KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RINI MARIANI

Mangsa dalam kisah pembunuhan ini dikenali sebagai Rini Mariani, seorang wanita berusia 50 tahun yang bekerja sebagai juruwang di sebuah cawangan syarikat industri makanan terkemuka di Bandung. Di sebalik statusnya sebagai seorang ibu kepada dua orang anak yang sedang dalam proses penceraian dengan suaminya, Rini rupa-rupanya menjalinkan hubungan cinta rahsia dengan seorang lelaki yang jauh lebih muda. Lelaki tersebut ialah Ahmad Arif Ridwanullah (30-an) yang memegang jawatan sebagai juruaudit kewangan di pejabat pusat syarikat yang sama. Tugas Arif sebagai juruaudit sering membawanya ke cawangan Bandung di mana hubungan sulit mereka mula berputik sejak tahun 2023 tanpa pengetahuan sesiapa termasuk keluarga mereka sendiri.
Kejadian berdarah ini tercetus pada Rabu, 24 April 2024. Pada pagi hari tersebut, Arif telah datang ke pejabat cawangan Bandung untuk melakukan pemeriksaan kewangan berkala. Rini yang ketika itu memegang wang tunai syarikat berjumlah Rp43 juta sepatutnya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank syarikat. Walau bagaimanapun, Arif telah menahan Rini daripada berbuat demikian sebelum mengajaknya keluar ke sebuah hotel di Bandung dengan alasan ada perkara penting yang perlu dibincangkan secara peribadi. Memandangkan mereka mempunyai hubungan istimewa, Rini bersetuju lalu mereka mendaftar masuk ke sebuah bilik hotel sekitar jam 9:51 pagi.

Di dalam bilik hotel berkenaan, perbincangan mereka bertukar menjadi tegang apabila Rini mula menuntut penjelasan tentang masa depan hubungan mereka dan meminta Arif untuk menikahinya. Desakan ini meletakkan Arif dalam keadaan tersepit kerana dia sebenarnya sudah mengikat tali pertunangan dengan seorang wanita lain di Palembang dan sedang menghitung hari untuk melangsungkan majlis resepsi perkahwinan pada 5 Mei 2024. Majlis yang bakal diadakan di sebuah dewan besar itu memerlukan kos yang tinggi dengan Arif masih memerlukan wang sebanyak Rp40 juta untuk melunaskan baki bayaran persiapan perkahwinannya.
Melihat peluang untuk menyelesaikan masalah kewangannya, Arif menawarkan diri untuk menikahi Rini dengan satu syarat yang tidak masuk akal. Rini dikehendaki membantunya menggelapkan wang syarikat sebanyak Rp43 juta yang berada di dalam jagaannya dengan cara memanipulasi laporan kewangan. Sebagai seorang pekerja yang amanah, Rini terkejut dan menolak tawaran tersebut mentah-mentah. Rini yang marah dengan sikap tidak berintegriti Arif terus menghamburkan kata-kata makian dan menggelar lelaki itu sebagai seorang "auditor brengsek". Kata-kata jujur tersebut telah mencabar ego Arif lalu mencetuskan kemarahan luar biasa dalam dirinya.

Tanpa berfikir panjang, Arif bertindak agresif dengan menyerang Rini. Dia menghantukkan kepala wanita separuh usia itu ke dinding bilik hotel beberapa kali sehingga mangsa menjadi lemah dan terjatuh. Tidak cukup dengan itu, Arif bertindak mencekik dan menekup mulut Rini bagi memastikan mangsa tidak menjerit meminta pertolongan hingga Rini akhirnya menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian. Sebaik sahaja menyedari Rini sudah tidak bernyawa, Arif segera mengambil beg mangsa yang mengandungi wang syarikat berjumlah Rp43 juta serta barang-barang berharga milik mangsa.
Bagi menyembunyikan jenayahnya, Arif keluar dari hotel sekitar jam 2:00 petang untuk membeli sebuah bagasi berukuran 24 inci. Usaha pertamanya untuk memasukkan mayat Rini bagaimanapun gagal kerana saiz bagasi tersebut yang terlalu kecil. Arif terpaksa keluar semula pada jam 4:30 petang untuk membeli bagasi yang jauh lebih besar. Dia kemudian memampatkan dan menekuk tubuh mangsa dengan paksa supaya muat ke dalam bagasi tersebut. Selepas menyimpan motosikal Rini di tempat letak kenderaan berhampiran hotel bagi mengurangkan kecurigaan, Arif mendaftar keluar dari hotel pada jam 6:40 petang sambil mengheret bagasi besar itu bersendirian seperti yang dirakam oleh sistem kamera litar tertutup (CCTV) hotel.

Arif kemudian menuju ke rumah adik kandungnya iaitu Aditya di wilayah Bitung, Tangerang menggunakan pengangkutan awam. Dia meminta adiknya untuk menyewa sebuah kereta atas alasan mahu menghantar barang ke Bandung. Aditya yang ketika itu tidak tahu apa-apa mengikut sahaja arahan abangnya. Namun selepas mereka memulakan perjalanan merentasi lebuh raya ke arah Karawang, Arif akhirnya berterus-terang kepada Aditya tentang pembunuhan yang telah dilakukannya dan meminta bantuan untuk membuang bagasi berkenaan. Aditya yang dalam keadaan takut dan tergamam terpaksa menuruti kemahuan abangnya. Mereka keluar dari jalan tol dan mencari kawasan yang sunyi di wilayah Cikarang Barat, Bekasi. Di situlah mereka mencampakkan bagasi berisi mayat Rini ke dalam semak di pinggir Jalan Inspeksi Kalimalang sebelum meneruskan perjalanan ke Bandung.
Pada keesokan harinya, Khamis 25 April 2024, Arif mempamerkan sikap yang sangat licik dengan tetap hadir ke pejabat cawangan Bandung seolah-olah tiada apa yang berlaku. Malah apabila anak dan sepupu Rini datang ke pejabat untuk mencari mangsa yang tidak pulang ke rumah sejak malam tadi, Arif yang berpura-pura tenang cuba mententeramkan mereka. Dia juga cuba mengalih perhatian pihak keluarga dengan menasihati mereka agar tidak membuat laporan polis terlebih dahulu selain sengaja menuduh suami Rini sebagai punca kehilangan wanita tersebut bagi mengelakkan dirinya disyaki.

Cuma sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Pada pagi Khamis yang sama, bagasi misteri itu telah ditemui oleh petugas kebersihan bandar yang pada mulanya menyangka ia hanyalah sampah sarap yang rosak. Selepas pihak polis dipanggil dan bagasi dibuka, identiti mangsa disahkan sebagai Rini Mariani melalui ujian forensik dan pengecaman ahli keluarga. Penemuan ini segera menjadi berita besar di media massa hingga menyebabkan Arif panik lalu melarikan diri ke Palembang, Sumatera Selatan untuk bersembunyi di rumah keluarga bakal isterinya.
Pihak polis yang menjalankan siasatan terperinci bertindak memeriksa semua rakaman CCTV di sekitar pejabat dan laluan terakhir mangsa. Bukti digital daripada CCTV hotel di Bandung menjadi kunci utama yang meruntuhkan segala helah Arif apabila dia jelas kelihatan masuk ke bilik hotel bersama Rini tetapi keluar seorang diri membawa bagasi besar. Hasil risikan mendapati Arif telah melarikan diri ke Palembang. Pada 1 Mei 2024 yakni hanya beberapa hari sebelum majlis perkahwinannya berlangsung, sepasukan polis telah menyerbu rumah keluarga bakal isteri Arif lalu menahannya di hadapan keluarga mentuanya yang berada dalam keadaan terkejut dan menanggung malu. Wang hantaran dan kos sewa dewan sebanyak Rp40 juta yang dibayar oleh Arif juga disahkan datang daripada wang syarikat yang dirompak daripada mangsa.

Arif akhirnya dibawa pulang ke Bekasi untuk disiasat bersama adiknya, Aditya yang turut ditahan atas tuduhan bersubahat menyembunyikan mayat. Pihak berkuasa menetapkan Arif sebagai dalang utama di bawah pertuduhan pembunuhan biasa dan rompakan yang membawa hukuman maksimum 15 tahun penjara. Keputusan pihak polis untuk tidak mengenakan pertuduhan pembunuhan terancang sempat mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan keluarga mangsa. Namun dari segi perundangan, tiada bukti menunjukkan Arif telah merancang pembunuhan tersebut lebih awal kerana dia tidak membawa sebarang senjata. Bagasi itu hanya dibeli selepas mangsa meninggal dunia akibat pergaduhan yang berlaku secara spontan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RINI MARIANI"