Kim Soo-hyun Akhirnya Terbukti Difitnah, YouTuber Korea Selatan Ditahan Atas Dakwaan Guna AI


     KOREA SELATAN– Pihak berkuasa Korea Selatan telah menahan seorang YouTuber yang didakwa membuat tuduhan fitnah terhadap pelakon terkenal, Kim Soo-hyun. Tindakan YouTuber tersebut telah mencetuskan skandal besar sehingga menjejaskan kerjaya bintang papan atas (A-lister) berkenaan.

     Pihak polis dan pendakwa raya mendakwa bahawa Kim Se-ui yang mengendalikan saluran YouTube popular Hover Lab telah memanipulasi bahan bukti untuk membuat dakwaan palsu bahawa Kim Soo-hyun pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelakon wanita ketika individu itu masih di bawah umur. Dakwaan tersebut bagaimanapun sentiasa dinafikan keras oleh Kim Soo-hyun.

     Mahkamah Distrik Pusat Seoul telah meluluskan waran tangkap terhadap YouTuber tersebut pada hari Selasa atas kebimbangan bahawa dia berkemungkinan memusnahkan bahan bukti atau melarikan diri.

     Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, agensi pengurusan Kim Soo-hyun menyatakan bahawa kebenaran akhirnya telah terbukti. "Hasil siasatan mengesahkan bahawa kesemua dakwaan dan bukti yang dikemukakan oleh Hover Lab terhadap Kim Soo-hyun adalah tidak berasas," jelas kenyataan itu yang turut menzahirkan penghargaan kepada para peminat yang terus setia menyokong pelakon berkenaan.

     Sebelum keputusan mahkamah diumumkan pada Selasa, YouTuber Kim Se-ui ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menafikan kesemua pertuduhan tersebut. Dia menyifatkan waran tangkap yang dikeluarkan gagal menyusun fakta asas dengan betul dan menyatakan hasrat untuk mengemukakan aduan rasmi terhadap pihak polis serta pendakwa raya yang memohon penahanan dirinya.


     Kontroversi yang melanda Kim Soo-hyun ini mula tercetus pada tahun lalu tidak lama selepas pelakon wanita, Kim Sae-ron membunuh diri pada usia 24 tahun. Beberapa bulan selepas kematiannya, saluran Hover Lab yang mempunyai hampir satu juta pengikut telah memuat naik satu rakaman suara yang mendakwa pelakon wanita itu mengaku bercinta dengan Kim Soo-hyun sejak dia masih di bangku sekolah menengah.

      Walau bagaimanapun, pihak polis mendedahkan bahawa rakaman suara tersebut sebenarnya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Pihak berkuasa turut mendakwa YouTuber berkenaan telah memanipulasi tangkapan skrin mesej teks daripada telefon bimbit mendiang pelakon wanita itu bagi menggambarkan seolah-olah dia sedang berbalas mesej dengan Kim Soo-hyun.

     Hover Lab dikenali sebagai sebuah saluran yang kontroversi di Korea Selatan. Saluran ini kerap memuat naik ulasan berkaitan isu politik dan hiburan selain menjadi platform popular bagi gosip golongan selebriti.

      Dakwaan tersebut telah mengejutkan seluruh Korea Selatan memandangkan Kim Soo-hyun merupakan bintang utama bagi pelbagai drama rantaian popular dan sering menghiasi iklan di negara tersebut. Menurut dokumen permohonan polis yang dilaporkan oleh media tempatan, JoongAng Ilbo, dakwaan liar yang dicetuskan oleh Hover Lab telah melumpuhkan kedudukan sosial serta aktiviti ekonomi Kim Soo-hyun secara menyeluruh sekali gus memusnahkan kelangsungan kerjaya profesionalnya. Pihak polis turut mendedahkan bahawa pelakon itu masih menerima rawatan psikiatri hingga kini.



     Sejak mengadakan sidang media dalam suasana hiba pada Mac 2025, pelakon tersebut tidak lagi membuat sebarang penampilan rasmi di khalayak ramai. Dalam sidang media itu, dia menjelaskan bahawa dirinya memang pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Kim Sae-ron selama setahun namun menegaskan hubungan itu berlaku ketika wanita berkenaan sudah dewasa.

     "Saya tidak boleh mengaku melakukan sesuatu yang tidak pernah saya buat," tegasnya pada ketika itu.

     Pada bulan yang sama, Kim Soo-hyun telah memfailkan aduan jenayah dan saman sivil terhadap YouTuber berkenaan serta keluarga mendiang pelakon wanita tersebut atas tuduhan membuat dakwaan palsu. Kenyataan daripada agensi Kim Soo-hyun pada Rabu turut memetik semula kata-kata pelakon itu sewaktu sidang media setahun yang lalu.

     "Pada sidang media setahun yang lepas, Kim Soo-hyun pernah berjanji, 'Saya tidak meminta anda semua mempercayai saya. Namun saya pasti akan membuktikan kebenaran demi diri saya'. Sepanjang tahun lalu, segala usaha telah ditumpukan sepenuhnya semata-mata untuk mengotakan janji tersebut," jelas agensinya.

Catat Ulasan for "Kim Soo-hyun Akhirnya Terbukti Difitnah, YouTuber Korea Selatan Ditahan Atas Dakwaan Guna AI"