Gila Nafsu & Kemasyhuran: Kisah Bos Kedai Kek 33 Tahun Kantoi Curang Dengan Pekerja Remaja
![]() |
| Li Cheng |
Kes yang dikenali di platform digital sebagai Insiden Yongdongji Qidong merupakan satu skandal domestik yang berlaku di Bandar Qidong, Wilayah Jiangsu, China pada September 2025. Konflik ini melibatkan sepasang suami isteri, Li Cheng dan Wang (lebih dikenali dengan nama media sosialnya, Er Xi, 33 tahun) serta seorang pekerja remaja berusia 18 tahun bernama Xiao Zhang.


Pada awalnya, Li Cheng merupakan gambaran seorang suami yang sangat setia dan bertanggungjawab. Dilahirkan dalam keluarga pekerja biasa, dia bekerja keras sebagai pengurus pertengahan di sebuah syarikat demi menyara keluarganya. Apabila Er Xi menyatakan impiannya untuk membuka sebuah kedai pencuci mulut berkonsepkan moden dan estetika, Li Cheng memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi. Dia bukan sahaja mengeluarkan semua wang simpanannya malah sanggup menebalkan muka meminjam wang daripada saudara-mara untuk mengumpul dana sebanyak 870 000 Yuan (sekitar RM540 000) sebagai modal pusingan. Kedai kek yang dinamakan Tian Ye itu akhirnya dibuka dan pada masa yang singkat menjadi sebuah francais viral yang sangat berjaya sehingga mempunyai tiga cawangan sekali gus menjadikan Er Xi seorang pempengaruh perniagaan yang dipuja di internet.
![]() |
| Er Xi |
Walau bagaimanapun, kemasyhuran dan kekayaan yang datang mendadak mula mengubah peribadi Er Xi. Pendapatannya yang mencecah ratusan ribu Yuan sebulan menyebabkan dia mula memandang rendah pada suaminya yang berpendapatan biasa. Isyarat keretakan rumah tangga mula kelihatan apabila Er Xi kerap memberikan alasan sibuk menyelidik resipi baharu untuk pulang lewat malam atau tidak pulang langsung. Lebih menyedihkan, dia mula mengabaikan anak perempuan mereka yang baru berusia lima tahun. Li Cheng yang cuba bertolak ansur akhirnya mendapati personaliti isterinya bertukar menjadi agresif sehingga sanggup mengasari anak mereka sendiri yang sedang menangis dengan mengeluarkan kata-kata ugutan yang sangat kejam. Malapetaka sebenar mula terbongkar apabila Er Xi mengupah seorang pekerja lelaki baharu berusia 18 tahun bernama Xiao Zhang untuk bekerja di kedai kek tersebut.
Curiga dengan perubahan drastik isterinya, Li Cheng mula melakukan intipan sendiri. Pada awal September 2025, dia mengekori kereta Er Xi dan mendapati isterinya keluar dari kawasan perumahan pekerja muda tersebut dalam keadaan yang sangat ceria. Kemuncak kepada penjejakan ini berlaku di tempat letak kereta bawah tanah pusat beli-belah Wuyue Plaza di mana Li Cheng menyaksikan dengan matanya sendiri Er Xi dan Xiao Zhang sedang bermesraan secara intim di dalam kereta. Keadaan menjadi lebih parah apabila Li Cheng menyemak rekod perbankan perniagaan dan mendapati Er Xi telah memindahkan wang syarikat sebanyak 43 kali ke akaun Xiao Zhang termasuk satu transaksi tunggal bernilai 200 000 Yuan. Ini bermakna, Er Xi bukan sahaja mengkhianati perkahwinan mereka malah menggunakan wang titik peluh yang dipinjam oleh Li Cheng untuk menanggung kekasih mudanya.
![]() |
| Er Xi dan Xiao Zhang |
Pada 3 September 2025 yakni selepas cubaan Li Cheng untuk bersemuka dan menyelesaikan konflik secara aman dipandang sepi oleh Er Xi yang bersembunyi di dalam kedai, Li Cheng telah hilang pertimbangan warasnya. Berbekalkan sebilah kapak bomba yang diambil daripada kedai perkakasan berhampiran, dia menyerbu cawangan utama kedai kek Tian Ye. Di hadapan para pelanggan dan pekerja yang bertempiaran lari, Li Cheng meluahkan kemarahannya dengan mengapak dan menghancurkan seluruh premis berkenaan daripada kaunter marmar, mesin pembuat kopi sehinggalah ke peti pameran kek. Tindakan tersebut menyebabkan dia ditahan oleh pihak polis atas dakwaan merosakkan harta benda.

Namun apa yang menjadikan kes ini paling diperkatakan di seluruh China bukanlah insiden amukan tersebut melainkan respon balas daripada Er Xi selepas kes itu tular. Sehari selepas kedainya dihancurkan, Er Xi langsung tidak menunjukkan rasa bersalah atau memohon maaf. Dia sebaliknya mencabar sensitiviti orang ramai dengan memuat naik gambar mesra bersama kekasih remajanya berlatarkan papan tanda kedai mereka yang telah rosak, lengkap dengan kapsyen falsafah moden tentang "menikmati hidup sepenuhnya pada masa sekarang". Malah apabila netizen menyindirnya di ruangan komen, Er Xi dengan bongkak mengubah bio profil media sosialnya kepada gelaran Wanita bercerai 90-an tanpa anak manakala kekasihnya digelar Lelaki Yongdongji 00-an. Istilah Yongdongji (Mesin Abadi) diambil daripada tangkap layar perbualan WeChat mereka yang dibocorkan oleh Li Cheng di mana Er Xi memuji stamina fizikal pemuda berkenaan.
Keadilan undang-undang bagaimanapun akhirnya menoktahkan keangkuhan Er Xi. Di mahkamah, Li Cheng berjaya memfailkan penceraian dan diberikan hak penjagaan penuh ke atas anak perempuan mereka manakala Er Xi diwajibkan membayar nafkah bulanan. Apa yang paling memuaskan hati pihak mangsa, mahkamah memutuskan bahawa segala transaksi wang ratusan ribu Yuan yang dipindahkan oleh Er Xi kepada pihak ketiga (Xiao Zhang) sepanjang tempoh perkahwinan adalah tidak sah dan wajib dipulangkan semula sepenuhnya kepada Li Cheng. Perniagaan kedai kek Tian Ye yang dahulunya menjadi kegilaan anak muda juga runtuh dalam sekelip mata. Ketiga-tiga cawangan ditutup terus manakala para pembekal bahan mentah datang menyerbu premis untuk menuntut tunggakan hutang.

Walaupun Li Cheng berjaya memenangi tuntutan mahkamah dan membersihkan namanya, dia tetap kehilangan sebuah keluarga yang utuh untuk anaknya. Er Xi pula kehilangan perniagaan yang dibina bertahun-tahun, maruah diri hancur serta penolakan mutlak daripada masyarakat sekeliling yang memandang jijik tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.



Catat Ulasan for "Gila Nafsu & Kemasyhuran: Kisah Bos Kedai Kek 33 Tahun Kantoi Curang Dengan Pekerja Remaja"