan serangan seksual. Kayla cuba melawan dan berteriak meminta pertolongan. Suspek yang panik bertindak mencekik leher dan menghempas Kayla ke katil hingga wanita itu tidak sedarkan diri.

     Dalam keadaan mangsa tidak berdaya, Argian melampiaskan nafsu buasnya. Bagi menghilangkan jejak serta memastikan mangsa tidak melarikan diri sekiranya sedarkan diri, suspek mengikat tangan dan kaki Kayla menggunakan kain sarung serta sarung bantalnlalu menutupi tubuh mangsa dengan selimut. Kecederaan parah pada bahagian leher akibat tekanan fizikal tersebut akhirnya menyebabkan Kayla meninggal dunia di bilik berkenaan. Pada sekitar jam 3.00 petang, pemilik rumah sewa sempat mendengar suara tangisan sebelum melihat Argian keluar tergesa-gesa menaiki motosikal dengan membawa telefon bimbit dan dompet milik mangsa. Sebelum melarikan diri, Argian sempat menghantar mesej WhatsApp kepada ibunya memberitahu bahawa dia mahu pergi jauh dan meninggalkan seorang wanita dalam keadaan terikat di rumah.

     Mesej mengerikan itu hanya dibaca oleh ibu Argian, Vina sekitar jam 5.24 petang selepas tamat waktu bekerja. Terkejut dengan mesej tersebut, Vina bergegas pulang dan mendapati tubuh Kayla sudah tidak sedarkan diri di atas katil. Selepas percubaan berulang kali memberikan bantuan awal gagal, dia segera melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis tempatan. Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian bertindak mengumpul bukti forensik dan membawa mayat mangsa ke Hospital Polis Kramat Jati bagi proses bedah siasat. Pada masa yang sama, keluarga Kayla yang resah kerana mangsa tidak pulang akhirnya mendapat berita duka tersebut daripada pihak polis pada sebelah malam.

     Kecekapan pihak polis membolehkan jejak melarikan diri Argian dikesan dengan pantas. Dalam tempoh kurang daripada 24 jam yakni pada Jumaat 19 Januari 2024, Argian berjaya ditangkap di Terminal Bas Ki Ageng Cempaluk, Pekalongan, Jawa Tengah ketika sedang menunggu bas untuk melarikan diri. Walaupun pada awalnya suspek memberi kenyataan rekaan kononnya bertindak atas dasar cemburu, bukti forensik dan semakan peranti elektronik akhirnya memaksa Argian mengaku bahawa perbuatannya didorong oleh nafsu dan niat jahat yang telah lama dipendam. Siasatan lanjut turut membongkar bahawa lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes gangguan seksual terhadap beberapa wanita lain.

    Kes ini akhirnya dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Negeri Depok. Pada 9 Oktober 2024, panel hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun terhadap Argian Arbirama selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh dan melakukan serangan seksual.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Kayla Rizki Andini"