Kejam! Wanita Hamil Lapan Bulan Dibunuh, Bayi Dalam Kandungan Dilarikan

COLOMBIA — Satu kejadian pembunuhan kejam yang meragut nyawa seorang wanita hamil berusia 21 tahun dan menyaksikan bayinya dikeluarkan secara paksa dari kandungan telah mengejutkan negara tersebut.
Mangsa, Maria Camila Potosi dilaporkan hilang selepas dilihat menaiki sebuah motosikal di Polvorines, sebuah kawasan dalam daerah Cali di bahagian barat daya negara itu pada 16 Julai lalu. Mangsa yang sarat hamil lapan bulan dan menantikan kelahiran anak pertamanya ditemui tidak bernyawa empat batu dari kediamannya. Pihak Polis Metropolitan Cali yang menemui mayat mangsa mendapati mayatnya dibalut dengan beberapa helai selimut dan mempunyai kesan tikaman yang banyak.
Komander Polis Cali, Jeneral Herbert Benavidez mengesahkan bahawa lebih daripada empat individu dipercayai terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan kejam ini. Ekoran kejadian tersebut, Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder mengumumkan ganjaran sebanyak $62 000 (sekitar RM250 000) bagi sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek serta penemuan bayi berkenaan.

Ibu mangsa, Alba Gomez membuat rayuan terbuka menerusi agensi berita RCN Noticias agar penculik mengembalikan cucunya yang dinamakan Alahia. Dia memohon dengan penuh harapan agar pihak yang memegang cucunya tersentuh hati untuk mengembalikannya dengan selamat.
Sebelum kejadian, Potosi berada di rumah keluarga teman lelakinya apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang kemudiannya dikenal pasti menerusi rakaman video sebagai penunggang motosikal berkenaan. Menurut keluarga mangsa, Potosi memaklumkan bahawa dia mahu keluar bersama wanita tersebut untuk mengambil barangan hadiah bayi. Mereka berdua dilaporkan baru sahaja berkenalan di sebuah pusat wanita hamil di Cali.
Kakak mangsa, Juliana Meneses pula memberitahu bahawa Potosi sepatutnya mempunyai temu janji dengan doktor pakar sakit puan pada hari yang sama. Teman lelaki mangsa yang tiba untuk menjemputnya berasa curiga apabila mangsa tiada di rumah sebelum pencarian dimulakan.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki dikenali sebagai Carlos Rincon memuat naik rakaman video di media sosial mengesahkan bahawa dia merupakan bekas kekasih kepada suspek wanita berkenaan. Rincon menjelaskan bahawa suspek pernah memaklumkan kepadanya pada Januari lalu bahawa dia sedang hamil namun tidak pulang ke rumah pada hari Potosà dilaporkan hilang. Dia turut menafikan penglibatan dirinya dan keluarga dalam jenayah tersebut serta menegaskan bahawa mereka juga telah tertipu dengan perbuatan suspek.
Jurucakap pihak polis mengesahkan bahawa siasatan lanjut mengenai kes ini masih dijalankan secara giat dan enggan mengulas lanjut buat masa ini.
Catat Ulasan for "Kejam! Wanita Hamil Lapan Bulan Dibunuh, Bayi Dalam Kandungan Dilarikan"